Bolasepak Liga Malaysia Tetap Mencabar Khairul Amri
KUALA LUMPUR – Bekas penyerang kebangsaan Singapura yang kini beraksi dengan Felda United, Khairul Amri mengakui kemahiran, taktikal serta teknikal dalam kalangan pemain pada Liga Malaysia semakin meningkat.
Jelasnya, sepanjang pernah bermain di Indonesia selain di Liga Singapura, pemain yang bakal menginjak usia 35 tahun itu melihat mutu permainan di Liga Malaysia ada perbezaan tersendiri.
Malah dia mengakui pengalaman bermain di Liga Malaysia antara yang paling mencabar buat dirinya selepas pernah menyarung jersi Lions XII pada tahun 2014 dan tahun 2015 selain Felda United pada musim lalu.
“Sebagai pemain Singapura, bermain di sini dapat meningkatkan lagi mutu permainan saya serta rakan sepasukan lain dalam skuad kebangsaan secara individu kerana Liga Malaysia begitu kompetitif.“Malah pengalaman saya jika hendak dibandingkan ketika bermain di Liga Indonesia, saya rasa daripada aspek kemahiran taktikal, di Liga Malaysia lebih baik.
“Di Indonesia, kebanyakan pemain beraksi dengan hati mereka tetapi di Malaysia ia berbeza, kebanyakan pemain di sini lebih bijak dalam adaptasi soal taktikal tiap kali mereka turun bermain.“Sebagai contoh, jika saya bermain di Indonesia dan di dalam situasi menyerang, pemain pertahanan kiri dan kanan mesti akan habis-habisan menyerang tetapi ia berbeza di Liga Malaysia.“Di sini, permainan lebih kompetitif dan secara disiplinnya mereka lebih seimbang iaitu bukan sahaja daripada sudut menyerang tetapi semasa situasi bertahan, mereka masih lagi turun membantu bahagian bawah, ” katanya.
Khairul Amri yang sudah mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa pada tahun lalu pernah beraksi di Indonesia bersama Persiba Balikpapan pada 2010 dan 2011 selain banyak menghabiskan kariernya bersama Tampines Rovers di Liga Singapura.
Mengenai cabaran Felda United pada musim depan, Khairul Amri berharap majoriti pemain baharu menyesuaikan diri dengan pemain sedia ada selain skuad diberi jolokan The Fighters itu tidak sekadar menjadi penumpang dalam saingan Liga Super 2020.
“Saya harap mereka semua cepat sesuaikan diri dan lagi cepat, lagi bagus bagi hadapi saingan Liga Super nanti tetapi buat masa ini saya agak teruja melihat senarai pemain baharu.“Bukan sahaja pemain import namun pemain tempatan yang saya lihat setaraf Liga Super dan harapan saya apa yang berlaku tahun lalu tidak terjadi lagi pada musim ini.“Kami terpaksa bersaing sehingga perlawanan terakhir di zon penyingkiran dan buat musim baharu, kita letakkan satu sasaran lebih tinggi walaupun mungkin saya lagi selesa dilabel underdog,” katanya kepada Malaysian Football League.
Walaupun melepaskan ramai pemain berpengalaman seperti Hadin Azman, S.Chanturu, Norazlan Razali dan Christie Jayaseelan, Felda United dilihat masih ada kualiti untuk memberi saingan di bawah kendalian jurulatih muda, Nidzam Jamil.
Antara muka baharu tempatan yang disambar Felda United ialah Azmizi Azmi, Fadhil Idris dan Ariff Farhan Mohd. Isa manakala bagi kuota import, bekas rakan segandingan Khairul Amri di Tampines Rovers, Ryutaro Megumi menjadi pilihan Nidzam.
Selain itu, Felda turut mendapatkan bekas penyerang Negeri Sembilan, Nicolas Velez dan pertahanan import dari Serbia, Nikola Raspopovic. – MalaysiaGazette
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:
Ditaja oleh FeedBurner
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bloginfo4uall.blogspot.com/2020/01/bolasepak-liga-malaysia-tetap-mencabar.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogSensasi+%28Blog+Sensasi%29