Bukan Introvert Atau Ekstrovert Kenali Personaliti Otrovert Ciri Utamanya
Bukan Introvert Atau Ekstrovert? Kenali Personaliti Otrovert & Ciri Utamanya
Setiap orang memiliki ciri-ciri personaliti yang tersendiri dan kadang kala ia dapat dilihat menerusi komunikasi atau pergaulan dengan orang sekeliling. Ada yang boleh berborak dalam kumpulan yang ramai, ada yang tidak suka menonjolkan diri dan ada juga yang boleh melakukan kedua-duanya.
Sifat-sifat itu kebiasaannya dikaitkan dengan personaliti introvert, ekstrovert atau ambivert.
Bagaimanapun, tahukah anda bahawa wujud istilah personaliti baharu yang tanpa disedari mungkin kita salah seorang darinya?
Pakar Psikiatri Amerika Syarikat, Dr Rami Kaminski, mencipta istilah itu selepas mengenal pasti jenis personaliti tersebut dalam kalangan pesakitnya dan juga dirinya sendiri.
Otrovert berasal daripada bahasa Sepanyol (yang diwarisi secara etimologi daripada bahasa latin). ‘otro’ bermaksud ‘lain’ dan ‘vert’ bermaksud ‘berpaling’. Secara harfiahnya, otrovert bermaksud ‘seseorang yang menghadap arah yang berbeza’.
Menurutnya, otrovert merupakan ‘orang luar yang dilayan seperti orang dalam’, diterima dalam kumpulan walaupun mereka sendiri tidak merasakan mereka benar-benar sesuai.
BACA: Pemalu, Lebih Gemar Bersendiri? Ini Kerja Yang Sesuai Untuk Introvert
Tidak seperti ekstrovert atau introvert, otrovert tetap berada dalam kumpulan tersebut dan tidak ‘melihat ke luar’ untuk mendapatkan tenaga.
Mereka fleksibel dan mudah menyesuaikan diri mengikut tenaga sosial di sekeliling.
Selain itu, mereka juga boleh menjadi pendiam dalam situasi tertentu, tetapi juga boleh menonjol bila keadaan memerlukan.
Jika introvert bersifat pemalu dan menyendiri, kebanyakannya tertumpu kepada dunia dalaman mereka. Namun otrovert pula sangat peka terhadap orang lain dan tidak dapat mencari perlindungan dalam diri mereka apabila dikelilingi orang ramai.
Walaupun personaliti otrovert masih berada pada peringkat hipotesis, ahli psikologi dan penyelaras dasar di Persatuan Psikologi Australia, Carly Dober berkata tidak bermakna ia tidak sah.
“Kita belum mempunyai kajian untuk menyokongnya,” katanya.
Ciri utama otrovert
Sementara itu, Dr Kaminski juga telah menyenaraikan beberapa ciri utama otrovert dalam bukunya, The Gift of Not Belonging: How Outsiders Thrive in a World of Joiners. Berikut ciri-cirinya:
1. Tidak cenderung menganjurkan majlis hari jadi untuk diri sendiri dan umumnya mengelakkan sambutan berkumpulan.
2. Lebih suka sukan dan aktiviti yang melibatkan persaingan secara individu.
3. Tidak suka mengumpulkan orang daripada bahagian hidup yang berbeza, walaupun mereka saling mengenali.
4. Tidak berasa terikat dengan pasukan tertentu, alma mater atau syarikat tempat mereka bekerja.
5. Berpegang teguh pada pendapat dan prinsip sendiri apabila diminta memberi pandangan di tempat kerja dan tidak mudah dipengaruhi oleh pandangan rakan sekerja.
6. Lebih bersifat pakar daripada generalis, dengan minat dan kemahiran yang terhad tetapi mendalam.
6. Walaupun mempunyai pandangan berbeza, otrovert tidak bersifat agresif atau suka berdebat, sebaliknya mereka kelihatan sopan, mesra dan kadang kala peramah.
7. Cenderung mengelakkan konfrontasi dan sangat bertimbang rasa, kadangkala sehingga berlebihan.
Secara paradoksnya, semakin ramai orang, semakin mendalam rasa terasing mereka. Pun begitu, kebiasaan di dalam kumpulan yang ramai membuatkan mereka boleh beradaptasi dengan baik.
Sebagai contoh, jika ada majlis atau keramaian, mereka akan berborak dengan satu atau dua orang yang boleh berhubung rapat. Cara ini memberikan keselesaan kepada mereka dan menghilangkan rasa janggal.
Bagaimanapun, Dober berkata dari sudut pandangan skeptikal, terdapat banyak sebab mengapa seseorang mungkin mempamerkan tingkah laku atau perasaan yang disenaraikan oleh Dr Kaminski.
Boleh jadi ia disebabkan oleh perbezaan perkembangan, trauma, pengabaian atau penderaan semasa kecil.
Selain itu, penentangan terhadap budaya arus perdana, keinginan untuk mengenal pasti diri sebagai pemikir bebas atau sekadar satu bentuk persembahan diri juga salah satu puncanya.
Berpandukan definisi Dr Kaminski, Dober berkata otrovert mungkin merasakan mereka lebih berkembang apabila membina hubungan yang mendalam dengan individu penting dalam hidup mereka.
Namun, mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam kumpulan yang besar.
Sumber: ABC News, Medium, Hello Doktor
The post Bukan Introvert Atau Ekstrovert? Kenali Personaliti Otrovert & Ciri Utamanya appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/13/bukan-introvert-atau-ekstrovert-kenali-personaliti-otrovert-ciri-utamanya/