Covid 19 Kerajaan Perlu Menambahbaik Pembelajaran Online Dengan Segera
oleh Hawati Abdul Hamid dan Jarud Romadan Khalidi
Covid-19: Merapatkan jurang pembelajaran pelajar sekolah
Penularan wabak Covid-19 memberi kesan ke atas kehidupan setiap rakyat, walaupun secara tidak sekata. Ramai berharap kehidupan akan kembali seperti sediakala dan bagi ibu bapa, ini termasuk menyambung semula persekolahan anak-anak. Penutupan sekolah sejak pertengahan Mac menggangu proses pembelajaran 4.9 juta pelajar.
Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih berjalan seperti biasa memandangkan guru-guru disaran mencari kaedah terbaik untuk menyampaikan pelajaran. Penjarakkan fizikal mendorong ramai guru melaksanakan pembelajaran jarak jauh sama ada dalam atau luar talian, menggunakan peralatan elektronik (e-pembelajaran).
Realitinya, situasi e-pembelajaran semasa sangat berbeza berbanding rutin harian persekolahan. Ramai pelajar, guru dan ibu bapa masih bergelut dengan keadah e-pembelajaran. Memandangkan masih belum jelas bila semua pelajar boleh kembali ke sekolah, pelaksanaan e-pembelajaran harus diperbaiki agar lebih sistematik dan inklusif.
Menambahbaik e-pembelajaran
Pertama, pemilikan peranti yang rendah menjadikan pelaksanaan e-pembelajaran agak mencabar. Hasil kaji selidik KPM melibatkan hampir 900,000 pelajar menunjukkan sebilangan besar pelajar tidak mempunyai peranti (37%). Hanya 6% pelajar mempunyai komputer peribadi, 9% mempunyai “tablet”, sementara pemilikan telefon pintar agak tinggi pada tahap 46%. Walaupun ada keluarga yang memiliki peranti, kebanyakannya masih perlu berkongsi dengan ahli keluarga lain untuk tujuan kerja atau belajar.
Inisiatif untuk meningkatkan pemilikan peranti perlu dilaksanakan. Ini termasuk memberi geran untuk membeli peranti, mewujudkan skim pinjaman peranti seperti skim pinjaman buku teks yang sedia ada dan pemberian peranti percuma kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah. Walaupun langkah ini memerlukan peruntukan kewangan kerajaan, ini harus dianggap sebagai pelaburan yang berbaloi untuk masa depan negara. Syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menggembeleng usaha menderma komputer baru atau terpakai untuk diedarkan ke sekolah.
Selain itu, pelepasan cukai boleh diperluaskan untuk menggalakkan pemilikan peranti. Adalah wajar agar perbelanjaan pembelian peranti dan caj internet dikategorikan secara berasingan daripada perbelanjaan gaya hidup lain seperti dalam jadual pelepasan cukai sekarang. Jumlah pelepasan cukai pula boleh dinaikkan memandangkan kos untuk kedua-dua item ini agak tinggi.
Kedua, sambungan internet yang lancar amat penting agar proses e-pembelajaran berjalan secara berkesan. Walaupun penembusan jalur lebar mudah alih adalah tinggi pada kadar 120%, penembusan jalur lebar talian tetap yang berkelajuan lebih tinggi dan stabil hanya berada sekitar 8%. Capaian internet masih mempunyai banyak kekangan dari segi liputan dan kelajuan akibat kekurangan rangkaian gentian optik. Usaha pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) perlu dilipatgandakan agar akses kepada internet berkelajuan tinggi dan mampu milik dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Inisiatif kerajaan memberi 1GB data mudah alih percuma tidak mencukupi untuk menyokong aktiviti telekonferensi kelas dan paparan video kerana keperluan data yang tinggi. Pelajar daripada keluarga miskin tidak mampu membeli data tambahan dengan lebih kerap kerana kekangan kewangan. Syarikat telekomunikasi harus mempertimbangkan memberi data tambahan percuma bagi membantu guru, ibu bapa dan pelajar menghadapi cabaran semasa.
Ketiga, memandangkan kadar pemilikan telefon pintar dalam kalangan pelajar agak tinggi, medium tersebut dimanfaatkan oleh guru untuk menyampaikan pelajaran melalui pesanan WhatsApp atau Telegram. Namun, penyampaian PdP melalui telefon pintar perlu dipertingkatkan. Peraturan bersesuaian perlu dipraktikkan bagi memastikan komunikasi dalam aplikasi tersebut lebih sistematik dan efektif. Guru boleh bertindak sebagai pentadbir bagi memantau aktiviti komunikasi ahli kumpulan dan hanya pesanan penting patut dibenarkan bagi memudahkan segala maklumat diambil tindakan.
Keempat, aktiviti PdP harus seragam termasuk dalam aktiviti pembelajaran dan pemberian kerja rumah bagi semua mata pelajaran. Kini, proses pembelajaran banyak bergantung kepada inisiatif dan keupayaan guru untuk menggunakan “e-learning”. Perkara ini harus diperbaiki dan guru harus berusaha untuk mematuhi sukatan pelajaran yang ditentukan dan melaksanakan PdP secara konsisten dan sistematik.
Kelima, saluran TV, radio dan penstriman video harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai kaedah alternatif untuk menyampaikan pengajaran kepada kumpulan pelajar yang besar. EduwebTV contohnya diwujudkan KPM bagi menyediakan perkhidmatan pendidikan dalam talian. Namun, penstriman video biasanya menggunakan data yang tinggi dan banyak keluarga tidak mempunyai akses kepada begitu banyak data.
Sebagai alternatif untuk pelajar yang tidak mempunyai akses internet, KPM juga melancarkan Program TV Pendidikan atau Kelas@Rumah tetapi program ini hanya berjalan selama 2 jam setiap hari. Waktu siaran perlu dipanjangkan agar dapat merangkumi lebih banyak subjek dan bagi setiap tahap (darjah dan tingkatan), dan tidak terhad kepada kelas yang akan menduduki peperiksaan sahaja. Selain itu, subjek yang kurang memerlukan bantuan visual seperti sejarah boleh diajar melalui saluran radio memandangkan radio masih merupakan medium komunikasi maklumat yang penting.
Keenam, walaupun e-pembelajaran berjalan, interaksi langsung antara guru dengan semua pelajar di alam maya masih terhad kerana bilangan pelajar yang tinggi setiap kelas. Keberkesanan e-pembelajaran boleh dipertingkatkan dangan mengambil pembantu guru/tutor dalam kalangan graduan baru untuk menyertai program bimbingan pelajar, sekaligus menangani pengangguran belia. Setiap tutor boleh ditugaskan kepada sekumpulan pelajar yang lebih kecil bagi memberi perhatian yang lebih khusus.
Pelajar kurang bernasib baik dan berkeperluan khas
Malangnya, perbincangan di atas hanya meliputi cabaran yang dihadapi oleh pelajar yang mempunyai alat peranti bersesuaian bagi menyokong e-pembelajaran. Masalah yang dihadapi oleh pelajar yang langsung tidak mempunyai peranti dan akses kepada internet masih belum ditangani dengan berkesan. Di samping itu, pembelajaran murid berkeperluan khas juga belum diberi perhatian.
Walaupun benar pembelajaran berjalan seperti biasa, ini mungkin hanya berlaku bagi sebilangan pelajar yang bernasib baik sahaja. Justeru, disarankan agar pelajar kelainan upaya, kurang berkemampuan dan berprestasi rendah diberi keutamaan untuk kembali bersekolah apabila wabak Covid-19 dapat dikawal dan PKP dilonggarkan.
Mobiliti sosial dan kesan jangka panjang krisis
Cabaran pembelajaran semasa harus ditangani sebaiknya kerana kesan krisis boleh mempengaruhi prospek hidup dan mobiliti sosial dalam jangka masa panjang. Kehilangan punca pendapatan keluarga boleh meningkatkan kadar keciciran pelajar sekolah. Selain itu, tekanan ekonomi yang berpanjangan juga boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental anak-anak sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui pengaruh kesihatan mental ibu bapa.
Kesan krisis juga boleh dirasai oleh para pelajar setelah keadaan kembali pulih. Kajian di beberapa buah negara mendapati belia yang memasuki pasaran buruh selepas Krisis Kewangan Global menghadapi kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan bergaji rendah, menganggur lebih lama dan menikmati kemajuan kerjaya yang lebih perlahan, berbanding belia yang memasuki dunia pekerjaan semasa keadaan ekonomi lebih stabil.
Walaupun tidak ada kajian yang serupa di Malaysia, trend mobiliti sosial semasa agak membimbangkan. Kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati walaupun generasi sekarang umumnya mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi, mobiliti sosial dilihat semakin perlahan lantaran pertumbuhan ekonomi yang semakin lemah, persaingan yang lebih tinggi di pasaran buruh dan premium pendidikan terutamanya daripada pendidikan tinggi yang semakin menyusut.
Usaha melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital antara segenap lapisan masyarakat perlu dilakukan dengan segera. Sekiranya tidak, kesan jangka panjangnya akan meluaskan jurang ketidaksamaan dan menyebabkan lebih ramai anak-anak tercicir.
FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/05/04/covid-19-kerajaan-perlu-menambahbaik-pembelajaran-online-dengan-segera/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=covid-19-kerajaan-perlu-menambahbaik-pembelajara