Bila Tragedi Jadi Bahan Lawak Kenapa Orang Kita Turut Ketawa
Sudah berapa hari isu ‘lawak bangang’ Jocelyn Chia berlalu tetapi ada satu sisi yang perlu kita renungi walaupun kita gemarkan jenaka. Seperti kita tahu akaun media sosial minah ini diserang dengan kutukan oleh seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama tetapi yang saya bengang apabila ada juga orang kita menyokong kelakuannya malah cuba menjernihkan lawak serta carutan olehnya. Betul!
Saya tersinggung dengan Jocelyn tetapi yang beria-ia menyokongnya itulah yang menyakitkan saya. Kita boleh nampak ‘jenis’ mereka yang menyokong minah ini. Alasan mereka orang kita tak faham komedi berdiri, terlalu ambil serius dengan komedi. Kata mereka lagi, rakyat Malaysia cetek ilmu komedi dan mereka pun menyebut satu dua nama pelawak Barat tersohor, yang mereka kata bijak bersatira, sinis lagi tajam; macamlah kita semua bebal dan tidak pernah dengar nama-nama itu. Entah apa yang mereka cuba pertahankan minah ini kepada penggemar komediri dengan meletakkan standard mengikut citarasa sendiri. Apakah minah yang tidak cakna dengan situasi masyarakat dan budaya di sini ini tinggi standard jenakanya dan wajar dipertahankan?
Nampaknya di sini – di tempat kita ini – ada segelintir (tak ramai, tetapi merasakan diri mereka besar) merasakan cakap lepas itu “cool”. Orang yang lebih cermat dilabel kolot. Bagi mereka, merekalah yang maju. Istilah orang sekarang, ‘terpaling moden’. Bagi mereka kalau majoriti rakyat berperwatakan seperti mereka, maka pasti negara ini akan lebih hebat. Perasan! Inilah ‘penyakit’ yang ada pada segelintir kumpulan ini.
Ada ramai ‘Jocelyn Chia’ dalam masyarakat kita. Golongan ini telah dijebak dalam jala ‘kemodenan’ mengikut takrif Barat, yang langsung tidak kena dengan budaya dan peradaban kita. Maksud moden dan maju ialah menara tinggi, ekonomi bagus, kesibukan bekerja dengan warganya berfikiran bebas lagi terbuka. Terbuka bercakap tentang apa sahaja, kerana bagi mereka itu hak mutlak setiap manusia, sebagai penanda aras sebuah masyarakat maju. Maka membuat jenaka atas sebuah tragedi itu tidak apa-apa. Tak ada salahnya atas prinsip kebebasan bersuara. Tapi bila mereka ditegur mulalah menjerit satu dunia mengatakan diskriminasi.
Itulah kemodenan acuan mereka. Bangunan tinggi, hiruk-pikuk bandar raya dan kebebasan bercakap. Seharusnya makin tinggi menara, makin tinggilah akal budi. Makin hebat ekonomi makin menonjol manusiawi. Apa yang kita lihat sebaliknya. Makin tinggi menara mencakar langit, makin dalam mereka menyelam ke tangki najis di bawah menara.
Mencermati jenaka minah ini berkenaan tragedi MH370, adakah jenaka seperti ini dipertahankan oleh segelintir penyokongnya di sini semata-mata kerana politik? Penatlah. Tak habis-habis nak berpolitik! Hendak menghentam kerajaan dengan kaedah komedi boleh tetapi apakah cara yang cermat untuk tidak menyinggung waris? Apakah suatu kewajaran menjadikan isu ini jenaka demi meraih markah politik? Seorang pelawak, dalam menyampaikan satira harus bijak menyampaikan maksud tanpa memperalatkan tragedi. Harus cermat mengajak penonton merenung dalam tawa tanpa memperkecilkan kesedihan orang lain. Bukan main langgar saja. Bila dikritik, dikatanya orang lain yang bodoh, kolot, dan tidak terbuka.
Seniman dengan jiwa seninya harus lebih peka dengan maksud moden, maju, dan bertamadun. Lesen kreatif bukan tiket untuk menyeludup benih kebencian. Itulah penyakit yang mewabak akibat gagal mengenal kreativiti dan chauvinisme sebab dirasuk politik kebencian. Tidak ada untungnya hendak membela seorang minah yang gagal memahami budaya di sini. Tidak memahami itu satu hal, tidak pandai menghormati – itu yang paling teruk sedangkan jiwa yang maju dan moden harus menepati ciri-ciri tersebut.
Penyokong minah ini perlu lebih bertenang melihat kehidupan sebelum melabel orang lain tak faham komedi sebab berfikiran ‘tak moden’. Jangan tergopoh-gapah mengejar apa yang dikatakan kemajuan dengan mengukurnya mengikut definisi pandir. Gila dengan statistik, graf, dan kedudukan sehingga tergadai rohani dan jiwa. Miskin memahami adab, adat dan budaya sendiri. Itulah yang terdedah pada wajah Jocelyn Chia. Kamu yang menyokong sebenarnya tergolong dalam kumpulan yang sama. Golongan yang menyeludup benih kebencian ke dalam bidang jenaka. Kamu semua tidak kelakar tetapi memalukan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/06/bila-tragedi-jadi-bahan-lawak-kenapa.html