Drama Teluh Darah
FILEM seram dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand bukanlah asing dalam kalangan penonton di negara ini
Sudah banyak siri atau filem misteri, gangguan ilmu hitam dan mistik dari negara itu menarik perhatian ramai di sini
Kini, siri baharu Indonesia yang semakin hangat tayangannya setiap malam Sabtu di platform Disney+ Hotstar iaitu Teluh Darah arahan Kimo Stamboel dengan dibintangi, Mikha Tambayong sebagai Wulan dan suaminya, Deva Mahenra (Esa) untuk watak utama
Mengangkat kisah kekeluargaan yang mulanya bahagia, namun bertukar tragis selepas didatangi pelbagai gangguan misteri dan menakutkan
Ia umpama satu 'dendam lama' yang tidak diduga, muncul tiba-tiba dan terus mengejar mangsanya
Menonton setiap episodnya membuatkan tertunggu untuk tahu perjalanan kisah seterusnya. Ia boleh dianggap karya yang digarap teratur dan mantap oleh Kimo untuk disampaikan kepada penonton
Keserasian lakonan Mikha, 29, dan Deva, 33, juga terserlah untuk watak masing-masing
Pastinya, penonton terutama penggemar karya seram boleh melayan Teluh Darah sepenuh hati dengan bermacam debaran
Mengulas watak Wulan itu, Mikha berkata, sebagai wanita dalam kehidupan moden, berkerjaya dan berfikiran terbuka, sudah tentu sukar untuk dia (Wulan) mempercayai hal-hal berkaitan ilmu hitam atau makhluk halus
"Siri Teluh Darah ini membawa banyak pengalaman baharu untuk saya melihat perkembangan watak Wulan itu. Bermula dengan seorang yang kehidupannya bahagia, gembira dan bertukar menjadi gelap selepas seisi keluarga mendapat gangguan misteri daripada ilmu hitam yang dihantar seseorang
"Wulan perlu mencari apa sebenarnya yang pernah dilakukan ibu bapanya pada masa lalu mereka sehingga diganggu ilmu hitam. Siapa individu di sebaliknya dan kehadiran Esa sebagai kenalan juga banyak membantu Wulan," katanya yang ditemubual secara virtual bersama Deva dan Kimo, baru-baru ini
Mikha berkata, dia turut memberikan sepenuh komitmen untuk watak Wulan itu yang dibuatnya sebaik mungkin
Katanya, Teluh Darah juga adalah siri seram terbaik pernah dilakonkannya
Bagi Deva, banyak babak yang menarik dan kejutan akan disaksikan penonton dalam setiap episod
Katanya, ia bukan sekadar kisah keluarga semata-mata, tapi juga berhubung kait dengan persahabatan di antara keluarga Esa dan Wulan yang berkawan baik
"Teluh Darah ini sangat istimewa perjalanan ceritanya. Kami sebagai pelakon perlu lebih kreatif serta mempunyai stamina diri yang kuat kerana ia mencabar fizikal dan mental. Walaupun Esa dipaparkan sebagai lelaki berpenampilan biasa, tapi dia harus bersemangat kuat
"Kami juga diberikan latihan secukupnya sebelum penggambaran dibuat tahun lalu. Kami perlu memahami watak dan harus tahu apa yang mahu dilakukan agar penonton menerima jelas mesej cerita disampaikan. Ia proses yang panjang, tetapi menyeronokkan," katanya
Deva berkata, dia teruja dengan penayangan Teluh Darah menerusi Disney+ Hotstar dan berharap karya itu mendapat sambutan positif daripada penonton kerana jalan cerita dan skrip yang baik
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.kelimerah.com/2023/03/drama-teluh-darah.html