Bimbang Cetus Kluster Covid 19 Kavadi Perarakan Thaipusam P Pinang Mungkin Batal
Bernama
(Gambar Bernama)GEORGE TOWN: Perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam di Pulau Pinang berkemungkinan dibatalkan tahun depan susulan pandemik COVID-19, bagi mengelak penularan virus itu dalam perhimpunan ramai.
Perarakan pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan pedati emas yang baharu adalah kemuncak perayaan tahunan Thaipusam selama tiga hari di negeri itu.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), P Ramasamy berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan mengenai bagaimana sambutan Thaipusam tahun depan dalam situasi pandemik COVID-19.
“Keutamaan kami adalah keselamatan semua penganut kerana pedati itu yang menarik orang ramai, apabila ada perarakan pedati, orang ramai sukar dikendalikan. Kami tidak mahu perhimpunan Thaipusam mencetuskan kluster baharu,” kata beliau, yang juga timbalan ketua menteri.
Ramasamy berkata PHEB akan mempertimbangkan perkara itu dengan teliti demi kepentingan orang ramai.
Beliau berkata SOP yang lebih terperinci mengenai perayaan Thaipusam akan dikeluarkan pada minggu pertama Januari selepas perbincangan dengan Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, dan polis.
Beliau berkata sekiranya pihak berkuasa memutuskan tiada perarakan dan kavadi, beliau berharap arahan itu dipatuhi semua penganut.
Penganut Hindu menyambut Thaipusam pada hari bulan penuh bulan ‘Thai’ kalendar Tamil. Thaipusam tahun depan jatuh pada 28 Jan.
Setiap tahun, ribuan penganut Hindu akan berjalan kaki mengikuti perarakan pendati sejauh lapan kilometer, sebelum sampai ke Kuil Arulmigu Balathandayuthapani dan Kuil Nattukkottai Chettiar di Jalan Kebun Bunga semasa perayaan itu.
Sementara itu, Pengerusi Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, R Subramaniam, menjangka tahun ini jumlah mereka yang menyertai perarakan berkenaan akan lebih rendah dibandingkan tahun-tahun sebelumnya dengan lebih 1.2 juta penganut Hindu di seluruh negara selain pelancong asing.
Beliau berkata orang ramai menyedari COVID-19 masih ada dan jika mereka gagal mematuhi SOP, mereka berisiko terdedah kepada virus berbahaya itu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/bimbang-cetus-kluster-covid-19-kavadi.html