Darjat Manusia Jatuh
Malaikat sentiasa beribadat kepada Allah SWT tidak melakukan dosa, sedangkan iblis pula sepanjang masa ingkar perintah Allah terus hidup dalam kemurkaan Allah.
Manusia yang patuh kepada Allah SWT bermakna meletakkan darjatnya pada kedudukan lebih tinggi berbanding makhluk lain, termasuk malaikat kerana berjaya mengatasi dorongan nafsu yang dipengaruhi oleh syaitan.
Sebaliknya, darjat manusia jatuh kepada tahap paling rendah jika hidup dipengaruhi nafsu jahat yang diketuai syaitan. Manusia yang ingkar kepada perintah Allah SWT mendapat dipandang seperti haiwan, bahkan lebih hina daripada itu.
Kehebatan manusia terserlah ketika 'ujian' menentukan siapa lebih layak untuk menjadi khalifah di muka bumi sebaik selepas Allah SWT mencipta Adam.
Ketika malaikat dan jin dipanggil untuk dimaklumkan tentang keputusan Allah SWT untuk menjadikan manusia (Adam) sebagai khalifah di muka bumi, lalu kedua-duanya membantah kerana masing-masing merasakan kejadian mereka lebih mulia dan telah lama patuh kepada Allah SWT.
Namun, malaikat angkur pada kehendak Allah SWT setelah gagal menjawab pertanyaan Allah SWT mengenai nama-nama tertentu, sedangkan Adam dapat memberi jawapan dengan tepat. Bahkan, Adam diberi penghormatan untuk mengajar malaikat apa yang diketahui itu.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 33 bermaksud: "Allah berfirman: 'Hai Adam, beritahulah mereka nama-nama ini' maka setelah diberitahu kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman, 'Bukankah sudah Ku katakan kepadamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu perlihatkan dan apa yang kamu sembunyikan."
Setelah 'ujian' itu membuktikan kehebatan manusia, lalu Allah SWT menyuruh malaikat menghormati Adam dan menerima ketetapan bahawa Adam telah dipilih sebagai khalifah.
Lalu malaikat segera patuh kepada perintah Allah SWT, kecuali iblis yang terus ingkar dan memilih untuk menjadi makhluk yang menzalimi diri sendiri.
Sikap iblis tidak mahu tunduk kepada Adam menjadi permulaan kepada permusuhannya dengan manusia sehingga ke hari kiamat. Malah, iblis telah memohon kepada Allah SWT agar usianya dipanjangkan sehingga ke hari kiamat semata-mata untuk berusaha menyesatkan manusia agar dimasukkan bersama-samanya ke dalam neraka.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya bermaksud mengajak golongan yang terpedaya agar sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/03/jjj.html