Dr M Kembali Lawat Anak Emasnya Di Langkawi
Episod jejak kasih kali ini mempertemukan semula perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan 'anak emasnya' yang lahir pada 1991 di Langkawi, yang bernama LIMA.
Kali terakhir LIMA dilihat dipimpini 'bapanya' adalah pada tahun 2003, sebelum Dr. Mahathir meninggalkan dunia politik dan LIMA diletakkan di bawah jagaan 'bapa-bapa angkatnya'.
Loading... 16 tahun berlalu, jasad dan semangat Dr. Mahathir kembali melangkah di dunia permainan takhta untuk dipertemukan kembali dengan LIMA yang bertakhta di hatinya. Dengan pakaian sama, warna yang sama, cuma corak yang berbeza.
Apalah agaknya rasa di dada Dr. Mahathir? Mungkin rindu, mungkin risau dengan pandangan pertama dua mata dengan 'anaknya' itu yang ditinggalkan sekian lama. Apa mungkin semakin gemilang atau sebaliknya?
Inilah gambarannya tentang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 2019) yang akan kembali dirasmikan oleh Dr. Mahathir hari ini 26 Mac 2019.
Dr. Mahathir mencetuskan penganjurannya pada 1991 dengan hasrat menyediakan tempat untuk pesawat ringan dan experimental terbang di luar kesesakan trafik udara dengan bebas, inspirasi daripada EAA Air Venture di Amerika Syarikat.
Ketika itu, hanya lebih sedikit daripada 100 penyertaan diterima untuk membentuk acara itu, yang juga diilhamkan sebagai antara usaha Tun Mahathir yang melihat potensi Langkawi yang sudah masyhur kisah legenda Mahsuri dan kekayaan alamnya untuk dibangunkan lebih besar.
Tahun ini, LIMA pada penganjurannya yang ke-15 menampilkan 406 syarikat dari 32 buah negara, 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat luar negara, dan dikenali reputasinya sebagai pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di rantau Asia Tenggara.
Di sinilah manusia berkumpul untuk menyaksikan lebih dekat bagaimana aset-aset ketenteraan udara dan laut, yang kebanyakan harinya habis di dalam hangar dan di dermaga, beraksi di depan mata kepala mereka.
Edisi 2003 menjadi LIMA terakhir yang Dr. Mahathir, sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai pegawai nombor satu negara dan LIMA dikendalikan di bawah pimpinan Perdana Menteri seterusnya.
Hari ini, Dr. Mahathir kembali memimpin negara selepas tarikh bersejarah 9 Mei 2018, membolehkan beliau kembali menjejakkan kakinya yang berusia hampir 94 tahun itu ke tarmac Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk merasmikan pameran dwi-tahunan itu.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menjanjikan kelainan dan berazam untuk melihat LIMA 2019 sebagai yang paling hebat dalam sejarah.
Katanya tidak seperti LIMA terdahulu yang menumpukan semata-mata keselamatan dan pertahanan negara, fokus penganjurannya kali ini akan turut terarah kepada industri pengangkutan dan syarikat awam.
Sekuriti amat penting dalam apapun medium pengangkutan, terutamanya di udara dan air dan kedua-duanya perlu saling diperkasa sebagai roh teras untuk membolehkan Malaysia dianggap sebagai hab aeroangkasa utama rantau ini menjelang 2030.
Kementerian Pengangkutan akan meneraju Pavilion Komersial di atas tapak berkeluasan 462 kaki persegi, menempatkan syarikat-syarikat di bawah payungnya juga agensi-agensi tempatan lain.
Walaupun menyaksikan penyertaan berkurangan berbanding 555 syarikat dari 36 buah negara pada penganjuran 2017, ia tidak menjadi kerisauan buat Mohamad apabila ia dilihat masih disertai pemain besar industri.
Turki menjadi pempamer terbesar, diikuti United Kingdom, Perancis, Jepun dalam pavilion kecil, pavilion China dan Rusia sebelah-menyebelah di Dewan A sementara pavilion Amerika Syarikat jauh di hujung lorong Dewan C.
Pentas LIMA 2019 juga menampilkan buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran menerima penyertaan 12 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam pembuatan komponen dan perkhidmatan industri aeroangkasa dan maritim.
Mereka dibawa kepada pasaran yang lebih besar untuk belajar daripada pemain industri, pada masa sama ‘abang-abang besar’ juga boleh meneroka potensi kecil pada PKS tempatan untuk diperbesarkan.
Saban tahun, LIMA sedikit demi sedikit menerima suntikan daripada penjaganya untuk menjadikannya lebih ‘tampan’ dan ‘kuat’.
Dan Dr. Mahathir akan kembali bersemuka dengan LIMA selepas 15 tahun, untuk melihat sama ada ‘anak’nya itu berada pada landasan tepat menuju ke-majuan atau tersimpang ke-lautan. - Astro Awani
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.com/2019/03/dr-m-kembali-lawat-anak-emasnya-di.html