Doa Sunnah Selepas Tahiyyat Akhir
SOALAN:
Apakah bacaan atau doa yang boleh dibaca selepas daripada membaca tahiyyat akhir dan sebelum daripada memberi salam?
JAWAPAN:
Solat merupakan di antara ibadah yang paling agung dan ia merupakan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada hamba-Nya di akhirat kelak berdasarkan hadith Nabi SAW:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ بِصَلَاتِهِ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
“Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab dengannya oleh seorang hamba itu adalah solatnya. Jika sempurna (solatnya) maka dia akan beruntung dan berjaya. Namun, jika rosak solatnya maka dia binasa dan rugi.” [Riwayat al-Nasa’ie (465)]
Selain itu juga, solat juga bermaksud doa dari sudut bahasa. Ini kerana, di dalam solat terdapat tempat-tempat yang dituntut untuk kita memperbanyakkan berdoa padanya. Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nukilkan beberapa doa daripada dua kitab yang paling sahih selepas al-Quran iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim yang boleh diamalkan sebelum seseorang itu memberi salam:
1. Daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْآخِرِ، فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Apabila kamu selesai membaca tasyahhud akhir, maka mohonlah berlindung dengan Allah daripada empat perkara; daripada seksaan kubur, seksaan neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan kematian, serta daripada kejahatan al-masih al-Dajjal.” [Riwayat Muslim (588)]
2. Daripada Aisyah R.anha menceritakan bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ
“Adapun Rasullah SAW berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir): Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.” [Riwayat al-Bukhari (832)]
3. Daripada Ali bin Abi Thalib R.A berkata:
ثُمَّ يَكُونُ مِنْ آخِرِ مَا يَقُولُ بَيْنَ التَّشَهُّدِ وَالتَّسْلِيمِ: اللهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
“Kemudian apa yang dibaca di antara tasyahhud dan juga salam adalah: “Ya Allah, ampunilah (dosa) aku yang telah aku lakukan dan yang aku telah tangguhkan. Dan apa yang telah aku rahsiakan serta apa yang telah aku zahirkan. Dan apa yang telah aku bazirkan, sesungguhnya Engkau lebih mengetahuinya lebih daripadaku. Engkau yang mendahulukan serta Engkau yang mengakhirkan. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.” [Riwayat Muslim (771)]
4. Daripada Abu Bakar R.A, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ajarkanlah kepadaku satu doa untuk aku membacanya di dalam solatku”, lalu Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Ya Allah, Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Maka, Kau ampunilah dosa-dosaku serta rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Riwayat al-Bukhari (834)]
Riwayat yang pertama dan kedua jelas menunjukkan kepada kita bahawa sunat bagi setiap orang yang bersolat agar membaca doa ini setelah selesai membaca tahiyyat akhir dan sebelum memberi salam. Tambahan pula, riwayat Ali bin Abi Thalib R.A yang menerangkan berkaitan bacaan-bacaan Nabi SAW di dalam solat, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW membaca doa tersebut di antara tasyahhud dan juga salam. Akan tetapi, jika dilihat di dalam Sunan Abi Daud menunjukkan Nabi SAW membaca doa ini setelah Baginda SAW memberi salam. Adapun riwayat keempat pula, Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di dalam bab doa sebelum daripada memberi salam.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak lagi doa-doa yang boleh diamalkan dan boleh dibaca ketika di dalam solat. Untuk itu, kami sarankan kepada sidang pembaca sekalian agar merujuk kepada kitab himpunan doa seperti Hisnul Muslim atau Perisai Muslim yang telah banyak diterjemahkan. Ini kerana, di sana terdapat banyak lagi doa yang dinyatakan oleh penulis di dalam kitab tersebut yang boleh dibaca sebelum daripada memberi salam. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi SAW. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/01/doa-sunnah-selepas-tahiyyat-akhir.html