Covid 19 Ydp Agong Titah Masjid Adakan Bacaan Doa Qunut Nazilah
Astro Awani                                                                                                 

                                YDP  Agong menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera,  rawatan serta pemantauan berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia  dan agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan  dilaksanakan sewajarnya.                          KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in  Billah menyeru semua masjid di negara ini agar memendekkan khutbah solat  Jumaat dan menyediakan forehead thermometer, hand sanitizer serta penutup mulut dan hidung sebagai langkah mencegahan kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku
  Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato' Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu  kenyataan hari ini berkata Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat  berwuduk dari rumah sebelum ke masjid dan rakyat yang mengalami gejala  COVID-19, dinasihatkan agar tidak menghadiri solat Jumaat sepertimana  saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator  Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
                                                                                                                     Dato’ Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar  semua masjid di negara ini mengadakan bacaan Doa Qunut Nazilah semasa  Solat Subuh dan Solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat dari  wabak COVID-19.
 “Al-Sultan Abdullah amat prihatin dan mengikuti  perkembangan terkini penularan COVID-19 dan menzahirkan kebimbangan  Baginda terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat berikutan kenaikan  kes-kes terbaru jangkitan virus tersebut di negara ini,” katanya
                                                                                                                       Tambahnya, sehingga 11 Mac 2020, jam 12 tengah hari, Kementerian  Kesihatan Malaysia telah memaklumkan bahawa terdapat 20 kes baharu  jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Dengan pertambahan kes-kes baharu  ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah  sebanyak 158 kes, termasuk satu kes terpencil di mana pesakit tiada  kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau  kontak dengan kes positif COVID-19.
 Dato’ Ahmad Fadil berkata  Seri Paduka Baginda turut menyeru peserta yang menghadiri Ijtimak  Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga  Mac 1 memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan  menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk memastikan jangkitan COVID-19  tidak terus merebak dalam komuniti.
 “Seri Paduka Baginda  menggesa rakyat Malaysia agar menangguh perhimpunan yang melibatkan  orang ramai (mass gathering) sepertimana saranan Kementerian Kesihatan  Malaysia dan rakyat yang mengalami gejala COVID-19 agar tidak menghadiri  program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat.
  “Rakyat turut digesa menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian  atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui  laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sebarang keraguan  serta pertanyaan dan untuk mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh  mencetuskan panik di kalangan rakyat,” katanya lagi.
 Dato’ Ahmad  Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya mematuhi  panduan kebersihan dan kesihatan diri serta langkah pencegahan yang  dikeluarkan KKM bagi mengelakkan penularan COVID-19.
 Al-Sultan  Abdullah juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan  segera, rawatan serta pemantauan berterusan oleh Kementerian Kesihatan  Malaysia dan agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan  serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/covid-19-ydp-agong-titah-masjid-adakan.html