Dah Kena Belasah Baru Ingat Tuhan
Bachok: “Ya Allah baru aku rindu ko seksok (ke akhirat). Ya Allah, Ya Allah.” Demikian rintihan seorang lelaki yang dipukul penduduk kampung selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Kampung Sungai Gali, Beris Lalang, di sini.
Suspek berusia 45 tahun itu dipukul penduduk kampung selepas dia ditangkap pada malam kejadian yang berlaku Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, dalam kejadian 30 Januari itu, pemilik rumah berusia 51 tahun meninggalkan kediaman dalam keadaan berkunci baik pada jam 8 pagi, hari sama.
Katanya, bagaimanapun pada jam 6 petang, pemilik dihubungi adik iparnya memaklumkan pintu rumah terbuka sedikit membuatkan mangsa bergegas pulang dan mendapati sebuah motosikal Honda C70 miliknya sudah hilang.
“Mangsa turut mendapati mangga kunci pintu gril turut hilang dan keadaan rumah berselerak dengan beberapa barang di dalam rumah juga hilang.
“Antaranya, satu unit televisyen, sebuah gitar, tong minyak petrol dan beberapa barangan lagi dengan anggaran kerugian RM2,500,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa bersama ahli keluarga membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumahnya dan menjumpai barang yang hilang di kawasan semak.
Katanya, mereka kemudian bersembunyi di dalam semak untuk menunggu suspek mengambil barang itu.
“Pada jam 8.15 malam, tiga suspek menaiki Perodua Kembara dengan nombor pendaftaran palsu datang ke rumah mangsa dengan dua daripadanya turun mengangkat barang curi manakala seorang lagi menunggu dalam kereta,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dan ahli keluarga kemudian menyerbu namun hanya dapat menangkap seorang suspek manakala dua lagi melarikan diri.
“Berlaku pergelutan dan suspek mengalami luka pada kepala dan bengkak kedua belah mata. Suspek dibawa ke balai dan mangsa membuat laporan polis,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek direman mulai 31 Januari hingga 4 Februari ini.
Mohd Yusrizal berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menghukum suspek yang boleh memberi kesan buruk jika berlaku kejadian tidak diingini.
“Sebaiknya, serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular tiga rakaman video berdurasi lapan hingga 20 saat memaparkan seorang lelaki dengan keadaan berdarah dan bengkak di muka akibat dipukul penduduk kampung dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah. HM
The post Dah kena belasah baru ingat Tuhan appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/02/01/dah-kena-belasah-baru-ingat-tuhan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=dah-kena-belasah-baru-ingat-tuhan