Boleh Berbeza Pendapat Tapi Tidak Boleh Berpecah Abdul Hadi
Manzaidi Mohd Amin
Abdul Hadi Awang.
KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui ada kehangatan dalam Pas, tetapi tidak mengeruhkan hubungan antara satu sama lain.
Ini katanya, sangat baik kepada Pas kerana Allah telah membersihkan perjuangan parti itu dari semasa ke semasa.
“Kita boleh berbeza pendapat, tapi tidak boleh berpecah dan bergaduh. Kita sepatutnya bersatu dalam titik persamaan dan kita bermaafan dalam perbezaan, ini perlu kita amalkan.
“Seruan saya juga bila kita berada dalam parti, bermakna kita berjemaah, kalau solat berjemaah kita mesti ikut imam. Kalau imam silap kita boleh tegur, selagi tidak batal solat.
“Jangan tolak imam dan ambil alih imam kerana dia silap, itu satu benda yang salah dari segi solat jemaah,” katanya dalam status Facebook beliau hari ini.
Menurut Abdul Hadi, beliau ditanya oleh wartawan bulan lalu mengenai Muktamar Pas, memandangkan tahun ini adalah tahun pemilihan dan nasihatnya kepada seluruh pimpinan serta ahli.
“Saya jawab, saya sempat bersama dengan generasi awal sejak zaman Dr. Hj Abbas Alias, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam tahun 1960-an sehingga kini menyaksikan perkembangan yang sangat positif dalam Pas, di mana Pas semakin hari semakin baik, semakin hari semakin jernih.
“Apa yang penting adalah istiqamah kita dengan Islam, sama ada dari segi matlamat, dasar, akidah perjuangan dan akhlak Islam perlu dijaga,” katanya.
Beliau menjelaskan, berjemaah dalam parti lebih besar dan mencabar dan sebab itu, kepimpinan kena sedar khususnya dalam politik Islam ini ada perkara dasar yang tidak boleh pertikaikan seperti asas perjuangan Pas dan akidah.
“Ini tidak boleh kita berbeza dan bergaduh sama sekali, mesti berpegang teguh kepada Majlis Syura Ulama yang mengendalikan parti kita dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah.
“Yang kedua, perkara berkaitan dengan ‘mutaghayyirat’ yang boleh berubah mengikut keadaan, situasi dan realiti. Ini perkara besar kerana berkait dengan strategi politik dan bagaimana kita hendak menangani isu semasa. Ini perlu dibuat dengan cara yang bijaksana.
“Memang kita tidak ada tokoh seperti Nabi Muhammad S.A.W. dan Khulafa’ Rasyidin, tetapi kita boleh membentuk ketokohan secara berjemaah dan kolektif. Jadi bila sudah membuat satu keputusan jemaah, kita mesti patuh pada keputusan itu,” katanya.
Beliau turut menyaksikan bagaimana mereka yang istiqamah dengan keputusan parti walaupun tidak setuju dalam pandangan, tetapi apabila parti membuat keputusan, mereka tetap patuh, hadir dan bersama dengan parti seperti Almarhum Hassan Syukri dan lain-lain lagi.
Hatta bila dalam tahun pemilihan, sebagai contoh Dr. Hj. Abbas Alias, daripada Yang DiPertua Agung Pas tidak dipilih dan menjadi ahli biasa, tetap terus hadir muktamar.
“Ustaz Hassan Syukri pernah bertanding Timbalan Presiden, tetapi tidak dipilih. Kita lantik, dia terus tidak tinggal dan berkhidmat dengan Pejabat Pas, meneruskan tarbiah, kita semua tahu.
“Ini contoh yang menarik dan kita kena sedar, di mana dalam perjuangan Islam ini kita perlu istiqamah hingga akhir hayat,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/boleh-berbeza-pendapat-tapi-tidak-boleh.html