Danone Jemput Pembuat Dasar Untuk Sertai Usaha Tangani Anemia Dalam Kalangan Kanak Kanak Malaysia
Danone Jemput Pembuat Dasar Untuk Sertai Usaha Tangani Anemia Dalam Kalangan Kanak-kanak Malaysia
KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2025 — Danone Specialized Nutrition Malaysia hari ini melancarkan pameran ‘Galeri Kuat Zat Besi’ (Wall of Iron Strong) Dugro di IOI City Mall, Putrajaya, sebagai langkah memperhebat kempen nasional dalam memerangi Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA). Walaupun IDA merupakan satu krisis kesihatan yang melanda kanak-kanak di Malaysia, ia sering terlepas pandang.
Majlis pelancaran inisiatif berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. Inisiatif ini melambangkan keazaman untuk beralih daripada usaha meningkatkan kesedaran kepada kebertanggungjawaban negara serta tindakan dasar yang mendesak.
“IDA bukan sekadar masalah kesihatan; ia adalah cabaran ekonomi dan pembangunan yang mendesak. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat besi menghadapi risiko kognitif yang tidak dapat dipulihkan. Kerjasama kami dengan Danone menekankan keperluan mendesak untuk tindakan dasar segera, pelaksanaan mandatori saringan nutrisi awal, serta penyelesaian pencegahan yang mampan,” kata beliau.
Sejak 2023, Danone giat bekerjasama dengan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memacu inisiatif saringan dan kesedaran IDA di seluruh negara. Baru-baru ini, Danone telah memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi melaksanakan saringan IDA di peringkat nasional, serta menganjurkan program komuniti bagi meningkatkan kesedaran di peringkat akar umbi dan intervensi awal. Bagi mengukuhkan komitmen ini, Danone akan memperluas sokongan dengan menyediakan bantuan nutrisi bersasar kepada kanak-kanak kurang berkemampuan menerusi pengedaran produk Dugro bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Langkah ini mengukuhkan lagi misi Danone untuk memerangi anemia dalam kalangan kanak-kanak dan mempromosikan akses saksama kepada nutrisi penting.

Sebagai sebahagian daripada kempen strategik ini, Danone turut bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka kertas cadangan dasar bagi memasukkan saringan IDA secara mandatori ke dalam agenda kesihatan nasional. Profesor dan Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin menekankan: “Kekurangan zat besi merupakan punca utama anemia, namun 90% kanak-kanak yang mengalami IDA mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas. Mereka berisiko dua kali ganda untuk mengalami masalah tumbesaran terbantut. Kajian juga menunjukkan bahawa, IDA boleh memberi kesan jangka panjang yang tidak dapat dipulihkan terhadap perkembangan otak, dan kanak-kanak yang terjejas mencatatkan skor IQ sehingga 13% lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka.”
Kempen ini turut meraikan lebih enam dekad kehadiran Dugro sebagai jenama nutrisi yang dipercayai oleh keluarga Malaysia, dengan menyediakan produk nutrisi yang diformulasi secara saintifik. “Kisah-kisah yang dipamerkan di galeri menggambarkan betapa pentingnya nutrisi kanak-kanak,” kata Pengurus Negara, Danone Specialized Nutrition, Malaysia & Singapura, Koh Kok Meng. “Misi kami hari ini adalah jelas — bergerak melangkaui usaha meningkatkan kesedaran kepada tindakan yang boleh diukur. Kami menyeru para pembuat dasar dan masyarakat agar komited untuk membina Malaysia yang lebih kuat dan bijak melalui saringan sistematik dan intervensi nutrisi.”
“Anemia Kekurangan Zat Besi adalah masalah yang boleh diselesaikan. Apa yang kita perlukan kini adalah tindakan kolektif. Ini bukan sahaja kempen Danone; ia adalah kempen untuk seluruh Malaysia,” tambah beliau.
Pameran ‘Galeri Kuat Zat Besi’ Dugro menampilkan kisah-kisah peribadi yang penuh inspirasi daripada rakyat Malaysia tersohor seperti juara Paralimpik Muhamad Ziyad Zolkefli, ahli bioteknologi Dr Mahaletchumy Arujanan, serta jurutera nanoteknologi Fakhirah Khairuddin, sekali gus menyerlahkan kaitan langsung antara nutrisi awal kanak-kanak dengan kesihatan jangka panjang.

Sebagai pelengkap kepada pameran ini, orang ramai turut boleh mengakses Soal Selidik Saringan Kuat Zat Besi secara dalam talian bagi menilai tahap risiko nutrisi dalam kalangan kanak-kanak.
Acara ‘Galeri Kuat Zat Besi’ Dugro yang berlangsung dari 20 hingga 24 Ogos 2025 mengundang keluarga di Malaysia untuk menyertai pengalaman berunsur pendidikan dan interaktif bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan tindakan awal terhadap IDA. Aktiviti yang disediakan termasuk saringan anemia dan kekurangan zat besi secara percuma menerusi Ujian Hemoglobin tanpa invasif dan mesra kanak-kanak, serta soal selidik pengambilan zat besi digital interaktif, satu inovasi proprietari yang dibangunkan oleh Pakar Nutrisi Danone. Selain itu, para tetamu boleh menikmati pelbagai stesen permainan interaktif dan cabaran pengumpulan cop yang menawarkan ganjaran eksklusif. Mereka juga berpeluang meneroka rangkaian produk Dugro dan menebus hadiah istimewa, sekali gus memperkukuh mesej tentang peranan penting nutrisi yang betul dalam perkembangan kanak-kanak.
The post Danone Jemput Pembuat Dasar Untuk Sertai Usaha Tangani Anemia Dalam Kalangan Kanak-kanak Malaysia appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/08/26/danone-jemput-pembuat-dasar-untuk-sertai-usaha-tangani-anemia-dalam-kalangan-kanak-kanak-malaysia/