Cerita Muhyiddin Punya Janji
Dilapor Sinar Harian 15 Julai lalu, Muhyiddin Yassin, si pengerusi Perikatan Nasional, jamin kerajaan yang bakal dipimpin PN akan berlaku adil dan saksama untuk kepentingan negara. Untuk menjadi kerajaan perlu menang pilihan raya terlebih dahulu.Tetapi tidak ada butiran lanjut mengenai apa-apa pilihan raya dalam laporan itu. Adakah Muhyididn bercakap mengenai PRU16? Jika ya ia agak premature kerana PRU16 masih jauh. Mengambil kira 19 November 2022 sebagai tarikh mengundi PRU15 maka PRU16 akan diadakan sekurang-kurangnya empat tahun lagi jika tidak lima. Ertinya paling awal 2026.
Oleh itu adakah maksud Muhyididn enam pilihan raya negeri yang akan diadakan 12 Ogos ini? Jika ya ini memang logik dan relevan. Tetapi apa perlunya Muhyiddin beri jaminan kerajaan yang akan dipimpin gabungannya akan berlaku adil dan saksama? Bukankah Kedah, Kelantan dan Terengganu sedang ditadbir PN? Mengapa tidak jadikan ketiga negeri itu contoh jika yakin keadilan dan kesaksamaan benar terjalin di situ? Mengapa tidak berkata lihatlah Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang PN perintah dengan adil dan saksama?
Pada hemat saya itulah yang patut dikatakan Muhyiddin jika beliau tujukan jaminannya kepada Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, yakni patut kata PN jamin adil dan saksama jika ia tubuh kerajaan di situ.
Bagi saya jaminan itu diberi khusus kepada masyarakat bukan Islam di samping orang Melayu-Islam yang tidak yakin dengan PN. Itu sebabnya Muhyiddin bercakap juga mengenai kebimbangan terhadap “Gelombang Hijau” dan PN akan jadi kumpulan Taliban.
“Terdapat beberapa kebimbangan bahawa kerajaan PAS atau PN akan berbeza sekali, malah ada yang mengatakan lebih teruk daripada kerajaan Taliban,” Muhyiddin dipetik berkata. Tidak ada penjelasan lanjut. Tidak dapat dipastikan apa maksud kerajaan PAS atau PN akan berbeza sekali. Beza bagaimana? Berbanding siapa ?
Apa pun beliau juga berkata “saya tak tau pun apa yang dimaksudkan Taliban itu, saya pernah mendengar mengenainya”. Bagaimanapun umum tahu maksud jika sesebuah kerajaan dilihat sebagai ‘Taliban’. Kumpulan asal Afghanistan itu dikaitkan dengan dasar extreme” dan disifatkan “hardline”, yang antaranya melarang wanita bekerja, tidak membenarkan kanak-kanak perempuan bersekolah, dan mengenakan hukuman keras terhadap wanita yang tidak memakai burqa meskipun menutup aurat. Ada juga laporan mendakwa lelaki yang tidak berjanggut disebat, tapi ini tidak dapat disahkan.
Lalu apabila ada kebimbangan PAS atau PN akan jadi lebih teruk daripada Taliban seperti Muhyiddin akui ada mendengarnya, ia sesuatu yang serius. Muhyiddin pantas menafikan PAS dan PN akan jadi Taliban.
Dalam pada itu Muhyididn juga dipetik berkata tiada ada yang perlu dibimbangkan berhubung istilah “Gelombang Hijau” yang dikaitkan dengan warna PAS — “Jangan risau tentang Gelombang Hijau. Saya tidak tahu dari mana datangnya istilah itu.” Namun umumnya prestasi cemerlang PN pada PRU15 di wilayah Utara dan Pantai Timur Semenanjung dilihat ramai sebagai kemenangan PAS walaupun Bersatu pimpinan Muhyididn duduk bersama dalam PN.
Ads by KioskedMaka timbullah persepsi (malah ada orang cukup yakin) PAS ‘abang besar’ dalam PN, sesuatu yang Muhyiddin nafikan juga. Namun persepsi PAS “big brother “ tidak lenyap. Sukar untuk menyalahkan sesiapa yang berpendapat PAS menguasai PN. PRU15 lambang PAS digunakan di Pantai Timur. Pada PRN Ogos ini lambang PAS akan digunakan lagi di Kelantan dan Terengganu, kata Muhyiddin. Lambang PN akan digunakan di negeri lain. Kesimpulannya PAS lebih garang berbanding Bersatu.
Kedah, Kelantan, dan Terenggnau diterajui PAS . Muhyiddin boleh jika mahu menjadikan tiga negeri itu contoh pentabiran PN. Technically he is right. Tetapi realitinya ketiga tiga adalah pentadbiran PAS.
PAS sejak berzaman menegaskan ia mahu mewujudkan Negara Islam. Ini bercakap mengenai negara bukan sekadar negeri. Cuma untuk sekian ia tidak mengutarakan contoh. Pada 1 Januari 2019 saya menulis artikel untuk Malaysiakini berjudul “Kalau PAS perintah Malaysia”. Menerusi artikel itu saya memaklumkan pertanyaan saya kepada pemimpin dan ahli PAS apa sebenarnya Negara Islam yang PAS uar-uarkan sering tak mendapat jawapan jelas dan menyakinkan… sehinggalah pada 27 Julai 2018 apabila pemimpin Pemuda PAS Fadhli Shaari memberitahu satu forum di Shah Alam bahawa jika PAS menawan Putrajaya ia akan menggunakan Kelantan sebagai rujukan kerana negeri itu berjaya mengimbangi undang-undang syariah dan keperluan budaya golongan bukan Islam.
Dalam erti kata lain kalau mahu bayangkan bagaimana rupa bentuk Malaysia bawah pemerintahan PAS tengok sahaja Kelantan. Apa yang ada dan dikuatkuasakan di Kelantan akan diadakan untuk Malaysia. Tetapi itu ketika PAS belum memerintah Kedah dan Terengganu. Sekarang model yang mana akan dijadikan contoh buat waktu terdekat semasa berkempen PRN Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.
Antara tiga negeri PAS itu boleh dikata Kelantan ‘keras’ dalam melaksana undang-undang yang apa ia sifatkan “Islamik “.Tidak perlu huraian. Pun begitu ketiga-tiganya serupa walaupun tak sama. Sebenarnya lebih serupa daripada tak sama. Apa kata presiden Bersatu agaknya? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/07/cerita-muhyiddin-punya-janji.html