Bila Pn Buat Pusingan U
“Kalau orang dah tolak ‘pinangan’, tak kan you nak ‘rujuk’, malulah,” kata Fadillah Yusof pada 5 Nov lalu apabila menegaskan pintu rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) berkaitan soal peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang – satu isu panas yang berlarutan selama dua tahun — sudah ditutup.
Tidak salah pun pendirian timbalan perdana menteri itu kerana bukan kerajaan yang enggan berunding tapi itu keputusan pembangkang sendiri selepas mereka menolak draf memorandum persefahaman (MoU) disediakan kerajaan.
Malu seperti dikatakan Fadillah memang malulah jika kerajaan pula yang beria-ia mahu mengajak pembangkang kembali ke meja rundingan dalam keadaan pembangkang sendiri tidak mahu. Ibarat bertepuk sebelah tangan tidak akan jadi apa-apa.
Tapi itu cerita pada awal bulan ini. Memasuki minggu terakhir bulan November, nampaknya seperti sudah ada sedikit perubahan pendirian di pihak pembangkang atas sebab-sebab yang hanya mereka sendiri ketahui. Mungkin juga ia didorong rengekan beberapa Ahli Parlimen PN yang terus terharap-harapkan peruntukan.
Barangkali sudah timbul kesedaran bahawa pembangkang tiada apa-apa keuntungan, malah akan menanggung kerugian, jika terus enggan berunding yang bermakna tuntutan mereka terhadap peruntukan sudah temui jalan buntu – tiada laluan untuk terus ke hadapan melainkan ia terhenti setakat itu.
Atau mungkin juga selepas mereka jenuh menguji-uji kerajaan – kalau-kalau kerajaan mahu berlembut untuk meminda syarat-syarat MoU agar lebih mesra pembangkang – timbul kesimpulan bahawa itu bukan pun satu kemungkinan pada waktu ini.
Lantaran itu, untuk rundingan bersambung semula, pembangkanglah yang harus mengorak langkah pertama ke arah itu daripada mengharapkan kerajaan memulakannya. Itu baru betul caranya dan bukan sebaliknya.
Semalam, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membuat kejutan dengan menyatakan PN sedia untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan MoU yang disediakan kerajaan – dokumen yang ditolak bulat-bulat oleh mereka sebelum ini.
Tapi nanti dulu. Ia bukanlah persetujuan terbuka, sebaliknya kesediaan bersyarat – kerajaan hendaklah lebih dahulu menawarkan suatu perjanjian yang adil dan seimbang dan mewujudkan situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.
Mungkin hanya di Malaysia, pihak yang membuat tuntutan boleh mengenakan pelbagai syarat walhal pihak kerajaan yang menawarkan peruntukan ditolak syarat-syarat yang ia kenakan dalam draf MoU terdahulu.
Ini bermakna kerajaan dituntut meminda, mengubah suai atau melonggarkan syarat-syarat yang terkandung dalam draf MoU asal dengan enam inti pati seperti didedahkan oleh Fadillah pada 16 Sept lalu.
“Niat kerajaan Madani ialah mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang. Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Sehari sebelum itu pada 15 Sept, Hamzah memaklumkan semua Ahli Parlimen PN sebulat suara menolak MoU daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang atas empat faktor, antaranya dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan meluangkan kepada salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Beberapa syarat dikenakan dalam MoU itu turut dikhuatirinya boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, PN mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti,” katanya dalam kenyataan.
Jadi, soalnya apa yang membuat PN sedia kembali ke meja rundingan? Hamzah cuma beri bayangan bahawa beliau dan Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan telah mengadakan pertemuan dengan Fadillah semula berkaitan MoU peruntukan itu baru-baru ini.
“Kerajaan tidak boleh membuat draf syarat-syarat yang menguntungkan hanya satu pihak. Kerana itulah kami tidak dapat menerima (MoU sebelum ini). Jika MoU itu adil dan menunjukkan kerajaan benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat dan masa depan negara, kami tidak akan sewenang-wenang menolaknya,” katanya dalam temu bual Sinar Harian.
Apa kata kalau kerajaan sedia meminda draf MoU itu dan hasilnya nanti masih tidak dapat diterima PN? Juga apa kata kalau PN mengemukakan draf alternatif mereka tapi kerajaan pula mendapatinya tidak memenuhi syarat-syarat yang ia kehendaki?
Ia hanya akan membuang masa dan tenaga melainkan kedua-dua pihak bersetuju untuk duduk semeja dan memperhalusi satu-persatu syarat-syarat yang boleh dipersetujui bersama.
Barangkali itu juga tidak berkemungkinan kerana dari awal lagi semua orang tahu yang apa yang dihasratkan PN sebenarnya – berikan saja peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang tanpa syarat, tanpa perjanjian.
Ia mungkin telah disimpulkan dengan jelas oleh Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada 24 Sept lalu bahawa pembangkang tidak memerlukan sebarang MoU, sebaliknya hanya menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengotakan janji dalam manifesto PH.
“Kami tidak mahu MoU, rakyat tak nak MoU. Rakyat cuma tuntut janji Anwar berkaitan reformasi pemberian dana di kawasan Parlimen tanpa kira parti secara adil dan sama rata,” katanya dalam Wacana Sinar edisi MoU kerajaan-pembangkang: Jambatan atau tembok?
Anwar pula sudah kerap mengulangi: “Saya tak kata tak bagi (peruntukan), saya kata rundinglah sebab saya dulu pun begitu. Tapi dia (pembangkang) tak mahu runding, kalau tak mahu tiadalah peruntukan.”
Pembangkang kini mungkin sedia kembali ke meja rundingan tapi kita semua pun tahu segala-galanya tidak akan dapat diselesaikan dengan cepat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/11/bila-pn-buat-pusingan-u.html