Elly Mazlein Terima Selagi Mampu
Memikul dua tanggungjawab sebagai bapa dan ibu pada satu masa, ternyata bukan mudah dan besar cabarannya.
Namun, ia sedikit pun tidak membuatkan penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein, 39, berasa lelah. Baginya, keutamaan tetap buat bapa dan anak tersayang, Putri Sara Sefhia Azmi.
Elly berkata, sebagai ibu tunggal dan ketua keluarga, dia perlu bijak mencari peluang terutama mengembangkan bakat seni dimiliki.
“Syukur alhamdulillah, sejak menceburi bidang pengacaraan kemunculan saya diterima baik penonton. Meskipun, pengalaman masih baharu, saya puas kerana penonton terhibur.
“Inilah rezeki anak dan keluarga. Saya nekad membuat yang terbaik. Bukan mudah mendapat peluang dan saya perlu buktikan kemampuan diri,” katanya.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, sempena Ramadan ini ternyata rezeki buat dia sekeluarga dimurahkan Allah SWT.
“Saya akan terbabit dengan penggambaran drama terbaharu. Selain itu, ada juga beberapa tawaran berlakon yang akan menyusul selepas Aidilfitri nanti.
“Selagi termampu, saya terima apa saja tawaran yang datang dan tidak bersikap terlalu memilih. Bagi saya, semua tawaran ini adalah rezeki,” katanya.
Elly yang melonjak dengan watak antagonis sebagai Senah dalam drama Patah Sayap Bertongkat Paruh memberitahu dia sangat gembira apabila dapat membahagiakan bapanya dan Sefhia.
“Abah dan Sefhia adalah sumber kekuatan saya dalam terus cekal mengharungi dugaan dalam kehidupan ini.
“Jadi, kesibukan saya mencari rezeki buat keluarga kini sebagai tanggungjawab kepada mereka. Saya sangat bersyukur melihat abah dan Sefhia ceria bahagia,” katanya.
Berbicara mengenai anak tunggalnya, Elly berkata, dia sudah menghantar Sefhia ke sekolah walau pun si kecil itu baru berusia dua tahun.
“Sefhia nak sangat ke sekolah dan saya sekadar melaksanakan impiannya. Mula-mula, bimbang juga memikirkan Sefhia tidak akan selesa dan mungkin dia menangis.
“Bagaimanapun, sangkaan saya meleset kerana Sefhia amat gembira. Beberapa hari di sekolah, dia (Sefhia) sudah boleh bawa diri bergaul dengan rakan yang lain,” katanya.
Elly yang kini tidak berselindung mengenai pintu hatinya sudah menemui cinta baharu berkata, dia gembira kekasih dapat menerima anaknya dengan ikhlas.
Memperkenalkan lelaki itu sebagai Papa, Elly berkata, hubungan Sefhia bersama teman istimewanya sangat rapat dan ia dilihat petanda yang positif.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/05/elly-mazlein-terima-selagi-mampu.html