Dakwaan Polis Paksa Pasangan Kekasih Tarik Balik Laporan Samun Tak Benar
Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata semakan melalui rakaman litar tertutup di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kejadian samun atau pertengkaran seperti dinyatakan pengadu. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Dakwaan menyatakan polis memaksa sepasang kekasih yang mendakwa disamun di Bangsar supaya menarik semula laporan tidak benar, kata polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor, sebaliknya pengadu telah membuat laporan palsu berkaitan insiden disamun itu.
Katanya, pada 4.15 petang kelmarin, seorang lelaki warga Pakistan berumur 22 tahun telah membuat laporan mendakwa disamun oleh sekumpulan lelaki warga tempatan.
“Kejadian (didakwa) berlaku kira-kira 2 pagi (hari yang sama) semasa pengadu sedang merokok di Jalan Telawi 3, Bangsar.
“Pengadu mendakwa sekumpulan lelaki tersebut meminta wang dan memukulnya di bahagian muka lalu mengambil barangan peribadi berupa sebentuk cincin perak, rantai leher emas, telefon bimbit dan wang tunai. Anggaran kerugian lebih kurang RM6,000,” katanya malam tadi, menurut Bernama.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, semakan melalui rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian semalam mendapati tiada sebarang kejadian samun atau pertengkaran seperti yang dinyatakan pengadu dalam laporan polis.
Kata Amihizam, rakaman CCTV juga menunjukkan pengadu bersama-sama dua wanita sedang menyeberang jalan dari hadapan Hong Leong Bank di Jalan Telawi ke tempat letak kereta dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa.
“Keterangan awal pengadu kepada pihak polis pula didapati ada keraguan dan tidak konsisten. Berdasarkan keterangan saksi, wujud kehadiran polis menyuraikan beberapa pelanggan yang menjerit kerana mabuk di kelab yang dikunjungi oleh pengadu pada hari kejadian.
“Namun CCTV tidak memaparkan sebarang kejadian samun atau pertengkaran yang melibatkan pengadu dan teman wanitanya di lokasi kejadian. Polis mendapati pengadu telah membuat laporan polis palsu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan tuduh pengadu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana boleh dikenakan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Spekulasi berkaitan kenyataan yang tular di laman Twitter ini hendaklah dihentikan,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/05/dakwaan-polis-paksa-pasangan-kekasih.html