Disahkan Positif Covid 19 Menteri Agama Buat Permohonan Maaf
MALAYSIAKINI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Zulkifli Mohamad, mengesahkan dia dijangkiti Covid-19 sebentar tadi.
Membuat kenyataan itu di media sosial Zulkifli juga meminta memberitahu keadaan kesihatannya ketika ini adalah baik.
Pada masa sama senator itu juga menasihatkan orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadirannya antara 24 Sept hingga 4 Okt lalu agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.
"Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik," katanya.
Dalam hantaran kemudiannya Zulkifli juga meminta maaf atas "kelemahan dan kekurangan" di pihak dirinya.
"Seperti yang telah saya maklumkan dalam kenyataan pada hantaran sebelum ini, saya telah disahkan positif oleh KKM.
"Saya mohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan daripada diri saya," katanya.
Bantuan tetap diberikan
Nama Zulkifli disebut-sebut terutama di media sosial sejak pagi tadi lagi kerana dikatakan positif Covid-19, namun tidak ada pengesahan dibuat mengenainya sehinggalah petang tadi.
Lebih menimbulkan kerisauan banyak pihak, dua sidang media yang dijadualkan hari ini - membabitkan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah - dibatalkan.
Zulkifli sebelum ini ada ke Sabah untuk menyertai program di sana ketika tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN), dan sekembalinya ke semenanjung, menghadiri beberapa program lain.
KKM juga menerusi satu kenyataan tadi - tanpa menamakan sesiapa - mengesahkan bahawa seorang individu yang “menghadiri satu mesyuarat di JPM” kelmarin disahkan positif Covid-19.
Gambar fail“Sehubungan itu semua yang hadir ke mesyuarat tersebut telah menjalani saringan kesihatan hari ini serta sampel telah diambil untuk ujian pengesanan jangkitan Covid-19,” kata Noor Hisham.
Kata Noor Hisham lagi, pengesanan dan siasatan kontak sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan Covid-19, dan kontak rapat yang dikenal pasti diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan.
Tambahnya, kontrak rapat dalam mesyuarat itu telah diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober serta dipakaikan gelang pengawasan.
Ahli lain dalam mesyuarat itu yang bukan kontak rapat dikehendaki memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari dengan menggunakan peralatan penilaian rumah (home assessment tool - HAT) dalam aplikasi MySejahtera.
“Mereka telah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut,” katanya lagi.
Dalam kenyataan itu juga, Noor Hisham berkata, buat masa ini “individu berkenaan” tidak mengalami sebarang gejala, namun dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif Covid-19.
Meskipun kini ditahan di hospital, Zulkifli memberi jaminan bantuan yang dijanjikannya kepada mahasiswa terkandas gara-gara Covid-19 menerusi Mus’adah Khas Siswa Siri 2 tetap diteruskan oleh agensi agama di bawah kementeriannya.
Untuk rekod, bantuan itu adalah bagi membantu pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkesan akibat penangguhan pendaftaran baru-baru ini.
Bagi program Musa’adah Covid-19 yang diaturkan pula, kata Zulkifli, ia akan dijalankan seperti biasa di seluruh negara melibatkan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain, disalurkan tanpa mengira agama dan bangsa.
"Saya akan pastikan semua bantuan sampai kepada sasaran, insya-Allah," katanya.
“Saya sayang anda semua. Patuhi semua SOP yang dikeluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/disahkan-positif-covid-19-menteri-agama.html