Dakwaan Anwar Banyak Keraguan Kata Pakar
Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa beliau mendapat  sokongan 'kukuh dan meyakinkan' untuk mengambil alih tampuk  pemerintahan, menimbulkan pelbagai persoalan sejauh manakah beliau mampu  menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan PN akan  terus memerintah selagi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dapat  membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat yang beliau  benar-benar mempunyai angka keramat untuk mengambil alih tampuk  pemerintahan kerajaan PN.
Bagi pakar geostrategi Azmi Hassan,  walau apapun percaturan Anwar, kata putus akhir mengenai sebarang  perubahan pada tampuk pemerintahan bukan terletak di tangan beliau  tetapi di tangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau  berkata Agong boleh memutuskan peralihan kuasa dilakukan tanpa  pembubaran Parlimen atau pilihan raya umum jika Parlimen dibubarkan.
“Memang  benar jawatan perdana menteri adalah bergantung kepada sokongan yang  diperoleh melalui Dewan Rakyat. Jika benar dakwaan yang beliau telah  mendapat sokongan majoriti, ini bermakna Perdana Menteri Tan Sri  Muhyiddin Yassin sudah kehilangan sokongan Ahli Dewan Rakyat," katanya.

Mengenai  desas-desus bahawa Anwar mempunyai sokongan Ahli Parlimen UMNO, Azmi  berkata beliau tidak pasti tentang perkara itu memandangkan ia akan  menimbulkan kekecewaan akar umbi UMNO kerana mana mungkin parti itu  boleh bekerjasama dengan DAP yang selama ini dianggap seteru.
“Perlu diingat mengapa Ahli Parlimen UMNO sokong Muhyiddin adalah untuk mengelak DAP dalam kerajaan.
“Oleh  kerana DAP sudah menyatakan sokongan kepada Anwar,  maka agak pasti DAP  akan turut serta dalam kerajaan Anwar. Ini sudah tentu menyukarkan  penerimaan akar umbi UMNO terhadap keputusan Ahli Parlimen UMNO sokong  Anwar,” katanya. 
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  dalam kenyataan semalam mengesahkan menerima maklumat terdapat ramai  ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan  terhadap Anwar dan beliau menghormati pendirian mereka itu.
Sementara  itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti  Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata  masyarakat secara umumnya tidak boleh menerima bulat-bulat dakwaan Anwar  mendapat sokongan membentuk kerajaan baharu.

Ini  kerana dakwaan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu dengan melihat  kepada akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani barisan Ahli Parlimen.
“Pada  saya apabila Anwar mengatakan telah mendapat sokongan majoriti, itu  hanyalah kata-kata. Perlu dibuktikan dengan beberapa cara termasuk  melihat kepada SD atau pengumuman secara jelas daripada Ahli Parlimen.  Jadi, kita tidak perlu menerima bulat-bulat kenyataan beliau lagi,”  katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pengumuman dibuat Anwar itu  mampu mempengaruhi proses Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu ini  memandangkan pengundi di negeri itu perlu memilih gabungan yang  disenangi kerajaan Persekutuan demi masa depan Sabah.
“Hubungan  antara Persekutuan dan negeri memberi impak besar dalam pembangunan di  Sabah selain melihat bagaimana keakuran Persekutuan berhubung Perjanjian  Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
Sementara itu, belum ada pihak dalam PN yang menyatakan sokongan kepada Anwar.
#Sumber :   - Bernama  
MR : Ini dikatakan mainan politik yang kemaruk nak jadi PM   
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected]
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/09/dakwaan-anwar-banyak-keraguan-kata-pakar.html