Covid 19 Debaran 72 Jam Menjelang Penentuan Pkp
KUALA LUMPUR: Status arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama ada dilanjutkan atau ditamatkan, bakal diketahui dalam tempoh kira-kira 72 jam lagi, selepas dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik COVID-19
PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat ini, yang pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelusuk tanah air
Jika diteliti, rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki hari ke-22 pelaksanaan PKP hari ini dan ingin kembali kepada kehidupan normal, namun kerajaan pastinya akan membuat keputusan tepat berdasarkan situasi semasa kes COVID-19 di negara ini
Untuk rekod, Malaysia merekodkan 69 kes sporadik COVID-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Sementara, sebanyak 170 kes baharu COVID-19 dengan satu lagi kematian direkodkan setakat 12 tengah hari semalam, menjadikan jumlah kes positif 3,963 kes membabitkan keseluruhan 63 kematian
Kita juga mungkin boleh berbangga apabila indeks jenayah di seluruh negara turun sebanyak 70 peratus sepanjang tempoh PKP namun tangkapan individu yang ingkar PKP di seluruh negara sehingga semalam sudah mencecah 6,451 orang
Menyentuh mengenai operasi sanitasi awam COVID-19, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 666 operasi sanitasi di 79 zon termasuk kesemua 18 Zon Merah
Dalam tempoh itu, bangunan kerajaan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut dinyah cemar termasuk 24,077 unit rumah PPR
Pastinya operasi itu penting kerana kini terdapat satu lagi lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), yang terbaharu bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di sini
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di tiga kawasan iaitu Simpang Renggam, Kluang, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur
Di sebalik segala usaha itu, rakyat dan syarikat korporat turut bersama-sama kerajaan membantu membendung wabak COVID-19 termasuk melalui sumbangan kepada Tabung COVID-19 yang kini mencecah RM22.6 juta untuk disalurkan kepada pihak yang berkenaan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui hantaran di laman Facebooknya, berkata sehingga Isnin lalu, sejumlah RM5.68 juta dana daripada tabung itu disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas akibat wabak tersebut
Muhyiddin berkata sebanyak RM195,000 juga disalurkan atas nama Bayaran Ihsan Kematian kepada 39 waris mangsa jangkitan COVID-19
Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu
Justeru, Malaysia memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya dalam situasi PKP ini bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 daripada terus menular atau memberi kesan yang tidak sepatutnya
Tunaikanlah tanggungjawab sebagai rakyat dengan mematuhi peraturan, tidak menyebarkan berita palsu termasuk di media sosial dan hargailah peranan petugas barisan hadapan yang sedang berjuang demi keamanan dan keselamatan negara. – BERNAMA
from Sehinggit Media https://ift.tt/2Ro2zxj
via Merah Hati Cintaku
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://merahhaticintaku.blogspot.com/2020/04/covid-19-debaran-72-jam-menjelang.html