Covid 19 13 000 Waris Meninggal Dunia Belum Tuntut Bkpc
zuhayati 
 		 			Setakat ini NADMA hanya terima 4,311 permohonan sahaja

		  			 			BANGI  – Kira-kira 13,000  waris atau ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19  belum membuat permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19  (BKPC) yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Aminuddin  Hashim berkata, setakat ini pihaknya telah menerima 4,311 permohonan  BKPC dengan 3,496 daripadanya layak, lengkap permohonan serta telah  melalui proses verifikasi data daripada Kementerian Kesihatan (KKM)  untuk mendapatkan bantuan.
“Hanya waris si mati bagi kematian  berkaitan COVID-19 yang melibatkan warga tempatan di Malaysia sahaja  yang boleh memohon bantuan khas ini. Jadi saya ingin menyeru kepada  waris untuk membuat permohonan kerana ruang masih terbuka,” katanya,  hari ini.
Sehingga 2 September, NADMA telah  menyalurkan RM16.1 juta kepada 3,235 waris bagi BKPC dan RM 22.2 juta  kepada 16,722 pesakit menerusi Bantuan Khas COVID-19.
BKPC merupakan bantuan sekali bayar  RM5,000 diberikan kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan  jangkitan virus COVID-19.
Bantuan Khas COVID-19 pula merupakan  bantuan RM100 sehari (maksimum 14 hari) bagi mereka yang menerima  Perintah Kuarantin COVID-19 dari KKM, menjalani rawatan COVID-19 di wad  hospital atau menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah  (HSO) atas arahan KKM.
Berhubung kelewatan pemprosesan  permohonan bantuan, Aminuddin berkata, antara lain disebabkan permohonan  berganda, kematian di luar fasiliti KKM, akaun bank tidak aktif, selain  terpaksa melihat semula permohonan daripada mereka yang memang sudah  disahkan tidak layak mendapat bantuan itu.
Jelasnya, tempoh 30 hari bekerja dari  tarikh penerimaan dokumen permohonan yang lengkap diperlukan pihaknya  bagi memproses permohonan bantuan, termasuk proses verifikasi dan  padanan data daripada KKM.
“Kalau data itu ada dalam portal KKM, terus kita boleh proses,” katanya.
Bagi mereka yang masih tidak mendapat  jawapan permohonan selepas 30 hari, beliau berkata pemohon boleh  menghubungi NADMA melalui emel 
[email protected] dan 
[email protected]. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/covid-19-13000-waris-meninggal-dunia.html