Cara Untuk Bersangka Baik Dalam Kehidupan
Kita semua biasa mendengar istilah bersangka baik.
Bagi kebanyakkan orang, bersangka baik ini adalah sesuatu yang tidak asing bagi dirinya. Ia merupakan sesuatu yang sering diungkapkan dan meniti dibibir.
Bila ada seseorang yang berkelakuan kurang baik, sama ada terhadap kita, atau berlaku didepan mata kita, daripada kita maki hamun orang tu, lebih baik kita cakap pada hati,
“Tak apa, kita bersangka baik… dia ni mungkin ada sebab kenapa buat macam tu…”
Selepas cakap macam tu, biasanya kemarahan kita akan mula mereda dan seterusnya kita akan jadi lebih tenang.
Memang betul, cakap nak bersangka baik itu memang mudah. Tapi untuk melakukannya, ia satu hal yang berbeza.
Bagaimana cara untuk bersangka baik?
Persoalan ini timbul setelah saya tersedar yang sebenarnya tak semua orang tahu cara untuk bersangka baik.
Kalau orang tu, tak pernah diajar untuk bersangka baik, dan tak pernah ada keinginan untuk belajar cara untuk bersangka baik, macam mana dia nak bersangka baik dekat orang lain, yang dia tak pernah kenal langsung?
Kita tak pernah kenal orang tu, dan satu hari, orang yang kita tak kenal tu, buat sesuatu yang tak baik pada kita dan menyakitkan hati kita pula, tiba-tiba kita nak bersangka baik pulak dekat orang tu.
Saya rasa dalam situasi ini, lebih senang untuk kita berprasangka buruk berbanding nak bersangka baik, betul tak?
(silap-silap penumbuk dengan dengan penerajang yang akan pergi dulu dekat orang tu)
Kadang-kadang nak bersangka baik dengan orang yang kita kenal, atau dengan saudara yang rapat dengan kita pun susah. Inikan pula nak bersangka baik dengan orang luar.
Bunyinya macam mustahil, kan?
Untuk anda yang nak stay positif, dan tak nak kotorkan hati serta serabutkan pemikiran dengan hal-hal yang negatif, dekat sini saya nak kongsikan kepada anda cara untuk kita praktikkan sikap bersangka baik.
Selepas anda baca perkongsian ini, automatik anda akan tahu, cara dan taktik macam mana nak bersangka baik terhadap orang lain, walau dalam apa keadaan sekalipun.
(saya tak nafikan, memang akan ada keadaan tertentu yang kita akan rasa mustahil untuk bersangka baik, justeru saya boleh katakan tips ini sesuai untuk dipraktikkan pada keadaan biasa sahaja.)
Tanpa membuang lagi banyak masa, ini dia tips untuk membantu anda mempraktikkan sikap bersangka baik terhadap orang lain.
1. Fokus pada Niat Positif Orang Lain
Kita andaikan, setiap orang melakukan sesuatu perkara kerana ada sebab tertentu, dan sebab itu biasanya adalah sebab yang baik.
Kita bayangkan setiap orang adalah baik, dan mereka melakukan sesuatu perkara atas tujuan yang baik.
Bila kita dapat bayangkan situasi dan keadaan sedemikian, maka kita akan dapat menerima perkara yang mereka lakukan, walaupun kita rasa ianya tak kena dengan diri kita.
Atau setidak-tidaknya, kita boleh cuba untuk faham, kenapa dia berkelakuan sedemikian.
Jika seseorang tidak membalas mesej anda, anggap mungkin mereka sibuk atau menghadapi masalah, bukan sengaja mengabaikan anda.
2. Elakkan Membuat Kesimpulan Cepat
Cuba bertenang.
Jangan terlalu cepat buat kesimpulan, dan ambil masa untuk cuba fahamkan dulu situasi yang berlaku.
Boleh jadi masih ada beberapa perkara yang kita belum tahu, atau tersilap faham.
Jadi, kita cuba elakkan untuk buat sebarang kesimpulan awal, terutama sekali kalau pada waktu tersebut, kita masih lagi marah atau dipengaruhi dengan emosi.
3. Ingatkan Diri Tentang Kekurangan Kita
Melihat kelemahan dan kesilapan yang dilakukan orang lain, sepatutnya membuatkan kita jadi makin insaf, bahawa kita juga sebenarnya tak terlepas daripada melakukan kesilapan yang lebih kurang sama.
Sebelum kita nak kata orang tu sengaja, atau berniat jahat, kita ingatkan diri kita, yang kita juga tak sempurna.
Kita juga boleh melakukan kesilapan yang sama tanpa sengaja.
Kita lihat dulu kedalam diri kita, dan pastinya kita juga pernah membuat kesilapan atau terlupa sesuatu.
Hari ini mungkin hari orang tu buat silap, dan hari ini adalah hari dimana kita dapat belajar sesuatu yang baru.
Kita ambil iktibar, dan ingatkan diri kita untuk tidak melakukan kesilapan yang sama.
4. Amalkan Empati
Empati membawa maksud daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.
Apabila kita cuma memahami orang lain, kita sebenarnya sedang cuba meletakkan diri kita dalam situasi orang tersebut.
Ini membantu memahami tindakan mereka dengan lebih baik.
“Kalau saya dalam situasi orang tersebut, apa agaknya yang saya akan lakukan?”
Tindakan kita mungkin berbeza.
Lazimnya, kita menilai seseorang berdasarkan kepada tindakan dan keputusan yang dia pilih, sedangkan kita tak tahu, berapa banyak pilihan yang dia ada.
Kalau kita berada dalam situasi dia, kita mungkin mempunyai 10 pilihan.
Tapi bagi orang tersebut, dia mungkin cuma ada satu atau dua pilihan sahaja.
5. Fokus pada Kebaikan
Biasakan diri mencari perkara positif dalam setiap situasi.
Mula-mula tu memanglah kita akan rasa agak kekok dan janggal.
Saya tak nafikan, memang ada situasi yang kita sendiri tak nampak, dekat celah mana positifnya?
Tapi tak apalah.
Kita cuba dulu.
Walaupun kita nampak dan rasa sendiri, apa yang orang tu buat tu sebagai sesuatu yang tak adil dan mementingkan diri sendiri. Tapi kita cuba la cari apa sebenarnya yang menyebabkan dia berkelakuan begitu.
Mungkin sebab pada masa tu, dia sebenarnya sedang berkorban untuk orang lain.
Memang akan ada keadaan tertentu, yang kita tak akan betul-betul faham, sebab kita tak berada dalam situasi dia.
Kita bersangka baik ini, bukannya untuk membenarkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.
Benda salah tetap salah.
Bila kita bersangka baik ni, kita akan jadi lebih faham, kenapa sesuatu tu berlaku sedemikian rupa.
6. Jaga Sangkaan kepada Allah
Ingat bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang baik, walaupun kita tidak nampak pada awalnya.
Tanya diri:
“Apa yang saya boleh pelajari daripada kejadian ini?”
Mungkin kita tak akan dapat jawapannya dengan serta merta, tapi bila kita bersedia untuk bersangka baik, kita pasti akan faham dan nampak hikmahnya dimasa akan datang.
Setiap apa yang berlaku, In Shaa Allah pasti ada hikmahnya.
7. Kurangkan Sikap Membandingkan
Kalau boleh kita tak payahlah ada satu sikap suka membuat perbandingan antara hidup kita dengan hidup atau situasi orang lain.
Sudah tentu tiada orang yang situasi dan kehidupannya sama dengan orang lain.
Berhentilah kata,
“kalau saya, saya boleh buat berkali ganda lebih baik berbanding orang tu…”
Ataupun kita kata,
Saya boleh tepati masa, kenapa orang tu tak boleh?
Saya boleh penuhi janji, kenapa orang lain tak boleh?
Saya boleh bersabar, kenapa orang lain tak boleh sabar?
Saya boleh buat, kenapa orang tu bagi terlalu banyak alasan?
Orang lain akan sentiasa buruk dimata anda, kalau anda tak mengamalkan sikap bersangka baik, sebaliknya cenderung untuk berprasangka buruk.
Hindari membandingkan hidup atau situasi anda dengan orang lain. Membandingkan sering membawa kepada prasangka buruk.
Fokus pada rezeki dan perjalanan hidup sendiri. Itu sudah cukup.
Membuat perbandingan seperti ini tidak memberi kebaikkan pada diri kita, dan tidak mengubah tingkah-laku orang lain.
Ia hanya membazirkan tenaga kita, untuk berfikir mengenai kelemahan orang lain yang mana tiada pada kita.
8. Latihan Kesyukuran
Latih diri kita untuk jadi lebih bersyukur.
Syukurlah, perangai buruk tersebut tak ada pada diri kita dan mudah-mudahan tak akan ada pada keluarga dan keturunan kita.
Kemudian kita bersangka baik, yang pada hari itu, Allah sebenarnya nak ajar dan tunjukkan sesuatu kepada kita.
Kita bersyukur atas perkara baru yang kita dapat pelajari dari peristiwa yang berlaku, dan kita berazam untuk tidak lakukan hal yang sama.
9. Tingkatkan Ilmu dan Pemahaman
Kadang-kadang prasangka wujud kerana kurangnya pemahaman.
Bacalah buku, artikel, atau sertai diskusi yang membantu anda memahami pelbagai perspektif hidup.
Diluar sana terdapat pelbagai masyarakat yang mengamalkan cara hidup dan amalan yang berbeza dengan kita.
Oleh sebab cara hidup mereka berbeza, mereka juga lazimnya mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza dengan kita.
Tak perlu sampai nak jadikan perbezaan itu sebagai sebab atau alasan untuk kita berprasangka dengan orang lain yang berbeza dengan kita.
10. Bergaul dengan Orang Positif
Lingkungan yang positif mempengaruhi cara berfikir.
Berkawan dengan individu yang selalu bersangka baik boleh membuatkan kita rasa semangat untuk jadi seorang yang suka bersangka baik.
Kalau kita terlalu kerap berada dalam circle yang suka troll, kecam dan toksik, kita juga akan cenderung untuk jadi seperti itu.
Ya, mungkin anda rasa seronok untuk kecam dan troll orang lain. Tapi percayalah, ianya sesuatu yang tak baik untuk diri anda.
Mungkin anda rasa, bila anda troll orang, anda sedang menjatuhkan maruah orang tersebut, tapi sebenarnya anda juga sedang menjatuhkan kredibiliti anda sendiri.
Mungkin anda kata, maruah anda terselemat sebab anda menggunakan fake account, tapi ketahuilah bahawa menyakiti orang lain adalah sesuatu yang berdosa, dan anda tak terlepas dari dosa tersebut.
11. Tulis Jurnal Prasangka Baik
Catat setiap kali anda berjaya bersangka baik dalam situasi tertentu. Ini membantu anda menghargai usaha sendiri dan menguatkan tabiat ini.
Tak semestinya anda kena ada buku fizikal untuk anda jadikan jurnal atau diari.
Gunakanlah apa-apa kaedah yang anda rasakan sesuai dengan diri anda.
Mungkin anda ingin membuat catatan di platform media sosial.
Boleh jadi anda nak buat nota dan simpan secara digital di smartphone.
Mungkin juga anda ingin jadikan pengalaman tersebut sebagai satu konten berbentuk video untuk anda muat naik di tiktok, Youtube dan sebagainya.
12. Ingat Kesan Buruk Prasangka Buruk
Sedar bahawa prasangka buruk hanya merosakkan hubungan, hati, dan kesihatan mental anda.
Kalau individu tersebut adalah seseorang yang kita akan jumpa lagi di masa akan datang, ini akan menimbulkan rasa kurang senang, dan menjadikan kita rasa hilang mood apabila berjumpa dia.
Padahal orang tersebut langsung tak fikir pasal anda, dan tak pernah peduli langsung akan kewujudan anda.
Anda je yang sakit hati seorang diri.
13. Hormati Hak untuk Berbeza Pendapat
Dalam perbualan, atau perbincangan mengenai sesuatu topik, kita mungkin akan bertemu dengan seseorang yang akan berbeza pandangan dengan kita.
Kita rasa selama ini pandangan kita adalah yang terbaik dan paling tepat. Malahan, ada buku-buku yang ditulis oleh penulis buku terkenal turut menyatakan pandangan yang sama seperti yang kita nyatakan.
Tak kiralah sama ada pandangan tersebut kebetulan sama, atau anda sebenarnya menukilkan pandangan individu yang anda minat.
Dulu saya juga hanya bercampur dengan individu yang mempunyai pandangan yang sama dengan saya sahaja.
Hinggalah pada satu hari, saya mula bercampur dengan individu yang berlainan pandangan.
Mula-mula tu, memang rasa agak geram, sakit hati, tapi sekarang, saya anggap ianya sebagai sesuatu yang normal.
Semakin luas jaringan perhubungan kita, kita akan mula bertembung dengan individu yang berlainan agama, ideologi politik, pandangan terhadap agama dan sebagainya.
Kesemua perkara ini akhirnya yang membentuk pandangan mereka terhadap sesuatu perkara atau peristiwa.
Kita pasti akan temui seseorang atau sekumpulan yang akan sentiasa berbeza pandangan dengan kita.
Orang yang berbeza pandangan dengan kita bukanlah kerana mereka ini tak suka dengan kita. Mereka mempunyai sebab tersendiri, dan besar kemungkinan ia bukannya sesuatu yang personal.
Sepatutnya, kalau kita merasakan pandangan kita lebih baik, kita lawan dengan memberikan hujah yang lagi bernas.
Tapi kalau hujah kita sendiri tak begitu kukuh, boleh jadi kita sebenarnya hanya menyangka yang pendapat kita baik, tapi sebenarnya tidak.
Disana ada pendapat lain yang lebih baik berbanding kita.
Orang yang bersangka baik, akan menerima kenyataan. Semua pendapat adalah baik, namun disana ada pendapat yang lebih baik.
Setidak-tidaknya selepas ini kita tahu, disana terdapat dua pandangan yang berbeza, berhubung sesuatu perkara.
14. Elakkan Sikap Menghakimi
Jangan terus melabel seseorang sebagai salah hanya kerana pandangannya tidak sehaluan dengan anda.
Boleh jadi,
Anda betul dan individu tersebut juga betul.
Anda yang salah, dan individu tersebut yang betul.
Anda betul, dan sebenarnya individu tersebut yang salah.
Anda salah, dan individu tersebut juga salah.
Kita bukannya nak menjadi hakim, yang menentukan mana salah dan mana satu yang betul.
Kita boleh buat keputusan mengikut cara kita, tanpa perlu mengatakan cara orang lain salah.
15. Fokus pada Persamaan
Satu lagi cara untuk bersangka baik adalah dengan mencari titik persamaan dan persefahaman dengan individu tersebut.
Boleh jadi, kita hanya berbeza pandangan tentang beberapa perkara sahaja, dan ada banyak perkara yang sebenarnya kita sependapat.
Satu lagi, kadang-kadang kita fikir kita tak sependapat disebabkan cara dia faham sesuatu isu, tapi sebenarnya cara dia terangkan je yang buat kita salah faham.
Sebenarnya masing-masing sependapat dan setuju pada asas yang sama.
Mungkin anda juga pernah lalui pengalaman yang sama. Bertekak agak lama. Rupa-rupanya, masing-masing sebenarnya setuju pada perkara pokok yang sama.
Habis tu yang bertekak tadi sebab apa?
Tak tahu. Masing-masing pun dah lupa, tadi gaduh pasal apa.
Cari titik persamaan walaupun ada banyak perbezaan. Ini dapat mengelakkan berlakunya salah faham.
16. Amalkan Mendengar dengan Empati
Dengarkan pandangan mereka tanpa niat untuk menolak atau membalas.
Cuba fahami kenapa mereka berpandangan begitu.
Kalau kita bercakap tentang sesuatu perkara yang kita memang tak ada pengetahuan tentangnya, lebih baik kita diam dan dengar sahaja.
Jangan jadi macam setengah orang tu. Dia sebenarnya tak tahu apa, tapi dia nak juga menyampuk dan konon-konon nak bagi pandangan.
Mungkin dia risau kot, kalau dia diam je, nanti orang ingatkan dia tak tau apa.
Padahal, lebih elok dia diam, setidak-tidaknya waktu dia diam, orang tak tahu, yang dia sebenaarnya tak tahu apa.
Sebaik sahaja dia buka mulut, maka terbongkarlah yang sebenarnya dia memang tak tahu apa.
17. Belajar dari Perspektif Mereka
Lihat perbezaan pandangan sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru, bukan ancaman kepada keyakinan anda.
Benda ini biasa terjadi. Kita hanya berfikir dari satu sudut pandangan sahaja.
Oleh sebab itu, kita hanya melihat bahawa pandangan kita sahaja yang paling tepat.
Namun, setelah kita cuba melihat dari perspektif yang berbeza, kita akan nampak bahawa pandangan orang lain juga ada benarnya, dan mungkin dalam situasi tertentu, pendapat yang dilontarkan oleh orang lain sebenarnya lebih baik berbanding pendapat yang kita fikirkan.
18. Kawal Ego dan Emosi
Setiap orang ada ego masing-masing.
Dan saya pasti, anda juga begitu.
Bila anda rasa nak marah, cuba tanyakan pada diri anda terlebih dahulu. Adakah anda rasa nak marah ni sebab orang tersebut buat kesalahan, atau sebenarnya sebab anda rasakan ego anda tercalar?
Jangan biarkan ego atau emosi menguasai perbincangan.
Sebaik sahaja anda biarkan ego mengambil tempat dalam perbincangan, bermaksud anda bakal kalah dalam perbincangan tersebut.
19. Pandangan boleh berubah
Anda juga mungkin pernah salah faham atau berubah pandangan setelah belajar sesuatu yang baru.
Tak perlu sindir orang yang selalu mengubah pandangan. Itu sebenarnya sesuatu yang normal.
Pada pandangan saya, orang yang tak berapa normal ini adalah orang yang tak pernah mengubah pandangan, walaupun kita dah berikan fakta dan data yang terkini.
Saya kira, ada banyak orang yang tersalah faham, antara mengubah pandangan dengan mengubah pendirian.
Pendirian ini adalah sesuatu yang berkaitan dengan prinsip hidup seseorang.
Manakala pandangan ini pula adalah berkenaan dengan cara seseorang itu melihat, mentafsir dan memahami sesuatu perkara.
Seseorang itu boleh sahaja mengubah pandangannya, tanpa menukar prinsip asas yang dipegang.
20. Beri Keutamaan pada Akhlak yang baik
Fokus kepada menjaga adab dan mengekalkan adab yang baik, berbanding nak menang dalam berhujah.
Lebih baik menjaga hubungan baik dan menunjukkan akhlak mulia daripada memaksa orang lain menerima pandangan anda.
Kalau sesuatu perkara yang dibincangkan itu, bukannya sesuatu yang kritikal, dan lebih kepada berbual-bual kosong, sebenarnya kita tak perlu menang pun.
Cukup sekadar kita ketawa bersama-sama dan lupakan sahaja.
Tak perlulah nak serius sangat untuk hal-hal yang tak ada sebarang kepentingan pada kita.
Sesekali kita tak perlu nak betulkan orang lain, tak salah kan?
21. Anggap Mereka Tak Tahu atau belum tahu
Perbezaan pandangan adalah lumrah kehidupan.
Bersangka baik dalam situasi ini dapat membina keharmonian dan hubungan yang lebih kukuh, walaupun tidak selalu mencapai kata persefahaman.
Ada juga orang yang berpandangan berbeza dengan kita kerana dia belum atau tak tahu maklumat terkini yang kita tahu.
Kalau mereka ada maklumat yang sama, seperti yang kita ada, boleh jadi mereka ini juga akan bersetuju dan sependapat dengan kita.
Jadikan ini peluang untuk berkongsi ilmu dengan cara yang sopan dan tidak merendahkan mereka.
Elakkan nada mengajar atau membetulkan secara kasar.
Sebaliknya, mulakan dengan, “Saya nak kongsi pandangan, mungkin ini boleh membantu…”
Beri mereka ruang untuk bertanya atau menambah ilmu pada masa mereka sendiri.
Boleh jadi selepas mereka tahu ilmu baru yang sebelum ini mereka tidak tahu, mereka akan mengubah pandangan dan pendirian.
Tapi kalau masih tetap berkeras dengan pandangan lama, itu mungkin ada sebab lain.
22. Mereka Salah Faham
Dalam situasi kedua ini pula, kita boleh bersangka baik dengan menganggap mereka sebenarnya salah faham, dan bukan niat mereka untuk berbeza pendapat dengan kita.
Dalam situasi ini, kita cuba kenalpasti, dari mana datangnya salah faham tersebut.
Kadang-kadang, konteks atau cara komunikasi kita sendiri yang sebenarnya menyumbang kepada berlakunya salah faham tersebut.
Ataupun mereka sebenarnya tidak mendapat maklumat yang penuh dan lengkap, dan hanya mempunyai maklumat separa masak sahaja. Oleh kerana kekurangan maklumat, maka berlakunya salah faham.
Gunakan pendekatan yang lebih jelas dan analogi yang mudah difahami untuk menerangkan pandangan anda.
Jangan memaksa mereka terus bersetuju. Beri masa untuk mereka merenung atau memproses maklumat baru.
Walaupun mereka tidak setuju atau belum faham, mungkin mereka benar-benar berniat baik berdasarkan apa yang mereka tahu.
23. Gunakan Teknik “Mungkin…”
Sentiasa tambahkan kata “mungkin” dalam fikiran apabila melihat sesuatu yang sukar difahami:
“Mungkin dia ada sebab tertentu yang saya tak tahu.”
“Mungkin situasi dia sekarang lebih rumit daripada apa yang saya nampak.”
“Mungkin dia ada kecemasan.”
“Mungkin dia memang semulajadi bodoh…”
Percayalah, bila kita meletakkan “mungkin” pada situasi yang kita tak berapa suka, ia akan membantu kita untuk melepaskan dan melupakan perkara tersebut.
Jadi, andai kata satu hari nanti, kalau ada pemandu yang suka bagi high beam, cucuk belakang, anda beri signal dan bergerak saja ketepi. Bagi saja laluan kepada pemandu macam tu.
Mungkin dia ada kecemasan dan perlu cepat sampai ke destinasi.
Kita ada pilihan untuk tak menjadikan perjalanan orang tu (dan kita) berbahaya.
Apa rasionalnya, kita nak kejar dia dan berlumba atas jalan raya?
24. Gunakan Prinsip “Husnuzon Profesional”
Dalam sesetengah bidang, kita diajar untuk memberi manfaat keraguan (benefit of the doubt) kepada orang lain.
Kalau kita rujuk kepada laman web Dewan Bahasa dan Pustaka, mereka menggunakan istilah manfaat kesangsian.
Anggap mereka tidak berniat buruk walaupun perbuatan mereka kelihatan salah.
Seterusnya kita beri ruang untuk individu tersebut menjelaskan, apakah sebab dan rasional kenapa dia bertindak sedemikian rupa.
25. Amalkan Prinsip: “Bukan Semua Perlu Difahami”
Kadang-kadang, ada perkara yang di luar kawalan atau pemahaman kita.
Kita cubalah macam mana sekalipun, kita tetap rasa sukar untuk faham, kenapa perkara tersebut jadi seperti mana ia berlaku.
Adakalanya manusia ni, bertindak mengikut emosi, mood dan nafsu.
Walaupun mereka merasakan yang mereka sebenarnya berkelakuan secara rasional, tapi bagi orang lain yang melihat, kita boleh menilai yang tindakannya jauh dari rasional.
Reda dan lepaskan, sambil percaya bahawa Allah lebih mengetahui segalanya.
Kefahaman ini adalah anugerah dari yang Maha Esa. Walau bijak macam mana sekalipun kita, kita mungkin ada kesukaran untuk memahami perihal dan perkara yang diluar bidang kita.
Saya harapkan, apa yang saya kongsikan disini, dapat membantu anda untuk sekurang-kurangnya dapat mencuba untuk mengamalkan sikap bersangka baik dalam kehidupan anda.
Mungkin, dari beberapa cadangan yang saya berikan ini, ada antaranya yang sesuai untuk anda praktikkan. Cubalah dulu ya.
Dunia ini penuh dengan manusia yang pelbagai ragam dan kelakuan.
Untuk hidup dengan bahagia, aman dan tenteram, saya rasa tak salah kalau saya katakan, kita perlu banyak belajar untuk bersangka baik dalam membina hubungan sesama manusia serta hidup bermasyarakat.
Bersangka baiklah.
Manfaatnya untuk kita juga.
The post Cara untuk bersangka baik dalam kehidupan appeared first on Blog Sabree Hussin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sabreehussin.com/cara-untuk-bersangka-baik/