China Tawar Selamatkan 1mdb Kabinet Tak Dimaklumkan
Norlaile Abd Rahman       

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR- Kabinet tidak pernah dimaklumkan mengenai dakwaan  mengatakan China menawarkan pelan penyelamat kepada 1Malaysia  Development Bhd. (1MDB) dan sebagai timbal balas mereka mahu  dianugerahkan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Paip Gas  Trans Sabah yang dijanjikan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah.
 Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya benar laporan Wall Street Journal (WSJ) dalam artikel bertajuk China Tawar Selamatkan 1MDB, perkara tersebut berlaku tanpa kelulusan kabinet.
 Justeru, Ahli Parlimen Rembau itu meminta supaya dakwaan tersebut disiasat dengan teliti.
 “Satu dakwaan yang besar dan perlu disiasat dengan teliti. Sebagai  bekas ahli kabinet, saya boleh katakan kabinet tidak pernah dimaklumkan  mengenai perjanjian dengan China mempunyai kaitan dengan pelan  menyelamat 1MDB.
 “Sekiranya memang ada bukti yang menunjukkan wujudnya perjanjian  sedemikian, ianya berlaku tanpa kelulusan kabinet,” katanya dalam  hantaran Twitternya hari ini.
 Menjawab tuduhan seorang pengguna Twitter @AhmadMuzhaffar yang  mengejek tweetnya sebagai pembohongan terbesar 2019, Khairy dengan tegas  meminta supaya minit mesyuarat pertemuan antara pemimpin kanan China  dan Malaysia seperti yang didakwa oleh Wall Street Journal itu  dinyahrahsiakan supaya boleh dibaca oleh semua pihak.
 “Minta kabinet nyahrahsia minit berkenaan dan kemudian kita boleh tahu siapa yang menipu,” tegas Khairy.
 Hari ini, WSJ dalam satu artikel bertajuk China pernah tawarkan bantuan selamatkan 1MDB mendedahkan perkara itu berkata, ia berdasarkan kepada beberapa minit mesyuarat yang dikajinya.
 Dalam minit-minit mesyuarat berkenaan, pegawai-pegawai China pernah  memberitahu wakil-wakil Malaysia bahawa negara itu akan menggunakan  pengaruhnya untuk meminta Amerika Syarikat dan beberapa negara lain  menggugurkan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan rampasan  barangan milik 1MDB.
 Malah, Beijing turut menawarkan untuk mengintip kediaman dan pejabat  wartawan-wartawan media itu yang terlibat dengan siasatan 1MDB di Hong  Kong, bagi mengetahui dalang yang membocorkan maklumat tersebut kepada  mereka, menurut minit tersebut.
 Sebagai balasan, WSJ berkata, Malaysia menawarkan kepentingan dalam  projek landasan kereta api, projek paip minyak bagi One Belt, One Road  untuk membina infrastruktur di luar negara.
 Menurut WSJ lagi, dalam beberapa bulan kemudian Najib telah  menandatangani projek landasan keretapi bernilai AS$34 bilion, saluran  paip dan perjanjian lain dengan syarikat-syarikat negara China, yang  akan dibiayai oleh bank-bank China dan dibina oleh pekerja-pekerja China
 Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa sidang medianya  pagi tadi memaklumkan tidak mendapat maklumat mengenai perkara  tersebut.
 Beliau berminat untuk melihat sendiri minit mesyuarat yang  diperkatakan oleh WSJ dan berjanji akan menyiasat perkara  tersebut.-MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/china-tawar-selamatkan-1mdb-kabinet-tak.html