Ekspedisi Trans Jerging Gunung Suku Gunung Irau Gunung Yellow Dan Gunung Pass
Trans Jerging memang sangat awesome, once in a lifetime experience! masih terbayang-bayang keindahan hutan mossy yang sangat cantik, pemandangan indah daripada puncak yang terbentang luas, cuaca yang nyaman ketika mendaki membuatkan trips 2h1m mendaki Gunung Suku, Gunung Irau, Gunung Yellow dan Gunung Pass sejauh 18 km +/- antara trips yang segar di dalam Ingatan Sob.
Trans Jerging diberi nama sempena salah satu sungai yang akan dilalui ketika melakukan Trans ini, iaitu Sungai Jerging yang terletak di antara Gunung Suku dan Gunung Irau. Laluan Trans Jerging meliputi empat Gunung di Tanah Tinggi Cameron Highland iaitu Gunung Suku [1797 meter] Gunung Irau [2110 meter], Gunung Yellow [1667 meter] & Gunung Pass [1587 meter]. Keseluruhan jarak pendakian yang dilalui sejauh 18 km dimana akan mendaki antara gunung yang cukup terkenal dengan keindahan Hutan Mossy di Malaysia iaitu Gunung Irau yang menduduki tempat ke-9 gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia
Ekspedisi Trans Jerging- Hutan lumut yang tersembunyi
'Bila orang tanya dekat Cameron Highland apa best ?'
Orang lain : Ladang strawberry, Nasi Lemak Strawberry, Aiskrim Lavender, ladang Teh Boh, Pasar Malam Brinchang, jagung manis dekat Kea Farm dan macam lagilahSob : Trans V1, Trans V2, Gunung Irau, Gunung Siku, Gunung Yong Belar, Trans Jerging, Camping dekat Kem Pauh senang cakap semua benda yang melibatkan aktiviti outdoor.
Bagi kaki hiking sekiranya ditanya apa yang menarik di Cameron Highland mungkin kebanyakannya akan memberikan jawapan yang sama, iaitu mendaki gunung ganang disini untuk menikmati keindahan Banjaran Titiwangsa. Tambahan pula Trans Jerging antara trips yang paling ditunggu-tunggu sob, apatah lagi selalu diberi tahu oleh rakan-rakan pendaki yang pernah mendaki ke sini, Trans Jerging disifatkan antara lokasi yang menawarkan pemandangan mossy forest yang cukup cantik selain daripada suhu di Cameron Highland itu yang sejuk dan nyaman membuatkan sob teringin mendaki di sini lagi selepas kali terakhir ketika melakukan Trans V1.
Sebelum terlupa, terdapat 2 pilihan untuk melakukan Trans ini sama ada secara Dayhike atau Camping 2h1m / lebih santai 3h2m semuanya bergantung kepada stamina pendaki itu sendiri, mungkin disebabkan trans ini tidak banyak mempunyai waterpoint jadi kebanyakan pendaki lebih suka melakukan secara Dayhike
Menggunakan perkhidmatan Transport Cameron - Abang Shahrul
Bagaimana untuk ke Starting Point
Terdapat dua laluan untuk melakukan Trans Jerging sama ada mula mendaki mula daripada Gunung Suku dan berakhir di Gunung Pass atau sebaliknya. Kebanyakan pendaki akan parking kereta di tepi jalanraya highway Simpang Pulai, starting point Gunung Suku [N4.555596, E101.322949] untuk naik dan turun Gunung Pass [N4.592698, E101.354465] landmark signboard selamat datang ke Cameron Highland, Pahang Darul Makmur simpadan Negeri Perak dan Pahang.
Exit Point Trans Jerging
Sedikit tips, disebabkan pernah berlaku beberapa kejadian dimana tingkap kereta pendaki dipecah oleh pihak yang tidak bertanggungjawap untuk mencuri barang-barang berharga di dalam kereta yang ditinggalkan di tepi jalan tanpa jagaan, untuk mengelakkan kejadian sebegini berlaku kepada kereta anda yang ingin mendaki ke sini bolehlah parking kereta di Masjid Lojing, Kelantan dan sewa perkhidmatan transport untuk membawa dan mengambil selepas selesai melakukan pendakian
Selepas Pulang daripada kerja, packing barang-barang keperluan untuk mendaki seterusnya bergerak daripada Gerik menuju ke Kuala kangsar untuk bertemu lineup yang lain di Simpang Pulai untuk berkumpul dan bergerak bersama-sama menuju ke Masjid Lojing, cuaca pada ketika itu berkabus sejuk dan berangin kuat harapnya hari tidak hujan pada awal pagi pastinya tidak seronok memulakan pendakian dalam keadaan basah dan sejuk.
Setelah sampai ke Masjid Lojing, kami membahagikan ration dan barang keperluan berkhemah seterusnya parking kereta di kawasan yang telah ditetapkan dan tepat pukul 4 pagi transport yang disewa untuk membawa kami semua sampai dan seterusnya bergerak ke lokasi permulaan mendaki
Berehat Sebentar perjalanan menuju ke puncak pertama iaitu puncak Suku
Trek Gunung Suku yang PacakHari Pertama
Lebih kurang 20 minit menaiki powil dari Masjid Loging, kami sampai kilometer ke 32 km dari Tol Simpang Pulai dimana itu merupakan starting point untuk memulakan pendakian ke puncak pertama trans jerging iaitu Gunung Suku. Terlebih dahulu menunaikan solat subuh, seterusnya ketua kumpulan memberi sedikit penerangan mengenai laluan yang bakal dilalui sepanjang trans ini berlangsung, membaca doa semoga perjalanan mendaki dipermudahkan insyaallah
Alhamdulilah cuaca pada pagi itu berpihak kepada kami semua, dimana awalnya cuaca yang kelihatan seperti mahu hujan lebat tetapi sebaliknya berlaku dimana tidak hujan jadi trek yang dilalui tidaklah lecak dan basah. Laluan trek untuk mendaki kelihatan jelas daripada starting point sehingga ke puncak Suku tidak begitu semak dimana tidak mempunyai banyak laluan yang boleh mengelirukan pendaki berbanding laluan menuju ke Gunung Irau . Cuma cabaran sebenar mendaki disini jalan pendakiannya hampir 75 peratus pacak dan mencanak naik, senang cakap dari satu checkpoint menuju ke checkpoint yang lain semuanya perlu mendaki tidak melalui jalan yang landai tambahan pula dengan membawa barang bercamping memang menguji stamina untuk mendaki
Tempoh masa untuk sampai ke puncak mengambil masa lebih kurang 3 jam30 minit mendaki secara santai jaraknya 3km lebih dari 18km yang bakal dilalui, tapi sekiranya mendaki secara dayhike mungkin tempoh masa diambil adalah berbeza.
Gunung suku treknya agak curam dan pacak menaik sampai ke puncak, di awal pendakian banyak melalui trek yang berakar-akar dimana stepnya seperti tangga, di pertengahan perjalanan pula akan menjumpai satu kawasan rehat permatang seterusnya punca air kecil ketika hampir sampai ke puncak tipu akan melalui sedikit kawasan hutan mossy dan mendaki lebih kurang 10-15 minit akan sampai ke puncak sebenar
Puncak Gunung Suku [1797 meter]
Alhamdulilah lebih kurang 2 jam 30 minit mendaki akhirnya sampai juga ke puncak suku, trek yang cukup mempewaikan diri tapi pastinya akan dirindui. Sebenarnya target utama kami untuk pendakian hari pertama ialah untuk bermalam di Gunung Irau jadi masih jauh perjalanan yang harus ditempuh. Berehat lebih kurang 30 minit di puncak, seterusnya makan breakfast yang telah ditapau untuk menambah tenaga dan menyambung perjalanan menuju ke Kem Bear dimana itu merupakan satu-satunya punca air sepanjang Trans Jerging
Cuaca pada waktu itu sangat cantik dimana langit kebiruan tambahan pula daripada puncak boleh kelihatan pemandangan sekeliling Banjaran Titiwangsa yang kehijauan cukup memberi satu perasaan yang cukup menyenangkan setelah penat mendaki. sekiranya pemandangan di puncak tidak litupi kabus dan cuaca yang cerah boleh melihat dengan jelas kelibat Gunung Yong Belar, Gunung Korbu Gunung Chabang, Gunung Irau dan Gunung Gayung . Di puncak terdapat kesan tanah runtuh, jadi sentiasa berhati-hati dan jangan duduk terlalu dekat berhampiran kawasan tanah runtuh
Perjalanan menuju ke Kem Bear
Daripada Puncak Suku laluan yang bakal dilalui tidaklah sebegitu memenatkan kerana banyak menurun dan melalui laluan yang landai cuma cabaranya di awal menurun akan melalui laluan trek tikus yang tidak begitu jelas jadi agak penting disini berjalan rapat dengan partner masing-masing supaya tidak sesat selain itu kita akan selalu bongkok, sedikit merangkak-rangkak serta tunduk ini akan menjadi sedikit cabaran bagi yang membawa beg besar untuk seimbangkan badan, selain itu banyak melalui kawasan celah-celah akar kayu dan pokok jadi tongkat mendaki tidak diperlukan disini boleh disimpan di dalam beg
Sepanjang perjalanan menuju ke Kem bear, boleh melihat pemandangan gunung-ganang dari jauh di kiri dan kanan dan yang lebih mengagumkan apabila disajikan dengan kehijauan lumut, selain itu boleh juga menjumpai pelbagai kulat dan cendawan yang beraneka warna yang cukup menarik. kami mengambil masa lebih kurang 3 jam lebih untuk sampai ke kemsite, dengan pace pendakian santai maklumlah kebanyakan yang mengikuti trips ini memang geng mendaki santai compress, kadang-kadang di punya santai tu sampai tak ke puncak 😄
Sungai kecil di tepi Kemsite Kem Bear
Terdapat sungai kecil di sebelah kemsite, disini boleh mengisi semula bekalan air minuman atau air company di sini secukupnya terutama yang ingin bermalam di puncak Gunung Irau kerana tidak akan ada sumber air yang dekat akan ditemui sehingga keluar pendakian.
Memandangkan kami sampai ke Kem Bear agak lewat dimana di pertengahan perjalanan hujan turun dengan lebat masing-masing pace mulai perlahan-lahan melangkah kaki untuk bergerak, berada di ketinggian 1400 meter sememangnya cuaca sejuk dan berkabus.Masing-masing kesejukan apabila terkena tiupan angin kesan air hujan membasahi kami semua, jadi semua sepakat untuk bermalam di Kem Bear memandangkan perjalanan ke puncak Irau masih jauh dan keesokan harinya akan bergerak seawal mungkin untuk meneruskan pendakian.
Bermalam di Kem Bear, mungkin pilihan terbaik selain dekat dengan sumber air untuk memasak dan membersihkan diri, cuma yang rugi mungkin akan terlepas moment indah melihat pemandangan matahari terbit dari puncak Irau. Keadaan kem bear agak besar boleh memuatkan lebih 30 orang pendaki pada satu masa, cuma keadaan permukaan kemsite tidak rata dan berakar. Paling penting jangan lupa membawa ubat nyamuk kerana disini memang banyak agas
Our chef Tikah, Nunia dan Teacher Ainbie
Selalu berpegang kepada prinsip 'pikul seperti hamba makan seperti raja' tambahan trips kroni petualang Gsoa dan G2k2 jadi menu untuk makan malam dan sarapan pagi sangatlah meriah dengan pelbagai pilihan menu daripada keropok lekor, tomyam sehingga mengambil inspirasi menu yang cukup popular dijual di pasar malam Cameron Highland iaitu cendawan celup tepung bergoreng, makan pula ketika panas-panas dengan cuaca nyaman di tengah hutan rimba sambil mendengar bunyi-bunyi alam memang cukup menyelerakan
📷 Abang Azam, Wan, Harzin, Kudu, Kama, Tikah, Ainbie, Nunnia, Sob, Zubir, Botak, Mirul, Ros, Apit, Helmi and geng !
Trips kali ini, agak istimewa kerjasama erat sahabat petualang bermula daripada urusan permit, guide, transportation, peralatan camping dan ration semuanya dilakukan bersama di antara Persatuan pendaki Kuala Kangsar [G2K2] dan Gerik silver outdoor Adventure [gsoa] dengan kekuatan lineup seramai 19 orang. Secara official Trans Jerging ini diberi nama Trans Jeng..Jeng..jeng oleh kami semua
Lokasi wajib untuk bergambar setiap pendaki sekiranya melakukan Trans Jerging, pokok ini digelar Pokok Jerging
Mendaki Gunung Irau - Hidden Mossy ForestHari kedua
Selepas siap sarapan pagi, masak packed lunch dan simpan kembali barang-barang camping kami meneruskan perjalanan menuju ke puncak Gunung Irau antara gunung yang cukup terkenal dikalangan pendaki kerana keindahan Hutan Mossy Kurang dari setengah jam perjalanan dari Kem Bear kita akan melalui puncak palsu yang cukup cantik digelar Rock Garden oleh para pendaki disini kelihatan banyak pokok-pokok bonsai yang indah yang tumbuh di tebing. Kebanyakan pendaki tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar disini, cuma perlu berhati-hati kerana pokok bongsal terletak di tepi tebing yang agak curam
Berehat sebentar dan regroup, sebelum meneruskan perjalanan ke Puncak Irau
Perjalanan ke Puncak Irau mengambil masa lebih 2 jam, cantiknya pemandangan Hutan Mossy di sepanjang trek menuju puncak tidak dapat diucapkan dengan kata-kata, cantik dan terjaga. Dengan keadaan suhu yang sejuk di kawasantanah tinggi membuatkan cukup ramai pendaki Malaysia gemar mendaki di sini. Kabus kelihatan ketika melalui di bawah pohon-pohon mossy menghasilkan satu panorama yang cukup indah untuk dinikmati ketika mendaki
Trek menuju ke Gunung Irau pula menjadi semakin menaik dan sesekali perlu menurun, pada mulanya trek yang kering tidak berlecak tapi semakin tinggi mendaki keadaan trek berubah lembab dan berselut terutama di kawasan laluan Mossy. Teruskan mendaki sehingga sampai ke kawasan Simpang untuk meneruskan perjalanan menuju ke Gunung Yellow dan Gunung Irau, dari sini menuju ke Puncak Irau hanya 10 minit perjalanan dimana laluanya agak berselut ketika dipijak
Akan menjumpai satu kawasan mossy yang berwarna putih ketika menuju ke Gunung Irau
Mudah untuk menjumpai Periuk kera ketika menuju ke Puncak Gunung Irau
Puncak Gunung Irau [2110 meter]
Menduduki tempat ke-9 gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia berada di kelas yang tersendiri antara gunung di Semenanjung Malaysia berketinggian lebih daripada 2,100m termasuk Gunung Batu Putih, Perak (2,131m); Gunung Benum, Pahang (2,107m) dan Gunung Gerah, Kelantan-Perak (2,103m)
Pemandangan daripada Puncak Irau
Pemandangan daripada Puncak Irau yang berketinggian 2110 Meter cukup mengagumkan dan ini merupakan puncak yang tertinggi perlu dilalui sepanjang Trans Jerging, pemandangan breathtaking Banjaran Titiwangsa dari sini boleh melihat dengan jelas. Walaupun tidak berpeluang melihat pemandangan matahari terbit dari puncak tapi apabila dapat melihat pemandangan jelas Banjaran Titiwangsa kami semua sudah cukup berpuas hati.
Gunung Yellow - Kem Bunian yang Cantik
Tidak lama kami semua berada disini kerana kerana mengejar masa, kerana ada yang bekerja pada keesokan harinya jadi selepas selesai makan lunchpack yang dimasak di Kem Bear terus meneruskan perjalanan menuju ke puncak berikutnya iaitu Gunung Yellow. Bermulalah satu perjalanan yang panjang dan memenatkan, setelah banyak tenaga dihabiskan untuk menuju ke Puncak Irau, graf pendakian yang dilalui banyak turun dan landai. Boleh kelihatan batu-batu simpadan Pahang - Perak di laluan walau bagaimanapun keletihan mendaki akhirnya terbayar apabila mula melalui kawasan mossy forest yang cukup cantik terutama di Kem Bunian, lebih cantik daripada hutan mossy yang terdapat di Gunung Irau sehingga digelar secret mossy forest.
Kami berehat sebentar disini untuk melepaskan penat seketika, seterusnya meneruskan perjalanan ke Puncak Gunung Yellow. Kenapa kawasan ini digelar Kem Bunian mengikut kata guide ini merupakan antara kemsite atau checpoint untuk para pendaki berehat sebelum meneruskan perjalan tapi yang menariknya tempat ini selalu bersih dan terjaga walaupun tak ada orang selalu duduk.
Perjalanan menuju Gunung Yellow mengambil masa 3-5 jam bergantung kepada pace pendaki itu sendiri
Gunung Yellow yang berketinggian 1667 meter merupakan puncak ketiga yang berjaya didaki ini bermakna hanya tinggal lagi satu puncak iaitu Gunung Pass sebelum berjaya menamatkan trans kali ini. Digelar Gunung Yellow mungkin disebabkan nama itu diambil daripada warna tanah yang berwarna kekuningan
Separuh daripada kawasan Gunung Kuning telah dijadikan sebagai kawasan Ladang dan ini merupakan kawasan tanah persendirian. Ada beberapa kes dimana pendaki tercedera atau ada hal kecemasan dan keluar mengguanakan laluan ini
Gunung Yellow [1667 meter] & Gunung Pass [1587 meter].
Pewai dan barai menuju ke Gunung Pass
Hari semakin gelap ketika menuju ke Puncak Pass yang berketinggian 1667 mater, masa ini boleh dikatakan kebanyakan lineup sudah mula letih-letih badan setelah sehari penat berjalan memikul load dan ada diantara kami sudah mula merasa kekejangan kaki. Ini merupakan antara laluan yang paling panjang perjalanan anggaran masa mendaki lebih dari 5 jam dalam Trans Jerging dimana graf pendakianya ada menarik sekejap menaik, menurun dan juga landai.
Berbekalkan semangat juang yang tinggi 'pantang hiker malaya berundur kecuali tebing maut menanti' perlahan-lahan kami tetap meneruskan perjalanan berbekalkan cahaya lampu headlamp di kepala. Angin malam yang sejuk dan kegelapan malam menemani sepanjang perjalanan sehingga sehingga sampai ke jalan keluar di signboard selamat datang ke Cameron Highland. Rehat sebentar disini sambil memasak air panas untuk membancuh air kopi panas sangat enak pula dimakan bersama biskut lutut, mengalas perut yang sudah mula berkeroncong mintak diisi tenaga kembali sementara menunggu powil datang mengambil kami semua untuk membawa kembali ke Masjid Lojing.
Alhamdulilah misi yang dirancang, berjaya dilaksanakan bersama-sama dengan sahabat petualang 'ada rezeki Trans Jerging kita berjumpa lagi untuk melengkapkan misi yang seterusnya jeng..jeng..jeng! '
ARTICLE BERKAITAN
Mendaki Gunung TahanMendaki Gunung MahameruExpedisi Trans Titiwangsa V1
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sobriyaacob.com/2020/05/ekspedisi-trans-jerging-gunung-suku.html