Doa Yasin Kelebihan Membaca Surah Yasin
Doa Yasin & Kelebihan Membaca Surah Yasin – Membaca surah Yasin bukanlah satu perkara asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam majlis-majlis keagamaan seperti Majlis Solat Hajat dan sebagainya.
Menurut laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, membaca surah Yasin adalah satu ibadah dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya kerana ia merupakan satu surah daripada surah-surah di dalam al-Quran.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْف
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi, no. hadith 2835]
Pengenalan Surah Yasin
Surat yasin adalah merupakan surah ke 36 dan salah satu surah Makkiyah yang ada di dalam Al-Quran. Ia mempunyai 83 ayat dan dimulakan dengan dua abjad; Ya & Sin.
Terdapat banyak kelebihan membaca Surah Yasin, antaranya ialah:
1. Mendapat keampunan Allah.
Diriwayatkan oleh imam ad-Darimi, Abu Ya’la, Tabarani di dalam kitab Mu’ajam al-Awsat, Ibnu Mardawaih, Baihaqi di dalam kitab Syu’ab al-Iman, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari semata-mata untuk mendapat redha Allah, diampunkan dosanya pada malam itu..”
2. Mendapat ganjaran mati syahid.
Dikeluarkan oleh Tabarani dan Ibnu Mardawaih, imam Suyuti berkata dengan sanad yang lemah daripada Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang sentiasa membaca surah Yasin setiap malam, kemudian meninggal, dia meninggal dalam keadaan mati syahid.”
3. Melembutkan hati yang keras.
Daripada Abi Ja’far Muhammad bin Ali berkata:
“Barangsiapa yang mendepati hatinya keras, maka tulislah ayat يس وَالقُرْءَانِ di dalam bekas perak yang dicampur dengan Za’faran, kemudian minumlah airnya.”
4. Memberi rahmat kepada si mati.
Daripada Ma’qal bin Yasar berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Bacalah ia pada orang yang mati di kalangan kamu – yakni surah Yasin.”
Imam Ahmad rahimallah berkata, kami diceritakan oleh Abu al-Mughirah, Safwan menceritakan kepada kami, berkata yang maksudnya:
Para masyaikh pernah berkata: “Jika dibacakan – yakni surah Yasin – di sisi orang yang mati, ia dapat meringankannya.
NOTA:
Kebanyakan hadith-hadith yang menceritakan kelebihan surah Yasin adalah dhaif (lemah) atau palsu. Namun begitu, kita sangat digalakkan dan dituntut untuk sentiasa melazimi dan membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat, berdasarkan dalil umum yang terdapat di dalam al-Quran dan juga di dalam al-Sunnah al-Sahihah.
BACA JUGA: Doa Pengantin Baru Dalam Rumi dan Terjemahannya
Tatacara Membaca Surah Yasin
Seperti surah-surah yang lain, anda boleh terus membaca surah ini di dalam Al-Quran atau buku-buku Yasin yang khusus.
Sebelum membaca surah Yasin, anda boleh melafazkan bacaan-bacaan seperti berikut:
Membaca istighfar sebanyak 3 kali
Kemudian, membaca surah al-Fatihah 1 kali.
Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak 10 kali.
Setelah selesai, mulakanlah bacaan Yasin anda.
Apabila selesai membaca Surah Yasin, akhiri dengan doa Yasin.
Doa Yasin – Selepas Membaca Surah Yasin
Maksud Doa Yasin
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, pujian yang memadai dan menyamai akan pertambahan segala nikmatNya.
Wahai Tuhan kami, untukMu segala puji sebagaimana layak kebesaran dan kehebatan kekuasaanMu.
Ya Allah, kami pohon selawat dan salamMu ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga serta sahabat Baginda semuanya.
Ya Allah, dengan keberkatan Surah Yasin dan kitab Al-Quran yang penuh hikmat dan sesiapa yang Engkau pilih untuk membawa risalah, kenabian, penolong dan petunjuk hingga Sirat al-MustaqimMu.
Dengan kitab Al-Quran yang dibawa oleh Malaikat Jibril, dan dengan kekuatan huruf-huruf dan nama-nama yang sempurna yang Engkau miliki dan dengan apa yang Engkau perjelaskan dalam Al-Quran tentang kewujudan setiap tanda-tanda yang menunjukkan (kewujudanNya), dan dengan limpah kurniaMu dapat
menghilangkan keluh kesah dan dapat menyelesaikan beban hutang.
Wahai Tuhan yang mengendalikan pergerakan laut dan matahari, Wahai Tuhan yang menjadikan khazanahNya di antara huruf kaf dan nun, Tuhan yang Maha Mengetahui sebelum dan selepas sesuatu keadaan.
Kami memohon kepadaMu Ya Allah agar membuka ruang keredhaanMu, jadikanlah kami bersatu padu memuji dan memuja kekayaanMu agar Engkau permudahkan segala kehendak dan permintaan kami.
Engkau jadikanlah keredhaanMu sebagai teman hidup kami dan dengan limpah kebesaranMu Engkau tunaikan permintaan kami secepat mungkin, perkenanlah doa kami Ya Allah dan benarkanlah harapan kami disisiMu dan masukkanlah kami ke dalam rahsia firmanMu.
Sesungguhnya pekerjaanMu apabila mengkehendaki sesuatu hanya dengan berkata: JADI, maka jadilah ia.
Maha Suci Tuhan yang menguasai setiap sesuatu dan kepadaNyalah Kembali semuanya.
Maha Suci Tuhan yang dapat menghapuskan segala dukacita, Maha Suci Tuhan yang dapat menghilangkan kesusahan dan Maha Suci Tuhan yang dapat menyelesaikan beban hutang dan Maha Suci Tuhan yang kerjaNya apabila menghendaki sesuatu hanya dengan berkata: JADILAH, maka jadilah.
Wahai Tuhan yang menghilangkan dukacita, hilangkan, hilangkan. Ya Tuhan
yang menghilangkan dukacita. Wahai yang menghilangkan, hilangkanlah, Wahai yang menghilangkan, hilangkanlah, hilangkanlah dari kami dukacita.
Wahai Tuhan Yang Hidup, Yang Kekal dan Yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.
Dan Allah telah beri rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Dan segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam.
RUJUKAN: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1150-irsyad-al-hadith-siri-ke-58-kelebihan-membaca-dan-surah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/doa-yasin/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=doa-yasin