Dituduh Jadi Bapa Ayam Graduan Perubatan Jordan Ini Sebenarnya Dianiaya Dan Tidak Bersalah
Graduan Perubatan Jordan Bapa Ayam? Tidak lama sebelum ini, media sosial pernah bergegar dengan berita berkenaan graduan perubatan Jordan yang ditangkap melakukan perbuatan muncikari (Bapa Ayam)
Kes itu menjadi viral, sensasi dan menjadi sebutan ramai. Saya sendiri hairan, siapalah graduan tersebut, kerana tempat saya belajar ialah di Jordan, dan hanya ada satu universiti perubatan yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar Malaysia belajar di sana, iaitu Jordan University of Science & Technology (JUST)
Pelajar-pelajar Malaysia yang mengambil perubatan dan pergigian di sana, biasanya akan menetap di Irbid, tempat pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Yarmouk University, menetap
Alangkah terkejutnya, tak lama lepas saya menyiasat sedikit, gambar yang saya lihat ialah gambar sahabat saya, Luqman Zulkepli, terpapar
Walaupun belum lagi disabitkan bersalah, tambah lagi Luqman telah membuat pengakuan tidak bersalah, wajah Luqman telah disebarkan akhbar-akhbar dan laman media sosial. Akibatnya, Luqman menjadi bahan keji dan maki terlalu ramai orang. Wajahnya yang viral atas sebab yang busuk sebegitu, membuatkan hidupnya sedikit sebanyak terkesan
Luqman sebenarnya kenalan saya selama empat tahun di Irbid. Saya pernah serumah dengannya semasa saya tahun satu di sana dahulu, dan kami sebenarnya pernah berusrah bersama-sama, berprogram bersama-sama. Jadi saya memang ada kepercayaan bahawa Luqman tidak sesekali bersalah
Saya sangat kenal karakter Luqman. Pastinya dia diperangkap atau ada berlaku salah faham. Itu kata hati saya. Namun atas hormat kepada sistem perundangan kita, saya dan ramai rakan kami yang lain, menahan diri untuk bersuara dan menanti keputusan undang-undang
Alhamdulillah, kami mendapat khabar bahawa kini, kes terhadap Luqman telah pun digugurkan. Digugurkan bukan kerana kekurangan bukti. Tetapi digugurkan kerana TIDAK ADA BUKTI untuk mensabitkan beliau dengan aktiviti muncikari – Bapa Ayam – yang terkutuk itu. Ini bermakna, sebagaimana jangkaan kami, Luqman memang tidak terlibat
Pun begitu, berita pengguguran kes ini tidak kita lihat mendapat liputan akhbar-akhbar, laman viral, terutamanya pihak-pihak yang telah mendedahkan wajah Luqman dengan headline mengaitkannya beliau sebagai Bapa Ayam yang terlibat dengan aktiviti pelacuran
Di sini, saya sekadar laksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang kenalan, sebagai seorang sahabat, untuk membersihkan nama Luqman Zulkepli di media sosial ini
Besar harapan saya, media-media yang terlibat membuat liputan kes Luqman awal-awal dahulu, terutama yang sebarkan wajahnya, kini buatlah liputan juga berkenaan pengguguran kesnya. Bersihkan semula namanya
Saya berharap juga bantuan rakan-rakan yang ikuti saya, untuk bantu saya sebar luas tulisan ini. Bantu saya bersihkan nama sahabat saya ini. Terima kasih
Sumber: Hilal Asyraf via http://bit.ly/2BsipPi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sensasi247.blogspot.com/2019/10/dituduh-jadi-bapa-ayam-graduan.html