Bomba Tumpu Misi Sar Mencabar Cari Lima Mangsa Hilang
Oleh Bernama
Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berhadapan kesukaran dalam menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang hilang akibat banjir di Pahang, ekoran keadaan mencabar selepas air surut, kata Ketua Pengarah JPBM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
“Kita percaya dalam keadaan sekarang ini ia cukup mencabar. Kita lihat apabila air banjir reda, terdapat batang kayu, sampah, selut, belukar termasuk bahan binaan yang musnah dan sebagainya,” pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, semalam pihaknya menemukan satu mayat mangsa sedalam 12 kaki dengan bantuan anjing pengesan.
Terdahulu, beliau berkata, misi SAR tersebut membabitkan pencarian di daerah Bentong melibatkan tiga kes mangsa hilang di Kampung Tanjung, Bobby Eco Farm Resort dan Telemong.
“Satu lagi operasi kita akan teruskan di daerah Raub, untuk satu kes di kawasan Laman Pesona Resort & Spa dan satu kes di Kuantan. Ini fokus utama kita,” katanya.
Dalam pada itu, setakat 8 pagi tadi katanya, situasi banjir di Perak, Selangor, Melaka dan Pahang menunjukkan trend atau paras air yang menurun, kecuali di daerah Bera, Pahang yang menunjukkan trend menaik.
Manakala di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kelantan, menunjukkan trend kekal atau paras air tidak berubah.
Selain itu, Mohammad Hamdan berkata, usaha pascabanjir ketika ini dijangka mengambil masa sehingga Sabtu depan untuk diselesaikan.
“Kita akan bantu mangsa yang mengalami kerosakan dan kerugian dan takkan tutup (pusat operasi) sehingga mendapat bukti bahawa kawasan mereka betul-betul selamat untuk memulakan kehidupan,” katanya. – BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/12/bomba-tumpu-misi-sar-mencabar-cari-lima.html