Cara Halau Anai Anai
Anai-anai dianggap sebagai haiwan perosak hasil tanaman tetapi tidak semua anai-anai menjadi musuh kepada petani dan peladang. Di ladang-ladang seperti ladang kelapa sawit, busut anai-anai tidak merosakkan tanaman tetapi membantu untuk proses penguraian bahan berkayu dalam tanah. Secara tidak langsung, busut anai-anai memberi manfaat kepada kesuburan tanah.
Mengikut petua orang tua-tua juga, tanah busut bagus digunakan untuk mengawet telur asin. Telur disalut dengan tanah busut beserta garam. Menurut mereka, tanah busut mengandungi anti bakteria yang terhasil daripada air liur anai-anai. Telur asin itu akan menjadi tahan lama.
Orang Melayu sering mengingatkan kita tentang pantang larang terhadap busut. Busut jantan dianggap mempunyai semangat ghaib, unsur mistik atau ada makhluk halus yang menjaganya. Justeru anak-anak kecil dilarang bermain-main di sekitar busut. Orang lelaki juga dilarang kencing atas busut kerana dikhuatiri kemaluannya akan menjadi buruk. Pantang larang ini dikenakan untuk mengelakkan lelaki yang kencing atas busut ditegur makhluk halus atau penunggu busut itu.
Busut ialah longgokan tanah yang dianggap rumah kepada anai-anai. Pemaisuri atau ratu anai-anai boleh menghasilkan telur sehingga 30 ribu sehari. Permaisuri anai-anai boleh memilih untuk melahirkan anai-anai askar atau anai-anai pekerja.
Terdapat dua gelaran ke atas busut iaitu busut jantan dan busut betina. Bentuk busut jantan meruncing ke atas sedangkan busut betina tidak meruncing ke atas. Busut jantanlah yang menjadi tabu dalam masyarakat Melayu.
Kehadiran anai-anai di kawasan rumah memang mendatangkan masalah. Anai-anai akan memakan bahagian kayu rumah. Kalau di bahagian bawah simen pula, anai-anai akan mengorek tanah sehingga simen boleh retak kerana tiada sokongan tanah.
Terdapat petua atau cara menghalau dan membunuh anai-anai:
Garam Dapur – Taburkan garam dapur di tempat anai-anai membuat sarangnya. Namun cara ini agak kurang efektif untuk menghalau atau membunuh kesemua anai-anai yang berada dalam sarang tersebut kerana garam hanya akan berada di permukaan saja. Jadi untuk memastikan ia lebih berkesan, campurkan sahaja garam dengan air. Biarkan campuran itu semalaman dan sembur di kawasan yang mempunyai sarang anai-anai.
Air Kapur Sirih – Kapur bersifat panas dan ia sangat tak disukai kerana anai-anai memiliki kulit nipis dan lembut. Dan air kapur akan membakar kulit mereka. Jadi anda boleh menggunakan air kapur untuk menghapuskan sarang anai-anai. Caranya, sembur air kapur sirih ke atas permukaan kayu yang diserang anai-anai atau juga boleh siram terus ke sarangnya.
Air Cucian Beras – Air pertama dari basuhan beras juga boleh digunakan untuk menghalau anai-anai dari terus membina sarang. Caranya hanya sembur atau siramkan sahaja air basuhan beras ke atas sarang anai-anai.
Minyak Tanah – Kebiasaannya orang guna minyak tanah untuk membakar tetapi ia juga boleh digunakan untuk mengusir anai-anai dari rumah. Anda cuma perlu semburkan minyak tanah di atas permukaan kayu yang telah di serang anai-anai atau semburkan di sarang-sarang anai-anai. Namun bau minyak tanah agak kuat jadi tidak sesuai kalau di sembur di dalam rumah.
Tembakau – Penggunaan tembakau juga dapat menghalau anai-anai dari rumah. Caranya anda perlu campurkan tembakau dengan air dan biarkan semalaman. Keesokannya, semburkan air campuran tembakau itu pada kayu yang diserang anai-anai atau juga ke atas sarangnya.
Minyak hitam - Minyak hitam dicurah di tempat ada anai-anai atau di atas busut. Elok dicurah pada bahagian laluan anai-anai masuk ke sarang.
Guna racun seranggan - Penggunaan racun serangga cara berkesan menghalang dan membunuh anai-anai. Sembur racun terus kepada anai-anai atau tempat yang biasa anai-anai lalu.
Rosakkan busut - Anai-anai tinggal dalam busut. Yang melahirkan anai-anai ialah ratu. Cara untuk menghapuskan anai-anai ialah dengan menghapuskan ratunya. Cangkul dan cari ratu anai-anai di dalam busut. Busut yang telah dicangkul disembur pula dengan racun atau cara-cara di atas untuk menghapuskan saki baki anai-anai. Ada juga cara membakar sesuatu di atas busut.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2018/10/gyu.html