Dewan Rakyat Boleh Tentukan Saya Terus Jadi Pm Atau Tidak
NURUL HUDA HUSAIN   Dr Mahathir      
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  menegaskan kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara kekal  atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh ahli Dewan Rakyat.
   Menurutnya, perkara itu merupakan prinsip bagi sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
 "Kalau  saya tidak mahu letak jawatan (sebagai Perdana Menteri) tetapi majoriti  dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh. Itu cara demokrasi di mana  yang berkuasa sebenarnya Dewan Rakyat dan ahli-ahli.
  "Mereka boleh menentukan saya terus jadi Perdana Menteri atau tidak.  Kalau saya kata saya tidak hendak letak jawatan tetapi mereka tidak  sokong saya, (maka) saya jatuh sebab yang betul-betul berkuasa adalah  parti. Itu pun kalau parti mendapat majoriti.
 "Kalau parti itu  pun tidak mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat, saya  tetap tidak boleh jadi Perdana Menteri. Parti merupakan satu bahagian  tetapi itu mestilah parti majoriti tetapi kalau parti majoriti sekali  pun apabila seseorang itu dicalonkan tetapi Dewan Rakyat menolak dia  tetap tidak boleh menjadi Perdana Menteri," katanya dalam wawancara  bersama portal, The Malaya Post.
 Beliau berkata demikian ketika  diminta mengulas mengenai janjinya untuk menyerahkan jawatan sebagai  Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri  Anwar Ibrahim.
 Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Ahli  Parlimen Langkawi itu turut menegaskan beliau akan tetap menyerahkan  jawatan kepada Anwar seperti yang dijanjikan sebelum ini.
 "Kita  berjanji, kita berpegang kepada janji. Saya cuma jadi Perdana Menteri  kerana dapat sokongan dari parti (gabungan PH) saya terutama dari  majoriti ahli Dewan Rakyat," katanya.
    Menerusi persefahaman dalam kalangan pimpinan PH, Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.
 Tarikh  peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan  sejak kebelakangan ini susulan tempoh dua tahun yang disebut-sebut  sebelum ini hampir tamat.
 Pada masa ini, PKR adalah parti  terbesar di Dewan Rakyat dengan 47 ahli Parlimen disusuli dengan DAP  (42), Bersatu (26), Parti Amanah Negara (Amanah) (11).
 Sekutu PH iaitu Warisan memiliki sembilan ahli Parlimen.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/dewan-rakyat-boleh-tentukan-saya-terus.html