C0vid 19 Harapan Penawar Daripada Ubat Malaria
PADA ‘usia’ 85 tahun dan telah digunakan manusia sejak Perang Dunia Kedua untuk melawan penyakit malaria, ubat chloroqouine serta hydroxychloroquine boleh dianggap sejenis dadah lama dan tua.
Namun, ketika dunia masih ternanti-nanti vaksin untuk menangkis virus Covid-19, tiba-tiba dua dadah tua ini menjadi sebutan apabila dikatakan mampu merawat pesakit positif Covid-19.
Sejak minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menularkan mengenai hydroxychloroquine menerusi laman Twitternya dengan merujuk ubat antimalaria itu menunjukkan potensi luar biasa.
Rentetan itu, beberapa negara di dunia turut mula memberi fokus kepada chloroqouine serta hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19 yang memenuhi katilkatil hospital, dengan India dikatakan mengharamkan syarikat farmasinya mengeksport keluar produk itu.
Di Malaysia sendiri, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan penggunaan dua ubat antimalaria chloroquine dan hydroxychloroquine bersama kombinasi lopinavir/ ritonavir (ubat anti HIV/AIDS).
Kombinasi itu dikatakan memberi kesan kepada rawatan pesakit Covid-19 sejak virus itu mula dikesan di negara ini.
Namun, hasil kajian terbaru oleh Institut Jangkitan Hospital Universiti Mediterrenee berpusat di Perancis kini memberi harapan baharu kepada dunia.
Hasil kajiannya ke atas 80 pesakit Covid-19 mendapati 93 peratus daripadanya sembuh selepas sembilan hari rawatan menggunakan hydroxychloroquine bersama ubat rawatan jangkitan kuman dikenali sebagai azithromycin.
Bagi pakar virologi Malaysia, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar, hasil kajian tersebut yang baru mula diedarkan kepada umum baru-baru ini adalah satu penemuan besar yang perlu diambil perhatian oleh Malaysia.
Malah tanpa ragu-ragu, Dr Sazaly mengesyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengambil langkah segera menggunakan kombinasi hydroxychloroquine dan azithromycin untuk menyembuhkan pesakit Covid-19 di Malaysia.
Penemuan Perancis
“Ia adalah satu penemuan yang besar apabila kajian itu mendapati daripada 80 orang pesakit diberikan ubat tersebut, 83 peratus sembuh pada hari ketujuh dan 93 peratus sembuh pada hari kelapan. Hanya seorang pesakit berusia 86 tahun yang meninggal dunia dan seorang pesakit berusia 74 tahun masih dalam unit rawatan rapi.
“Kalau kita baca konklusi kajiannya, institut tersebut mengesahkan hydroxychloroquine dan azithromycin sebagai rawatan berkesan untuk Covid-19 dan patut digunakan secepat mungkin untuk hentikan penularan.
“Daripada hasil kajian ini, saya menyokong penuh hydroxychloroquine dan azithromycin patut digunakan di Malaysia secepat mungkin sebelum berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 14 April ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Tegas Dr Sazaly, Malaysia perlu memecah kebuntuan wabak itu dengan menggunakan kombinasi yang sudah disahkan menerusi ujian tersebut berbanding menunggu keputusan kombinasi chloroquine dan hydroxychloroquine bersama kombinasi ubat anti HIV/AIDS.
Katanya, setakat ini Malaysia lebih tertumpu kepada pencegahan menerusi penjarakkan sosial semasa PKP yang memberikan impak ekonomi berbilion ringgit selain fokus penghujung di hospital.
“Sekarang dengan ada rawatan, kita perlu sasarkan yang tengah-tengah iaitu rawatan dan kurangkan pesakit.
“Kalau kita tunggu vaksin ia memakan masa setahun hingga lima tahun lagi. Kalau ramai pesakit sembuh, kita dapat tarik balik PKP supaya semua pulih kembali termasuk ekonomi.
“Tidak perlu tunggu ubat paling sempurna, buat apa hendak tunggu kajian lain lagi sebab sudah ada kajian signifikan dari luar,” katanya.
Dr Sazaly mencadangkan individu yang positif koronavirus diberikan serta-merta rawatan hydroxychloroquine bersama azithromycin selain ubat tersebut dijual di semua klinik terutamanya di kawasan yang diklasifikasi zon jingga.
Ujian klinikal
Dalam pada itu, pakar epidemiologi dan Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik Kuala Lumpur yang merupakan Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia, Datuk Prof Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud berkata, walaupun terdapat laporan dari luar negara yang chloroquine dan hydroxychloroquine berkesan tetapi ia masih perlu melalui ujian klinikal yang komprehensif.
“Ada yang kata berkesan ada yang kata tidak. Di Perancis juga ada yang laporkan berkesan tetapi ujian klinikal secara menyeluruh setakat ini belum nampak,” akuinya.
Menjelaskan lanjut mengenai ujian klinikal, kata Dr Awg Bulgiba, terdapat empat fasa dalam ujian klinikal tersebut bagi mendapat kelulusan badan berkuasa yang menyelia ubat-ubatan.
Contohnya di Amerika Syarikat, ia perlu diluluskan Pusat Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA).
Dr Awg Bulgiba
Dr Awg Bulgiba
Tiga daripada empat fasa itu perlu dibuat sebelum ubat itu mendapat kelulusan badan yang mengawalselia ubat-ubatan sesebuah negara.
“Bagi ubat baharu, ia perlu melalui fasa 1 dan 2 iaitu dari segi keselamatan, kesan sampingan dan keberkesanan.
“Tetapi dalam keadaan mendesak wabak Covid-19 kini, pihak-pihak berkuasa di sesebuah negara mencuba ubat-ubat lama sebagai contoh chloroquine dan hydroxychloroquine sebab ia boleh terus lompat ke fasa ketiga.
“Dari segi selamat, ubat ini memang selamat sebab telah diketahui sebagai ubat spesifik untuk malaria dan diambil oleh berjuta-juta orang. Cuma persoalannya kini sama ada ubat ini berkesan atau tidak untuk pesakit Covid-19.
“Ini yang perlu melalui fasa ketiga ujian klinikal yang perlu dijalankan oleh syarikat farmasuetikal atau pusat ujian klinikal melibatkan jumlah pesakit yang lebih besar mencecah ribuan orang dan daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan sebagainya,” terang Dr Awg sambil memaklumkan ujian klinikal mungkin mengambil masa tiga hingga enam bulan.
Dr Awg Bulgiba memberitahu, dalam konteks pengeluaran ubat chloroquine dan hydroxychloroquine, disebabkan kedua-dua produk ini adalah ubat lama, dari segi paten biasanya sudah tidak menjadi hak milik mana-mana syarikat.
“Dari segi paten biasanya sudah tidak ada lagi. Ubat ini boleh dikeluarkan oleh mana-mana negara pada kadar yang cepat dan murah,” katanya menjawab isu kemungkinan ubat antimalaria itu kehabisan stok di pasaran.
Bagaimanapun, chloroquine dan hydroxychloroquine walaupun dikatakan memberikan kesan positif ke atas penyembuhan Covid-19, namun Dr Awg Bulgiba memberi amaran, ia bukanlah ubat yang boleh diambil begitu sahaja tanpa preskripsi doktor.
-SINAR HARIAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kakipalu.blogspot.com/2020/04/c0vid-19-harapan-penawar-daripada-ubat.html