Enam Mayat Pati Ditemui Seorang Selamat Berpaut Pada Pelampung
Oleh MUHAMMAD ZIKRI MAYAT  PATI yang selamat dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar untuk diserahkan  kepada pihak Polis bagi tindakan selanjutnya di Pontian, Johor.PONTIAN:  Enam mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditemukan oleh  pasukan mencari dan menyelamat, manakala seorang dijumpai selamat  dalam  tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang di sini.
Pengarah Agensi  Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana  Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, semua mayat ditemukan berhampiran  lokasi kejadian dengan paling jauh berada di kedudukan 3.5 batu nautika  dari situ.
Katanya,  mayat pertama dan kedua ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari bersama  seorang mangsa yang terselamat berusia 21 tahun, diikuti empat lagi  mayat pada pukul 2.30 petang dengan semua mereka masih berpakaian  lengkap.
“Selain Maritim Malaysia, operasi  mencari dan menyelamat turut dibantu oleh Polis Marin Wilayah Selatan  yang digerakkan ke lokasi kejadian selepas mengetahui mengenai kejadian  tersebut.
“Bot yang digunakan untuk membawa  PATI warga Indonesia ke Pontian dipercayai telah tenggelam bersama  pelbagai barangan peribadi yang dimiliki oleh mangsa,” katanya pada  sidang akhbar di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Pontian, petang ini.
Dalam kejadian pukul 11 malam tadi,  bot jenis gentian kaca yang membawa 11 penumpang bersama dua tekong  karam dipukul ombak di perairan Pulau Pisang dalam perjalanan dari Batam  ke Pontian.
Bagaimanapun enam  daripadanya termasuk dua tekong terbabit berjaya diselamatkan oleh  nelayan tempatan, manakala seorang mangsa yang kritikal telah dikejarkan  ke Hospital  Pontian (HP). 
Tambah Nurul Hizam, seorang mangsa  yang ditemukan terselamat bersama mayat migran itu dipercayai berpaut  pada pelampung kira-kira 14 jam sebelum ditemui oleh pasukan mencari dan  menyelamat tengahari ini.
“Kesemua  PATI bertolak dari Pulau Jalor, Batam menuju ke Pontian dengan  menggunakan bot fiber berukuran 25 kaki panjang dengan menggunakan 200  kuasa kuda,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah  Pontian, Supritenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dengan penemuan enam  mayat dan seorang yang terselamat, menjadikan keseluruhan mangsa  selamat adalah seramai tujuh orang.
”Bagaimanapun, salah seorang mangsa  yang terselamat pagi tadi kini dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah  (HSA) disebabkan keadaannya yang semakin kritikal,” jelasnya.
Tambah Mohammad Shofee, mengikut  siasatan yang dilakukan, bot yang karam tersebut dikatakan menggunakan  jeti nelayan di Api-Api, di sini sebagai tempat pendaratan sebelum  diambil oleh transporter.
Katanya, dua tekong berumur  lingkungan 30-an itu kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta  Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta  Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen. – UTUSAN 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/enam-mayat-pati-ditemui-seorang-selamat.html