Caprice Jangan Jadi Pemusnah Hubungan Diplomatik Farhan
 Haslina AR Kamaludin                                                                                                                                                                                                                      

Caprice memuat naik gambar dan tegurannya kepada Ebit Liew di laman sosial Instagram miliknya.             KUALA LUMPUR – Tindakan penyanyi rap, Caprice yang  mempertikaikan tindakan Ustaz Ebit Lew ketika berada di Gaza  membimbangkan dan boleh mecemar nama baik negara.
Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Malaysia, Muhammad  Farhan Abdul Rahim berkata, hubungan diplomatik di antara Malaysia dan  Palestin merupakan sesuatu yang sangat dibenci Israel tetapi merupakan  satu kebanggaan bagi dunia Islam.
“Hubungan yang baik ini jugalah yang telah membantu kerajaan  Malaysia menghantar bantuan kepada Palestin selama ni serta menjadi  pengantara bagi Palestin dan kuasa besar dunia.
“Apabila Caprice menyatakan terdapat beberapa perkara yang bakal  didedahkan mengenai keadaan di Gaza, perkara tentang Ustaz Ebit Lew  serta tentang kerajaan Malaysia pada 21 Julai ini, ia sesuatu yang tidak  baik buat kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Mesir dan Jordan merupakan negara Islam yang membenarkan  laluan ke Palestin melalui negara mereka dan hubungan diplomatik yang  baik dengan Mesir amat diperlukan bagi mempermudah urusan bantuan  kemanusiaan ke Palestin.
“Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra telah berusaha bertahun-tahun  bagi mencapai hubungan diplomatik tertinggi dengan negara-negara  tersebut.
“Pendedahan oleh Caprice yang tidak tahu kesahihannya dan bersifat  populis ini jelas sekali menimbulkan pelbagai spekulasi tidak baik  terhadap negara serta menyebabkan kegusaran rakyat Malaysia mahupun  penduduk Gaza.
“Kesilapan seorang dalam mengeluarkan kenyataan di negara luar boleh  menyebabkan pelbagai masalah timbul khususnya daripada segi keselamatan  rakyat Malaysia yang berada di negara-negara tersebut,” katanya lagi.

Pihaknya berharap Caprice dapat mengelak daripada menjadi pemusnah  hubungan diplomatik dan membuat keterangan dengan pihak berkenaan  apabila pulang ke tanah air.
“Janganlah perkara ini tidak dibesarkan dan beharap rakyat Malaysia  tidak membuat sebarang spekulasi dan fokus bersama kerajaan dalam  menangani pendemik Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli telah mencetuskan  kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit Lew berkenaan  foto yang diambil ketika memberikan hadiah kepada kanak-kanak di Gaza  dilihat seolah-olah seperti sesi fotografi.
Teguran itu dibuat selepas Caprice menerima rungutan daripada  penduduk Gaza tentang cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan yang  menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza hanya sebagai bahan kandungan di  media sosial.
Susulan tegurannya itu, Ebit Lew telah menyekat akaun Instagram milik  Caprice yang difahamkan berpunca daripada kontroversi tersebut.
Caprice yang kini dalam Misi Kemanusiaan Untuk Palestin sejak 21 Jun lalu masih berada di Kaherah, Mesir.- MalaysiaGazette 
SILA BACA Caprice dakwa Ebit guna kanak-kanak Palestin untuk kandungan media sosial?
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/caprice-jangan-jadi-pemusnah-hubungan.html