Christophe Gamel Fahami Kekecewaan Minta Para Penyokong Jangan Putus Harapan
KUANTAN - Pengendali pasukan, Christophe Gamel memahami perasaan penyokong yang kecewa dengan prestasi semasa pasukan susulan kekalahan ketiga berturut-turut dialami dalam saingan Liga Super.
Sri Pahang tewas kepada Terengganu FC 1-2 pada Ahad lalu, yang juga kekalahan ketujuh secara keseluruhan bagi musim ini lantas menyaksikan pasukan kini menghuni tangga kedua tercorot dengan hanya lapan mata selepas berakhir 11 perlawanan pusingan pertama.
Namun Gamel tidak mahu penyokong putus harapan dengan skuad ini, kerana menurutnya perjalanan liga masih panjang dan belum terlewat untuk Sri Pahang bangkit dan memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
"Saya faham kekecewaan penyokong, tapi percayalah kami semua pun kecewa dengan apa yang dilalui. Semua pihak bermula dari pengurusan, barisan pemain dan kejurulatihan sedang berusaha melakukan yang terbaik, tiada siapa yang mahu pasukan mereka jatuh.
"Sejujurnya saya lihat banyak peningkatan dalam permainan, saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka kerana saya dapat lihat semangat dan keghairahan mereka di atas padang.
“Tetapi kita perlu untuk mengurangkan kesilapan, itu isu utama. Kita ketinggalan awal kerana satu kesilapan kecil, banyak kali saya tegaskan perkara ini. Pasukan lawan mengambil kesempatan dari kesilapan kita lakukan, kita juga tidak sempurnakan peluang, dan ini adalah perkara paling penting untuk kita baiki.
“Yang penting, masih belum terlambat untuk bangkit kerana perjalanan liga masih panjang, saya tahu, dan saya yakin dengan pemain-pemain boleh melakukan yang lebih baik dalam baki perlawanan sekiranya berusaha dengan lebih keras.
“Kita mempunyai satu skuad baik adunan pemain berpengalaman dan pemain muda yang semakin bertambah baik. Jangan putus harapan, kita belajar dari kesilapan dan perlu tampil lebih baik,” ujar Gamel.
Dalam masa sama, Gamel juga berpendapat Terengganu tidak sepatutnya diberikan penalti pada minit ke-77 malah menyatakan tiada kesalahan yang dilakukan oleh penjaga gol, Mamadou Samassa ketika menyelamatkan sepakan pertama Faisal Halim sehingga ia perlu diambil semula.
Sepakan yang diambil kali kedua oleh Faisal itu menewaskan Samassa dan menghadiahkan gol kemenangan buat Terengganu.
"Saya tidak berapa gemar untuk menyebut tentang pengadilan, tapi kerap kali perkara sebegini terjadi, berkenaan penalti yang diberikan kepada TFC, bagi saya ianya tidak sepatutnya penalti dan Samassa juga tidak melakukan kesalahan.
"Sejujurnya saya lihat pengadil gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin, saya agak sedih kerana perlawanan yang bagus dirosakkan pengadilan yang tidak bagus.
“Ini adalah pertama kali pasukan yang saya bimbing menjadi mangsa pengadilan buruk sebanyak tiga kali dalam semusim. Nasib sama berlaku ketika bertemu Kedah yang mana dua gol kita tidak dikira dan begitu juga ketika menentang PJ City yang mana FAM sendiri akui pengadil buat silap.
“Saya hormat pada semua pengadil, namun saya fikir mereka yang tidak berkualiti perlu dihantar semula ke kursus secara lebih mendalam," kata Gamel lagi. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2022/07/christophe-gamel-fahami-kekecewaan.html