Cap Gesa Putrajaya Tarik Balik Tawaran Ambil Alih Lebuh Raya Bertol
  FMT Reporters                  

Persatuan  Pengguna Pulau Pinang memberi amaran pengambilalihan 4 syarikat konsesi  lebuh raya di Lembah Klang akan membebankan kerajaan dengan hutang  lebih banyak.PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa  kerajaan menarik balik tawaran Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD)  untuk mengambil alih 4 lebuh raya bertol daripada Gamuda Bhd kerana ia  bertentangan matlamat meringankan beban pengguna jalan raya.
 “Alasan bagi kerajaan mengambil alih lebuh raya bertol ialah untuk  menghentikan konsesi yang berat sebelah ini untuk memberikan manfaat  kepada pengguna dan kerajaan. Tawaran Kementerian Kewangan tidak  memenuhi objektif ini,” kata pemangku presiden CAP, Mohideen Abdul Kader  dalam kenyataan hari ini.
 Beliau mencadangkan kerajaan mencari penyelesaian untuk menamatkan  konsesi tol dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa pakar untuk membuat  kajian lengkap dan menyeluruh berhubung konsesi tol.
 Katanya, tawaran RM6.2 bilion kepada Gamuda dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) sama seperti “membayar lebih kepada pengendali lebuh raya” dan tidak memanfaatkan pengguna lebuh raya.
“Di bawah tawaran Kementerian Kewangan ini, lebih 1 juta pengguna  lebuh raya akan menikmati penjimatan RM180 juta setahun yang hanya  kurang 50 sen sehari bagi setiap pengguna, tidak cukup untuk membeli  secawan kopi atau sekeping roti canai.
 “Malah selepas pengambilalihan, mereka perlu membayar caj kesesakan pada 6 waktu puncak, bersamaan maksimum kadar tol semasa.”
 Minggu lalu, kerajaan membuat tawaran kepada pemegang konsesi susulan  manifesto pilihan raya umum lalu untuk mengambil alih Lebuhraya  Damansara Puchong, Kesas, SPRINT dan Terowong SMART.
 Tetapi, Mohideen berkata, menunaikan janji pilihan raya “tidak  seharusnya membawa kepada keuntungan durian runtuh bagi pemegang konsesi  tol” yang akan membebankan kerajaan dan rakyat.
 Dalam pemfailan Bursa Malaysia, Gamuda berkata, ia menjangkakan  pertimbangan pembelian untuk pemegang konsesi Kesas pada harga RM1.23  bilion, SPRINT (RM870 juta), Litrak (RM2.34 bilion) dan Terowong SMART  (RM60 juta).
 Sementara itu, Litrak berkata, MKD turut menawarkan RM2.47 bilion untuk membeli semua sekuriti daripada sekutu Gamuda.
 CAP memberi amaran pengambilalihan itu akan membebankan kerajaan dengan peningkatan hutang.
 “Ia perlu mendapatkan RM6.2 bilion melalui pengeluaran bon dan membayar RM220 juta setahun sebagai kadar faedah,” kata Mohideen.
 Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemerosotan aliran  trafik di lebuh raya yang akan membawa kepada pendapatan lebih rendah  dan kerugian.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/cap-gesa-putrajaya-tarik-balik-tawaran.html