Buat Putu Mayam Klasiknya Guna Acuan Usia Puluhan Tahun
Lazimnya, jika sesekali teringin menikmati putu mayam, mudah juga untuk mencari penjualnya. Ada yang biasa dan ada perisa pandan. Namun, jika inginkan rasa hasil air tangan sendiri, boleh saja kita membuatnya di rumah.
Teruja melihat acuan tradisional ini untuk menghasilkan putu mayam sendiri. Usia acuan tembaga itu pun telah mencecah puluhan tahun, namun masih setia kekal berkhidmat. Meskipun acuan ini agak kasar sedikit, tak seperti bihun hasilnya, namun ianya tetap memberikan tekstur dan rasa yang tersendiri.
Menurut Faizah Husain yang sudi berkongsi resipi putu mayam ibunya, jika dulu ibunya yang akan membuatkan putu mayam untuknya. Namun, atas faktor usia dan kudrat yang semakin berkurangan, kini dia pula yang membuatkan putu mayam untuk ibunya tatkala ibunya teringin. Jom kita pula buat putu mayam untuk hidangan minum petang seisi keluarga.
PUTU MAYAM
BAHAN-BAHAN:
3 cawan tepung beras – Boleh beli online di sini
1 ½ cawan air
1 sudu teh garam
1 sudu makan minyak minyak
Pes pandan (jika nak rasa pandan & warna hijau) – Boleh beli online di sini
Daun pisang
Gula kabung/gula melaka/gula perang – Boleh beli online di sini
Kelapa parut putih
CARA MEMASAK:
Potong daun pisang besar sedikit daripada saiz putu mayam. Buat banyak keping. Panaskan kukusan.
Dalam periuk lain, masak air hingga mendidih. Masukkan garam dan minyak masak.
Tutup api dan masukkan tepung beras sedikit demi sedikit sambil terus mengacau hingga sebati. Ikut kesesuaian, kalau lembut sangat boleh tambah lagi tepung. Kalau keras, tambahkan air.
Adunan panas-panas, terus masukkan ke dalam acuan putu mayam. Kalau sejuk, adunan keras dan tak boleh nak pusing acuan.
Susun daun pisang yang telah disapu minyak dalam kukusan.
Pusing acuan secara membulat. Biarkan doh jatuh secara bertali di atas daun pisang. Jika tak tahan panas, boleh putar di luar, kemudian susun dalam kukusan.
Ini contoh acuan tembaga yang digunakan.
Kukus lebih kurang 3-4 minit sahaja. Balut penutup kukus dengan kain supaya wap tak jatuh. Setelah masak, susun dalam bekas.
Parutkan gula kabung. Kesedapan gula kabung memang tak sama dengan gula lain. Gula melaka, gula merah atau gula perang pun boleh guna.
Siap. Gaulkan gula kabung dan kelapa parut, makan bersama putu mayam.
Selamat mencuba.
Kredit: Faizah Husain
[ Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi ]
Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:
Resipi Singgang Ikan Pantai Timur Terlajak Sedap, Letak Bahan Rahsia Ini
Resipi Mashed Potato Dengan Crab Meat Berkeju & Ayam Goreng Cheese Leleh Ala Korea Yang Mudah
Puding Buah Naga, Enak Dinikmati Sejuk-Sejuk
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
The post Buat Putu Mayam, Klasiknya Guna Acuan Usia Puluhan Tahun appeared first on RASA.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://rasanakmasak.blogspot.com/2023/05/buat-putu-mayam-klasiknya-guna-acuan.html