Bilakah Harta Menjadi Melimpah Ruah Pada Akhir Zaman
SOALAN:
Saya ada dengar, pada akhir zaman, harta akan melimpah ruah sehingga sukar untuk mencari penerima sedekah. Bilakah zaman tersebut?
JAWAPAN:
Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan hadith Abu Hurairah R.A, di mana Nabi SAW bersabda:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ فِيْكُمُ الْمَالُ، فَيَفِيضَ حَتَّى يُهِمَّ رَبَّ الْمَالِ مَنْ يَقْبَلُهُ مِنْهُ صَدَقَةً وَيُدْعَى إِلَيْهِ الرَّجُلُ فَيَقُولُ: لاَ أَرَبَ لِي فِيهِ
“Tidak akan tiba hari Kiamat sehingga harta menjadi banyak pada kamu, harta itu terus melimpah ruah sehingga membingungkan pemiliknya siapakah yang mahu menerima sedekah darinya. Lalu seseorang dipanggil, kemudian dia berkata: “Aku tidak memerlukannya.” [Riwayat al-Bukhari (1412) dan Muslim (157)]
Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa R.A, Nabi SAW bersabda:
لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَطُوفُ الرَّجُلُ فِيهِ بِالصَّدَقَةِ مِنَ الذَّهَبِ، ثُمَّ لاَ يَجِدُ أَحَدًا يَأْخُذُهَا مِنْهُ
“Sungguh akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang berjalan mengelilingi dengan membawa harta sedekah berupa emas, kemudian dia tidak mendapati seorang pun yang mahu menerimanya darinya.” [Riwayat al-Bukhari (1414) dan Muslim (1012)]
Harta pernah menjadi melimpah ruah pada zaman Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, bahkan sehinggalah ada seseorang pada zaman beliau menawarkan harta sedekah tetapi tidak didapati orang yang mahu menerima daripadanya. (Lihat: Kitab Asyrat al-Sa’ah oleh Syeikh Mahir Ahmad al-Sufi, hlm. 143)
Walaupun begitu, pendapat yang paling hampir berkenaan perkara ini adalah ia akan berlaku pada zaman al-Mahdi dan Nabi Isa AS. Ini kerana banyaknya harta yang melimpah, dan bumi mengeluarkan keberkatan serta galiannya. (Lihat: Kitab Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf bin Abd Allah bin Yusuf al-Wabil, hlm. 81-89)
Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:
اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ
“Ya Allah sudahilah (matikanlah) bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.”
Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/01/bilakah-harta-menjadi-melimpah-ruah.html