Dia Buka Mata Dan Cakap Abah Saya Minta Maaf Abah Kirim Salam Dengan Mak Saya Hanya Mampu Cium Dahi Dia
“Dia buka mata dan cakap, abah, saya minta maaf abah kirim salam dengan mak. Saya hanya mampu cium dahi dia”. Dia bawa hati saya bersamanya,” kata Md Yunos Mad, 57, bapa kepada pegawai bomba bantuan yang maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Bandar Penawar-Pungai, di Kota Tinggi, semalam.
Md Yunos berkata, anaknya, Mohd Syafiq, 23, berkhidmat selama empat tahun sebagai pegawai bomba bantuan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya, kami tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana perasaan marah tetap tidak akan membawa Allahyarham kembali kepada keluarga,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Punggai, Kota Tinggi, hari ini.
Md Yunos berkata, pada awalnya, dia tidak mengetahui Mohd Syafiq memohon untuk menjadi pegawai bomba.
“Selepas dipanggil dan lulus, baru saya tahu dan saya terus bertanya, kau masuk bomba ini kau tahu atau tidak risikonya.. bukan setakat memadam api tetapi menyeluruh. Boleh hadap ke?
“Dia menjawab ‘ya’ dengan yakin dan walaupun saya mengizinkan… namun naluri sebagai bapa kuat merasakan akan kehilangan seorang daripada anak saya,” katanya.
Menurutnya, selama ini dia cuba menolak perasaan itu dan hanya berserah kepada Allah.
Kami Redha
“Hari ini baru terjadi. Saya tidak menyesal dia kerja dalam bidang itu… itu memang kehendaknya dan dia ditakdirkan pergi sebelum saya,” katanya.
Md Yunos yang juga seorang nelayan berkata, Allahyarham yang juga anak kedua dari empat beradik disifatkan sebagai seorang pemalu, mendengar kata dan taat dengan ibu bapa,
Katanya, pada masa sama, anaknya itu peramah dan suka bergurau dengan ibu, Hatipah Bulat, 51.
Menurutnya, ketika kejadian, Allah bagaikan memberi peluang kepada mereka bertemu buat kali terakhir apabila sempat berbual dengan arwah.
“Pada mulanya ada orang cakap dia dah tak ada sebab yang jumpa hanya tangannya dahulu… tangannya putus. Ketika itu dengan lemahnya saya hanya terduduk di dalam kereta tidak sanggup tengok.
“Bukan tidak mahu, tetapi tidak sanggup. Tetapi apabila kawan-kawan saya panggil Pak Long (nama panggilan) dan berkata Syafiq panggil abah dia… dia sebut nama saya, saya terus berlari ke arah van dan melihatnya.
“Dia buka mata dan cakap, abah, saya minta maaf abah kirim salam dengan mak. Saya hanya mampu cium dahi dia dan cakap dia tidak ada salah dengan dan akan mendoakan dia sembuh,” katanya.
Menurutnya, arwah bertarung nyawa selama dua jam di wad kecemasan sebelum doktor memaklumkan Syafiq dalam keadaan kritikal berikutan pendarahan teruk dan mungkin tidak dapat diselamatkan.
“Saya sempat mengajarnya mengucap sebelum dia meninggal dan syukurlah, isteri boleh menerima berita itu walaupun dalam keadaan lemah,” katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Punggai, dekat Kota TInggi, selepas solat Zuhur.
Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis sempat menziarah keluarga arwah.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Mohd Syafiq yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas sebelum motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, untuk mendapat rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia.
Sumber: harian metro
The post “Dia buka mata dan cakap, abah, saya minta maaf abah kirim salam dengan mak. Saya hanya mampu cium dahi dia” appeared first on .
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.apakes.com/dia-buka-mata-dan-cakap-abah-saya-minta-maaf-abah-kirim-salam-dengan-mak-saya-hanya-mampu-cium-dahi-dia/