Doakanlah Kesejahteraan Malaysia
Oleh AMREE AHMAD TANGKAP layar memaparkan Zulkifli Mohamad al-Bakri memimpin bacaan doa ketika sesi bersama bakal jemaah haji Malaysia di Arab Saudi secara maya hari ini.PUTRAJAYA: Kesemua 263 orang bakal jemaah haji Malaysia di Arab Saudi dimohon agar mendoakan kesejahteraan negara ini terutama dalam mendepani cabaran kritikal Covid-19.
Permintaan itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada mereka menerusi sesi khas dibuat secara maya malam ini.
Dalam nada sayu, beliau turut memaklumkan mereka mengenai situasi semasa kes baharu pandemik itu di tanah air hari ini mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah iaitu 13,215 kes.
“Anda semua tetamu istimewa dipilih oleh Allah dan akan berada di tempat antara mustajab doa di Arafah, justeru berdoakanlah demi kesejahteraan Malaysia nun dari sana,” katanya.
Lebih 200 bakal jemaah tersebut yang menetap di negara berkenaan sama ada belajar atau bekerja, menyertai sesi selama sejam itu sebelum berangkat ke Tanah Suci pada Sabtu ini.
Mereka antara sebahagian daripada 60,000 bakal jemaah dipilih oleh Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi berpeluang menunaikan ibadah Rukun Islam yang kelima itu musim kali ini.
Kerajaan negara itu untuk tahun kedua berturut-turut tidak membuka sempadan untuk warga asing mengerjakan haji susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia sejak awal tahun lepas.
Sebaliknya, negara berkenaan hanya memberi permit ibadah tersebut kepada rakyatnya dan warga asing yang menetap di Arab Saudi dengan pematuhan protokol kesihatan paling ketat.
Kesemua jemaah yang bertuah itu akan berada di Makkah selama tujuh hari sahaja bermula lusa sehingga hari tasyrik ketiga pada Jumaat minggu depan sebelum keluar dari Tanah Suci.
Mengulas lanjut, Zulkifli dalam nada sedih berkata, beliau sendiri ada perasaan kuat hendak pergi ke sana tetapi akur keputusan tegas kerajaan Arab Saudi demi maslahat semua pihak.
“Saya pun berkobar-kobar hendak datang ke Tanah Suci namun apakan daya, bukan rezeki dan anda semua harus bersyukur sebab bukan mudah dipilih menjadi tetamu Allah,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga bersyukur kerana bilangan bakal jemaah Malaysia pada kali ini bertambah besar berbanding tahun lepas hanya lapan daripada 10,000 orang yang layak.
Beliau turut memimpin doa pada akhir sesi selama hampir satu jam itu sambil optimis kesemua bakal jemaah akan memperoleh haji mabrur yang amat besar ganjarannya di sisi Allah.
Wukuf di Arafah ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi pada Isnin depan, manakala semua laluan akses ke Makkah sudah pun ditutup dan dikawal ketat polis tempatan sejak Isnin lepas.- UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/doakanlah-kesejahteraan-malaysia.html