Cerita Taukeh Mamak Kedai Barang Permainan Di Kampung Saya Yang Suka Belek Duit Siling
Di kampung dulu, ada sebuah kedai mamak di pekan Penanti terselit di satu sudut kecil di hujung kedai Mat Moto. Sebaris sebelah kirinya ada kedai baiki barangan letrik, ada kedai basikal dan di hujung sekali di depannya ada pokok ketapang, sebuah bengkel besi tradisional yang ambil tempahan buat pelbagai peralatan senjata seperti parang dan sebagainya.
Kedai Lim letrik tu tempat saya pergi setiap kali disuruh orang tua baiki radio kalau rosak. Kedai besi tu tempat saya dan kawan-kawan pergi kutip taik besi sebelum pergi mandi ban, kononnya hantu air takut pada taik besi.
Kedai mamak tu pula kedai yang paling kerap saya dan kawan-kawan pergi, ada kalanya lebih daripada sekali sehari. Mamak tu jual barang-barang permainan dan jajan kegemaran kanak-kanak seperti gula-gula, asam jeruk dan lain-lain.
Harga barang-barang masa itu masih murah. Dengan 10 sen anda boleh dapat 5 biji gula-gula. Dengan 5 sen juga kita masih boleh membeli sesuatu. Duit kertas memang amat jarang ada dalam poket kami ketika itu, hanya ada duit siling saja.
Persepsi mamak kedekutSetiap kali beli barang di kedai mamak, dia tak benarkan kanak-kanak ambil sendiri barang-barang dari kedai bekas simpanan barangnya. Dia akan tanya nak apa dan akan ambilkan untuk ditukarkannya dengan wang yang kanak-kanak bawa.
Mamak Mutalib ni punya peel yang agak menarik. Setiap kali saya beli sesuatu dan hulurkan duit siling padanya, dia akan belek dengan penuh teliti duit yang saya hulurkan itu. Selagi dia tak berpuas hati dengan duit syiling tersebut dan tak mengesahkan nilainya dia tak akan berikan gula-gula yang masih dalam genggaman tangannya.
Begitulah sikapnya dengan siapa saja.
Mungkin terkesan membesar dengan melihat cara mamak itu membelek untuk pastikan duit siling yang diterimanya betul, maka saya ada persepsi yang mamak sangat kedekut. Duit syiling 1 sen pun dia akan diteliti dengan lama.
Bukan saja saya ada persepsi begitu, semua kawan-kawan satu kampung saya punya andaian yang sama. Bila kami sebut perkataan kedekut, ia adalah sinonim dengan mamak.
Walaupun saya masih kanak-kanak ketika itu, saya dah faham apalah sangat duit 5 sen. Kalau rajin berjalan kaki di atas padang atau di sepanjang jalan laluan orang ramai dan buka mata tengok bawah, tentu akan terjumpa duit 5 atau 10 sen yang terjatuh. Kalau terjatuh 5 sen ketika berjalan, saya lihat orang dewasa tak berapa ambil kisah sangat. Duit raya pun masa zaman tu, jarang orang tua bagi 5 sen, paling biasa adalah 20 sen.
Kenapalah mamak tu berkira betul dia dengan duit siling walaupun 5 sen?
Jaga duit silingWalaupun mamak sangat sederhana, cari makan dengan hanya kedai kecil yang menjual barang jajan dan permainan kanak-kanak dan kebanyakkan pelanggannya adalah kanak-kanak, dia mampu menyara seluruh keluarga dan mendidik anak-anaknya berjaya sehingga ke peringkat tinggi.
Setakat yang saya perhatikan, mamak yang dah kaya raya sekalipun, masih punya perangai yang sama terhadap duit syiling. Masih tetap berkira. Ada sesuatu yang saya dapat pelajari dari sikap sedemikian dalam bab menguruskan kewangan.
Jika anda jaga duit syiling, duit kertas akan terjaga dengan sendirinya"
Panduan itu juga merupakan falsafah Andrew Carnegie, salah seorang usahawan yang paling kaya di Amerika suatu ketika dulu. Beliau merupakan pencetus inovasi industri besi di Amerika dan menjadi kaya raya dengan sikapnya yang cukup berkira walaupun duit syiling.
Jika anda mahu menguruskan wang dengan mudah, maka berkira dan jagalah wang syiling anda. Insyallah wang kertas akan terjaga secara automatik.
Nota: Sekarang persepsi mamak itu kedekut dah hilang setelah kenal ramai taukeh kedai mamak yang pemurah, yang kaya raya dengan rangkaian restoran nasi kandar mereka yang sangat popular.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.hidupringkas.com/2024/02/mamak-taukeh-kedai-permainan-kanak.html