Eksplorasi Gua Kelam 2 Perlis
[Catatan Hari Isnin, 16 September 2024]
Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam dibuka mulai pukul 9 pagi. Kami tiba di sini kira-kira pukul 10 pagi dalam suasana hujan rintik. Biasanya jika berkunjung ke sini, kenderaan kami akan melalui pos kaunter tiket dan menuju ke ruangan parkir di bahagian dalam. Tetapi kali ini, laluan kenderaan di pos kaunter tiket sudah diletak penghadang. Jadinya kami parkir kenderaan di ruang parkir hadapan. Selepas itu barulah berjalan ke pos kaunter tiket
Petugas kaunter memaklumkan bahawa hari ini Gua Kelam 1 ditutup. Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air dalam gua meningkat. Oh, patutlah diletak penghadang dan pintu pagar ke Gua Kelam 2 bertutup
Apa pilihan yang ada? Pengunjung boleh melakukan aktiviti eksplorasi Gua Kelam 2, melawat Galeri 3D Gua Kelam dan masuk Rumah Cermin
Kami memilih untuk ke Gua Kelam 2 dengan bayaran RM10 seorang dan Rumah Cermin dengan bayaran RM5 seorang. Tiada caj parkir dikenakan seperti sebelum ini, mungkin sebab parkir di bahagian hadapan
Berfoto di hadapan bangunan untuk masuk ke Gua Kelam 2. Kalau Gua Kelam 1 lain pintu masuknya ya. Foto kami berenam dirakam oleh seorang lelaki Cina yang baik hati menawarkan diri membantu kami
Sesi taklimat sebelum masuk gua.Selepas menyerahkan sekeping kertas bertulisan tangan (tiada tiket khas untuk ke Gua Kelam 2) kepada petugas di kaunter, kami diminta menunggu. Rupa-rupanya nak tunggu pengunjung ramai, barulah akan bergerak bersama
Tak lama kemudian, sesi taklimat bermula. Kami dimaklumkan berkenaan sejarah ringkas Gua Kelam 2, jarak laluan 700 meter sehala (perlu berpatah balik untuk kembali ke pintu gua) dan hal keselamatan (pengunjung bertubuh tinggi diminta memakai topi keselamatan)
Berjalan ramai-ramai naik tangga menuju ke pintu gua yang terletak di aras atas
Menyeberangi jambatan menuju ke pintu gua
Laluan bersimen dan rata sejauh 400 meter. Pengunjung yang tinggi tu kenalah berhati-hati jangan terkena bumbung gua. Laluan bersimen begini nampak mudah, tetapi ada cabarannya juga - aliran air deras di tepi laluan dan ada kalanya melimpah di tengah laluan. Perlu berhati-hati melangkah
Di tempat tertentu, terdapat air yang turun dari bumbung gua. Kadang sedikit saja dan kadang agak lebat seperti terkena siraman hujan. Boleh lihat dalam video di hujung entri ini
Kawasan kolam dalam gua - Kolam Biru (The Blue Pool). Nampak lebih cantik berbanding kunjungan saya sebelum ini, mungkin sebab musim hujan paras air jadi tinggi dan pencahayaan yang bertukar warna di dinding gua
Aliran mini air terjun menambah pesona Gua Kelam 2
Tumbuhan berjurai di bumbung gua. Cantik! Gua ini tiada lubang angin yang membolehkan udara dan cahaya masuk, entah macam mana boleh pula tumbuhan ini hidup segar
Terowong laluan yang dibuat oleh para pelombong untuk aktiviti perlombongan bijih timah
Batu bunga di dinding gua. Rupa seperti batu kecil dengan tekstur tajam dan bersinar
Perlu mendaki anak tangga untuk ke ruangan lebih tinggi. Di sebelah kanan atas dinding gua, kelihatan tulisan yang dipercayai tinggalan para pelombong
Sampai di sini saja pengunjung boleh masuk, jaraknya kira-kira 700 meter dari pintu masuk
Berbeza dengan Gua Kelam 1 yang tidak begitu luas, ruang dalam Gua Kelam 2 lebih luas disebabkan aktiviti perlombongan. Ia bukan terjadi secara semula jadi
Ini merupakan kali kedua saya dan Encik Suami melakukan eksplorasi di Gua Kelam 2. Kali pertama kami ke sini pada Januari 2022. Harga berbeza, pengalaman berbeza dan suasana dalam gua juga sedikit berbeza. Boleh baca entri DI SINI. Saya lebih sukakan suasana lebih asli kerana gua merupakan tarikan pelancongan alam semula jadi. Menurut saya, tak perlu tambahan lampu berwarna-warni tetapi boleh pasang lampu sekadar untuk menerangi laluan di bahagian tertentu gua
Video berdurasi 0:39 minit - suasana di dalam Gua Kelam 2
Secara keseluruhannya, eksplorasi ke Gua Kelam 2 cukup menarik dengan unsur alam semula jadi (gua batu kapur) dan unsur sejarah (aktiviti perlombongan). Tetapi disebabkan tak bersedia dengan pakaian yang sesuai untuk masuk gua yang basah, maka kotor jugalah hujung seluar dan basah kasut yang dipakai 😄
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2024/09/eksplorasi-gua-kelam-2-perlis.html