Buaya Tembaga Muncul Di Pantai Tok Bali
Oleh TOREK SULONG
FAUZAN Ismail (dua kanan) bersama nelayan yang membantu APM menangkap seekor buaya di Tok Bali, Pasir Puteh, pagi tadi.PASIR PUTEH: Penduduk di pesisiran pantai Tok Bali, di sini gempar apabila melihat seekor buaya di tepi pantai berkenaan sejak petang semalam.
Khuatir keselamatan diri dan keluarga, mereka bertindak menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasir Puteh awal pagi ini untuk tindakan lanjut.
Pegawai APM Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kehadiran buaya di pantai itu pada pukul 1.35 pagi tadi.
Menurutnya, enam anggota APM termasuk pegawai bergegas ke lokasi dan mendapati reptilia tersebut masih berada di lokasi.
“Kami bersama beberapa nelayan tempatan mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap buaya terbabit.
“Buaya tembaga jantan berukuran panjang yang dianggarkan lebih tiga meter itu ditangkap menggunakan tali dan kain untuk menutup matanya dibawa pulang ke balai APM pada pukul 3.15 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Nik Mohd. Nor berkata, reptilia itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
” Orang ramai dinasihatkan berwaspada ketika berada di pesisir pantai pada musim ini kerana khuatir kehadiran buaya dari kawasan hulu sungai yang mungkin mengikut arus deras pada musim banjir.
“Jangan mengambil risiko dengan membuat tangkapan sendiri kerana tindakan itu akan mengundang padah,” ujarnya.
Menurutnya, buaya ini akan bertindak agresif ketika lapar atau dalam keadaan dirinya terancam.
Seorang penduduk, Fauzan Ismail, 42, ketika ditemui berkata, penduduk melihat buaya berkenaan di tengah laut pada pukul 2 petang semalam.
“Reptilia pemangsa itu kemudiannya dilihat cuba menghampiri pantai pada pukul 12 tengah malam sebelum salah seorang penduduk menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan perkhidmatan mereka yang lebih pakar,” katanya. – UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/buaya-tembaga-muncul-di-pantai-tok-bali.html