Bersatu Seru Semua Pihak Bertenang Susulan Kemelut Politik Perlis

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan perkembangan politik di Perlis yang melibatkan pengguguran keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS serta peletakan jawatan Menteri Besar perlu ditangani secara matang dan berhemah.
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pihak diminta agar bertenang dan tidak membuat sebarang tindakan terburu-buru.
“Rakyat menaruh keyakinan penuh bahawa Raja Perlis akan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa prerogatif Baginda selaras dengan Perlembagaan Negeri, bagi menentukan pelantikan Menteri Besar baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Rabu lalu, PAS memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akaun bersumpah (SD) yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Tiga ADUN PAS digugurkan keahlian
Memetik laporan Harian Metro, tiga ADUN yang digugurkan keahlian itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perlis yang berkuat kuasa semalam.
Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan beliau untuk terus menjalankan tugas.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata keutamaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini adalah memastikan Kerajaan Negeri Perlis terus berfungsi dengan baik tanpa gangguan, selain memberi tumpuan penuh kepada kebajikan serta keperluan rakyat.
Menurutnya, perkara itu selari dengan mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. – The Malaysian Update
The post BERSATU seru semua pihak bertenang susulan kemelut politik Perlis appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/26/bersatu-seru-semua-pihak-bertenang-susulan-kemelut-politik-perlis/