Elvina Mohamad Beraya Dengan Orang Baharu
Aidilfitri kali ini sangat bermakna buat pelakon Datin Elvina Mohamad dengan kehadiran bayi sulung bernama Karl Mateen.
Elvina, 24, berkata, jika tahun lalu Karl masih dalam perut, kali ini bayi berusia lima bulan itu ada bersama meraikan lebaran.
“Saya sangat teruja menyediakan persiapan raya dan pastinya Karl jadi keutamaan. Walaupun bersederhana, banyak juga pakaian saya beli untuk Karl. Buat diri sendiri, cukuplah empat pasang sahaja,” katanya.
Hari ini Elvina beraya di Kuala Lumpur dan akan pulang ke kampung halaman di Perak pada raya ketiga. Berkongsi pengalaman menguruskan Karl, Elvina mengakui penat namun seronok.
“Satu pengalaman baharu buat ibu muda seperti saya. Bohonglah kalau cakap tak penat tetapi saya tidak kisah kerana sebagai ibu seronok melihat keletah Karl.
“Saya bertuah kerana mentua dan pembantu banyak membantu. Jadi, tidaklah rasa kelam-kabut sangat,” katanya yang tak lekang dengan senyuman manis.
Dalam pada itu, Elvina berkata, sibuk menguruskan si kecil bukan alasan untuk dirinya tidak berhias. Bukan kerana serik dengan pengalaman pahit yang dilalui pada awal tahun ini, namun baginya setiap suami mahu isteri kelihatan cantik dan sentiasa berhias.
“Jika diikutkan dari dulu saya ringkas orangnya. Namun, sejak berkahwin dan mempunyai anak, bagi saya berhias itu perlu.
“Apatah lagi jika kita hendak keluar kenalah sentiasa dalam keadaan kemas. Bagi saya ada anak kecil bukan alasan untuk kita ambil mudah soal penampilan,” katanya.
Bakal kembali ke lokasi penggambaran drama dalam masa terdekat, Elvina mengakui sudah bersedia sepenuhnya.
“Sejak tahun lalu karier saya agak perlahan. Rindu memang rindu nak berlakon tetapi saya kena utamakan Karl.
“Ada juga beberapa tawaran menjayakan telefilem saya terima kerana ia tidak mengambil masa lama.
“Sekarang, Karl sudah besar sikit bolehlah saya ambil tawaran berlakon drama bersiri pula,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/06/elvina-mohamad-beraya-dengan-orang.html