Chong Wei Mahu Laksanakan Misi Langsai Hutang Dengan Isteri
PUTRAJAYA, Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mahu melaksanakan misi melangsaikan ‘hutang’ bulan madu dengan isterinya, Datin Wong Mew Choo, walaupun sudah mendirikan rumah tangga hampir tujuh tahun dengan bekas pemain badminton wanita negara itu.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan dua orang anak lelaki — Kingston Lee dan Terencce Lee, masing-masing berusia enam dan empat tahun.
Pemain berusia 37 tahun itu, yang mengumumkan persaraanya hari ini, berkata beliau tidak sempat untuk berbulan madu dengan isterinya sejak berkahwin pada November 2012.
“Saya betul-betul mahu cakap, saya mahu berehat dan saya mahu selesai hutang dengan isteri saya sebab selepas berkahwin, saya belum bawanya berbulan madu lagi. Saya hutang dia sudah lama, sudah tujuh tahun,” katanya pada sidang media khas untuk mengumumkan persaraannya di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini.
Beliau berkata sebagai pemain, beliau tidak boleh berehat terlalu lama serta jadual hariannya dipenuhi dengan sesi latihan serta menyertai pelbagai kejohanan dalam dan luar negara.
Justeru, katanya, beliau tidak dapat meluangkan masa untuk membawa isterinya berbulan madu mahupun peluang bercuti panjang.
Dan inilah masa yang tepat untuk saya berehat dan membawa isteri bercuti dan berbulan madu,” katanya.
Pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu berkata beliau tidak menolak untuk terus menabur bakti kepada sukan badminton jika khidmatnya diperlukan.
Namun, buat masa ini, beliau mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
“Walaupun nanti saya sudah bersara, saya akan terus bantu BAM. Mungkin boleh jadi rakan sepelatih kepada pemain muda atau pun perkara-perkara lain jika diperlukan.
Sementara itu, Mew Choo, ketika ditanya mengenai hasrat Chong Wei untuk membawanya berbulan madudan lokasi yang dijanjikan, katanya, beliau pernah meluahkan hasrat untuk kembali ke Los Angeles, Amerika Syarikat, jika berpeluang berbuat demikian.
“Buat masa ini, perkara itu tidak begitu penting. Pada saya yang penting adalah keadaan kesihatannya. Saya ingat, pada ketika saya masih bergelar atlet, saya pernah menyertai Kejohanan Dunia di Los Angeles (LA). Kemudian saya harap dapat pergi semula ke LA,” katanya.
Ditanya mengenai keputusan suaminya untuk bersara selepas 19 tahun menceburi sukan itu, Mew Choo berkata beliau dan keluarga sentiasa menyokong apa saja keputusan yang dibuat dan sedikit lega apabila beliau (Chong Wei) memilih untuk bersara atas kepentingan kesihatan.
“Saya tahu ia bukan mudah untuk Chong Wei buat keputusan untuk bersara tapi saya rasa ini adalah yang terbaik untuk dirinyanya. Sejujurnya, ketika bergelar atlet, dia memang banyak habiskan masa kepada latihan dan kejohanan.
“Selepas persaraan ini, dia akan ada lebih banyak masa dengan anak-anak, lagipun anak-anak semakin membesar dan perlukan perhatian.
“Sudah tentu semua orang risau apabila dia mahu teruskan latihan selepas menjalani rawatan dan disebabkan nasihat doktor yang mahu dia kurangkan tekanan, dia terpaksa buat juga keputusan ini,” katanya.
— BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/06/14/chong-wei-mahu-laksanakan-misi-langsai-hutang-dengan-isteri/