Elak Anak Ketagih Gajet Ini 6 Tip Untuk Kawal Penggunaan
Elak Anak Ketagih Gajet, Ini 6 Tip Untuk Kawal Penggunaan 
Dalam era yang serba canggih ini, teknologi memainkan peranan yang sangat penting bagi kehidupan setiap individu. Tambahan lagi, dengan revolusi telefon pintar yang semakin canggih saban hari ini, segala kerja boleh dilakukan hanya menggunakan telefon pintar.
Bukan itu sahaja, segala informasi, berita, bahkan bab-bab pelajaran juga boleh dicari dengan mudah. Dalam erti kata lain, segala maklumat boleh diakses di hujung jari.
Lebih membimbangkan, gajet ini juga sering digunakan oleh semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak.
Bagaimanapun, penggunaan yang tidak dikawal dan berlebihan menimbulkan pelbagai impak negatif terutama kepada kesihatan mental anak-anak. Tambahan lagi, setiap bahan yang terkandung dalam internet itu juga tidak semuanya selamat untuk diakses kepada kanak-kanak.
Ibu bapa sewajarnya memainkan peranan penting untuk mengawal penggunaan gajet terhadap anak mereka. Mungkin ada ibu bapa yang masih buntu, ikuti perkongsian Hello Doktor ini untuk ketahui mengenai tip mengawal ketagihan gajet anak-anak.
Dalam kemajuan teknologi pada masa ini, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada perkembangan semasa. Jika kanak-kanak pada zaman dahulu hanya tahu bermain lego, baling selipar dan kejar-kejar, kanak-kanak zaman ini lebih advance dengan YouTube, Facebook dan Instagram
Tanpa menolak kelebihan yang ada, penggunaannya haruslah diselia dan dikawal khusunya dalam kalangan kanak-kanak. Tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan ketagihan gajet dan merencatkan kemahiran sosial anak-anak.
Mari ketahui apakah kesan ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan cara untuk mengatasinya.
Ini tip jaga anak agar tidak ketagih gajet
1. Jaga anak dengan tetapkan masa
Gajet mempunyai banyak kebaikan. Antaranya ialah ia boleh merangsang kreativiti anak-anak melalui video dan gambar yang bergerak.
terdapat juga banyak permainan video yang berbentuk pendidikan.
Di samping kebaikan yang ada, had masa hendaklah ditetapkan agar mereka tidak mengalami ketagihan gajet.
Jika anak-anak anda sudah terbiasa bermain telefon atau iPad, mereka akan sentiasa meminta dari semasa ke semasa.
Setiap kali anda ingin berikan kepaad anak-anak anda, hadkan masa kurang daripada 15 minit pada satu-satu masa.
Sebaiknya, elakkan penggunaan melebihi 30 minit sehari untuk pastikan anak tidak ketagih gajet.
2. Pantau penggunaan
Kanak-kanak sangat mudah terdedah kepada pelbagai jenis kandungan tidak sihat dalam gajet, khusunya pornografi yang semakin menular dan mudah didapati di dalam internet.
Anda juga perlu jaga anak anda semasa menggunakan gajet. Lakukan interaksi bersamanya semasa melihat skrin telefon dan tanyakan mereka soalan seperti “apa nama binatang ini?”, “warna apa ni?” atau “macam mana bunyi kucing?”
Bagi kanak-kanak yang lebih dewasa, tanyakan soalan-soalan yang lebih mencabar seperti “macam mana burung boleh terbang?” atau “kenapa kita perlu makan sayur?”
Dengan interaksi yang berlaku, hubungan antara ibu bapa dan anak akan lebih erat. Dalam masa yang sama, minda anak-anak juga akan berkembang.
Anda juga boleh letakkan telefon kepada mod parenting control untuk mengelakkan mereka membuka laman-laman yang tidak sepatutnya.
BACA: Rahsia Pantau Anak: 5 App Kawal Gajet Paling Power
3. Jangan manjakan anak anda dengan gajet
Sebahagian ibu bapa menjadikan telefon sebagai “ubat penenang” apabila anak-anak mereka menangis atau mengamuk.
Membuka video di YouTube adalah langkah yang sangat mudah untuk memujuk kanak-kanak yang menangis.
Namun, video tersebut hanyalah solusi sementara dan tidak akan menyelesaikan punca sebenar. Anda seharusnya jaga anak anda dan mencari sebab sebenar anak anda menangis.
Contohnya, jika seorang anak anda menangis kerana mainannya diambil oleh adiknya, anda perlu meminta si adik memulangkan semula kepada si abang kerana itu adalah haknya.
Jika anak-anak terlalu dimanjakan dengan gajet, mereka akan lebih mudah mengamuk dan sentiasa meminta-minta. Besar juga kemungkinan mereka akan ketagih gajet.
4. Elakkan gajet ketika ada ramai orang
Apabila saudara mara pulang ke kampung, gunakan saat itu untuk membiarkan anak-anak anda bersosial bersama sepupu dan saudaranya.
Jika mereka meminta gajet, elakkan daripada menunaikan permintaannya.
Anak-anak perlu belajar bersosial dan berinteraksi dengan persekitarannya. Ia adalah skil yang penting sebelum melangkah ke alam sekolah dan remaja.
5. Jangan biar anak ketagih gajet
Terdapat banyak umur yang digariskan oleh pakar yang berbeza berkenaan umur yang sesuai untuk memperkenalkan gajet kepada anak-anak. Kebanyakan pakar meletakkan umur selepas dua tahun sebelum menggunakan apa-apa gajet. 
Untuk dua tahun pertama ini adalah waktu yang harus digunakan oleh anak-anak untuk berinteraksi dengan objek-objek fizikal di sekeliling mereka.
Ini adalah penting untuk merangsang deria sentuhan mereka yang gagal didapatkan melalui gajet.
6. Tunjukkan contoh teladan yang baik
Jika anda mengharapkan anak-anak anda agar tidak terlalu kerap menghadap skrin telefon atau iPad, anda harus memulakannya terlebih dahulu.
Kanak-kanak sangat mudah terikut dengan tingkah laku orang tuanya. Banyakkan masa bermain dan berborak dengan anak-anak anda. Elakkan memegang gajet semasa waktu keluarga seperti waktu makan atau berkumpul di ruang tamu.
BACA: 7 Tahun Besarkan Anak Tanpa Gajet, Lelaki Ini Kongsi Kesannya
Sumber: Hello Doktor
The post Elak Anak Ketagih Gajet, Ini 6 Tip Untuk Kawal Penggunaan appeared first on Siakap Keli.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://siakapkeli.my/2025/10/30/elak-anak-ketagih-gajet-ini-6-tip-untuk-kawal-penggunaan/