Eksklusif Kalaulah Mereka Tahu Betapa Deritanya Pesakit Covid 19
Norlaile Abd Rahman                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Petugas  kesihatan sedang memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 di  wad  ICU, Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI 
KUALA LUMPUR – Dr Kamaruddin Alias menghela nafas panjang dan  menggelengkan kepala ketika diminta menggambarkan keadaan pesakit  Covid-19.
 “Kalaulah mereka tahu betapa menderitanya pesakit Covid-19 ini,  mereka mungkin akan lebih faham dan yakin mengapa kerajaan perlu sangat  mengawal pergerakan orang awam menggunakan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP),” kata Timbalan Pengarah Hospital Kuala Lumpur itu. 

Timbalan  Pengarah HKL, Dr Kamaruddin Alias bercakap semasa temubual bersama  MalaysiaGazette di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAKBeliau berkata, serangan Covid-19 menyebabkan ada pesakit yang terpaksa menggunakan alat bantuan penafasan.
 “Bayangkan pesakit yang sudah di peringkat akhir terpaksa bernafas  dengan bantuan ventilator, tiada yang lebih teruk daripada itu,”  jawabnya ringkas dengan riak wajah yang sukar untuk diungkap dengan  kata-kata.
 Mempunyai kepakaran dalam kesihatan umum itu, beliau telah terlibat  secara langsung dalam melawan pelbagai jenis wabak sebelum ini antaranya  virus Nipah, H1N1 dan SARS namun impak dan cara penularan Covid-19  adalah berbeza, mengikut pendapatnya.
 Tambahan pula wabak tersebut sudah pun mula masuk ke dalam komuniti  dan ini merupakan satu perkara yang sangat serius, ujar beliau. 

Keadaan di wad pesakit- pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALIBagaimanapun, dengan penuh keyakinan, Dr. Kamaruddin percaya Malaysia  mampu melawan wabak ini sama seperti yang pernah dilakukan sebelumnya.
 Namun tegasnya, kejayaan hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak  memainkan peranan masing-masing bagi memastikan rantaian virus Covid-19  ini dapat diputuskan.
 Jelasnya, arahan PKP dan kuarantin bukanlah perkara enteng yang boleh  dibuat main-main kerana ia adalah satu cara untuk memutuskan rantaian  virus tersebut.
 Ujar Dr. Kamaruddin, para petugas kesihatan telah memberikan komitmen  sepenuh jiwa mereka untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 dan dalam  masa yang sama membendung wabak ini daripada terus menular. 

Ujian saringan Covid-19 sedang dijalankan ke atas orang awam di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAKJusteru, orang awam juga perlu sama-sama memikul tanggung jawab untuk memastikan kita menang dalam pertarungan melawan Covid-19.
 “Saya yakin jika kita rakyat Malaysia bekerja secara satu pasukan, kita boleh melawan wabak ini.
 “Saya juga mewakili pihak pengurusan (HKL) ingin merakamkan  penghargaan terhadap petugas-petugas kami yang sanggup datang ke tempat  kerja pada setiap hari meskipun pergerakan agak sukar kerana PKP,  memakai PPE yang tidaks selesa, mengorbankan banyak perkara termasuklah  masa bersama ahli keluarga dan sebagainya, inilah pengorbanan sebenar  mereka untuk pesakit Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette. 

Suasana  di salah sebuah wad yang menempatkan pesakit Covid-19 di Hospital Kuala  Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALIMenurut Dr. Kamaruddin, sejak awal lagi mereka hanya bergantung  kepada kepakaran tempatan untuk merawat dan membendung penularan wabak  Covid-19 di negara ini.
 Ini kerana Malaysia sendiri sudah mempunyai pengalaman dalam menangani wabak-wabak seperti ini sebelumnya.- MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/eksklusif-kalaulah-mereka-tahu-betapa.html