Brutus Orang Mulia Tapi Tikam Caesar Dari Belakang
A Kadir Jasin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
Caesar ditikam dari belakang oleh sahabat sendiriDI HARI pengebumian Julius Caesar, sahabatnya jeneral Mark Antony memberi ucapan berikut:
“Sahabat, orang Rom, rakan senegara, pinjamkan telingamu kepadaku,
Aku datang untuk mengebumikan Caesar bukan untuk memujinya,
Kejahatan yang manusia lakukan akan hidup bersamanya,
Kebaikan yang dia lakukan akan terkubur bersama jasadnya,
Kebaikan akan dikuburkan bersama tulang-tulangnya,
Maka biarkanlah itu yang terjadi kepada Caesar,
Tuan Brutus yang mulia memberitahumu,
Bahawa Caesar tinggi cita-citanya,
Andai itu benar ia adalah kelemahan,
Dan Caesar telah menjawabnya dengan nyawa,
Di sini, dengan izin Brutus dan kalian,
Kerana Brutus seorang yang mulia,
Dan semua yang berhimpun di sini juga orang mulia,
Maka aku datang untuk berucap di pengebumian Caesar,
Dia sahabatku, setianya hanya padaku,
Tetapi Brutus kata, dia bercita-cita tinggi,
Dan Brutus adalah orang mulia,
Caesar bawa pulang tawanan perang ke Rom,
Yang tebusan mereka mengisi kantung para jeneral,
Kerana ini Caesar dituduh terlalu bercita-cita?
Pabila si miskin menangis, Caesar meratap,
Ini bukan tanda Caesar gila kuasa,
Namun Brutus menuduhnya tamak dan haloba,
Dan Brutus adalah orang mulia,
Tidakkah kalian lihat di Lupercal,
Tiga kali ku cuba sarungkan dia mahkota,
Tiga kali juga dia menolaknya?
Itupun Brutus kata dia terlalu bercita-cita,
Dan Brutus adalah orang mulia,
Aku bukan menyangkal cakap Brutus,
Aku di sini berhujah apa yang aku tahu,
Anda semua mencintainya suatu waktu dulu pastinya bukan melulu,
Apa yang mengikat kamu dahulu maka hari ini kamu meratapi pemergiannya?
Oh pengadilan, engkau telah lari bersama-sama orang yang kejam,
Manusia sudah hilang pegangan. Bersabarlah bersamaku,
Hatiku kini dalam keranda Caesar,
Dan aku akan berdiri di sini sehingga hatiku kembali.”
(Brutus, seorang jeneral Rom, menikam Caesar dari belakang. Kemudiannya dia berperang dengan penyokong-penyokong Caesar dan kalah. Dia kemudian membunuh diri. Dari drama karangan William Shakespeare.
Dalam mitos Melayu, pengkhianat yang tikam dari belakang adalah Si Kitol. Tapi dia bukanlah pahlawan seperti Brutus. Dia sekadar orang suruhan.)
Nota kaki: Dipetik daripada kolum saya dalam Sinar Harian keluaran Ahad 1 Mac 2020 - hari Tun Mahathir Mohamad kecundang dan berkata dia dikhianati.
Wallahuaklam. Terima kasih.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kadirjasin.blogspot.com/2020/03/brutus-orang-mulia-tapi-tikam-caesar.html