Bila Perkauman Jadi Senjata Kita Semua Mangsa
Sejarah mengajar bahawa sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian memerlukan toleransi yang kukuh.
Sejak zaman Nabi Muhammad SAW, masyarakat yang harmoni terhasil apabila pelbagai kaum dan agama saling menghormati dan hidup dengan adil.
Piagam Madinah mengukuhkan prinsip ini, membuktikan bahawa perbezaan bukanlah halangan untuk hidup bersama dalam keadilan.
Namun, perpaduan itu tidak kekal jika prinsip ini gagal dijaga.
Peristiwa 13 Mei 1969 mengingatkan betapa mudahnya ketegangan kaum timbul apabila ketidakpuasan hati dibiarkan.
ADSSebagai bangsa yang berbilang kaum, kewaspadaan sentiasa diperlukan.
Ketegangan yang terpendam tidak akan pernah hilang sepenuhnya; ia menunggu saat yang salah untuk meletus.
Kini, isu yang melibatkan tiga penyampai radio Era FM memperlihatkan kembali cabaran besar—bagaimana sensitiviti agama dan perkauman diuruskan dalam sebuah masyarakat yang pelbagai.
Apa yang bermula sebagai kesilapan kecil kini membesar menjadi perdebatan yang dipolitikkan.
Jika hati-hati tidak diutamakan, perpecahan ini akan merosakkan segala yang telah dibina bersama.
Naratif yang dibina hanya akan mengundang kebencian, meruntuhkan semangat perpaduan yang selama ini diperjuangkan.
Dalam apa jua perkara, saya sentiasa mengingatkan agar masyarakat bersikap kritikal dalam menilai sesuatu isu.
Masyarakat—tanpa mengira latar belakang kaum—perlu menilai sesuatu isu secara holistik dengan pendekatan yang lebih analitikal.
Saya menonton klip penuh video tersebut yang sempat diakses sebelum diturunkan.
Berdasarkan penilaian saya, klip video tersebut sebenarnya lebih kepada selorohan meniru tarian pembukaan oleh seorang peninju muda, Miki Ghazali (Paquetá dance).
Tiada niat jahat
ADSKesilapannya hanya terletak pada penyebutan mantera suci Hindu, “Vel, vel”, yang dikeluarkan oleh salah seorang penyampai radio tersebut.
Saya yakin ketiga-tiga penyampai ini tidak berniat jahat.
Mereka tidak berniat untuk menghina agama atau budaya lain, itu jelas.
Walau apa jua keadaannya, nasi sudah menjadi bubur.
Apa yang utama, mereka sedar, merendah diri, dan telah memohon maaf kepada mereka yang tersinggung.
Biarpun permohonan maaf mereka adalah satu langkah yang seharusnya dihargai, hakikatnya kesilapan mereka tetap memberi kesan yang mendalam.
Inilah yang perlu diakui.
Dalam soal sensitiviti agama dan kaum, tiada ruang untuk kesilapan yang tidak diambil serius.
Mereka sudah memohon maaf, namun itu tidak bermakna tanggungjawab dapat dilepaskan tanpa proses yang adil.
Isu ini juga mengingatkan tentang pentingnya undang-undang yang tidak boleh dipilih-pilih—undang-undang yang mesti diterapkan untuk semua.
Saya percaya, jika mahu menjadi masyarakat yang maju, harus disedari bahawa tiada siapa yang terlepas dari tanggungjawab apabila melibatkan penyinggungan terhadap agama dan budaya, tanpa mengira latar belakang.
Isu yang timbul kini berkaitan dengan sikap sesetengah pihak yang lebih sudu daripada kuah.
Pada hemat saya, isu ini dieksploitasi, diolah berlebihan dan dipolitikkan hingga akhirnya mencipta sentimen kebencian.
Apa yang berlaku seharusnya dilihat sebagai kesilapan yang tidak disengajakan, namun ada yang memilih untuk melebih-lebihkan sehingga menggambarkan seolah-olah penghinaan ini bersifat mutlak dan berniat jahat.
Rumusnya mudah, walaupun ‘mungkin’ anda berada di pihak yang benar—apabila permohonan maaf datang, anda perlu tunduk dan menyantuni keinsanan bersama.
Janganlah bersikap angkuh dan melampau, kerana kita tetap akan hidup bersama dalam satu negara.
Adapun begitu, ini bukan satu hal yang pelik.
Pancing sokongan India
Saya turut memahami keterdesakkan parti anda untuk mendapatkan sokongan orang India, memandangkan parti anda tewas teruk dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Sekadar pesanan percuma, usah mempolitikkan dan menggunakan perkara ini secara berlebih-lebihan.
Jangan ‘memangsakan’ mereka yang bukan dari lapangan politik.
Menunggang isu ini untuk political mileage tidak membawa anda dan parti anda ke mana-mana.
Tindakan ini hanya mengeruhkan lagi keadaan.
Manakala, di satu pihak lagi pula turut tidak kurang menjengkelkan.
Masing-masing berlumba-lumba menunggang isu ini.
Saya tidak ada masalah jika mereka ingin berperanan sebagai pembela Melayu-Islam yang tulen.
Hanya masalahnya, mereka cenderung menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi, dan ini segera menonjolkan sisi ketidaktulusan dalam memperjuangkan nilai-nilai Melayu-Islam di negara ini.
Para penunggang isu ini membina naratif yang menggambarkan seolah-olah negara ini menindas Melayu-Islam.
Mereka berkata hanya orang Melayu-Islam yang dihukum dalam kes-kes sensitiviti agama, sementara mereka yang bukan Islam dibiarkan terlepas.
Saya tertanya-tanya tentang niat mereka.
Adakah mereka mahu diangkat sebagai adiwira?
Atau mereka sekadar ingin mencari keuntungan politik?
Mungkin juga mereka hanya bermain dengan api kebencian?
Apa yang pasti, mereka ini adalah parasit yang merosakkan keharmonian negara, parasit yang hanya tahu memainkan isu ini untuk agenda murahan mereka.
Yang lebih mengganggu adalah kenyataan beberapa asatizah dan pempengaruh yang menganggap setiap kes melibatkan agama sebagai “perang suci” tanpa melihat kesan sosialnya.
Mereka tidak faham bahawa tindakan mereka hanya menambah kebencian dan ketegangan.
Kembali pada fakta
Jika kita benar-benar mahu berlaku adil, kita harus kembali pada fakta.
Tidak benar bahawa hanya orang Melayu yang dikenakan tindakan dalam kes-kes sensitiviti agama.
Baru-baru ini, pada 17 Februari 2025, seorang pemandu e-hailing, Lim Kim Teng, dibicarakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas tuduhan menghina agama Islam.
Pada Mac 2024, Ricky Shane Cagampang dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 kerana menghina kalimah Allah.
Begitu juga dengan kes Chiok Wai Long yang dihukum penjara dan denda RM12,000 kerana menghina Islam melalui stokin bertulis kalimah Allah.
Bahkan syarikat KK Mart dan Xin Jian Chang yang terlibat dalam penjualan stokin bertulis kalimah Allah turut didenda RM60,000.
Ini hanya beberapa contoh terkini.
Dari mana datangnya dakwaan bahawa negara kita tidak bertindak tegas terhadap penghinaan agama?
Undang-undang negara ini jelas, tanpa mengira latar belakang agama.
Sesiapa yang melanggar peraturan, tanpa mengira bangsa atau agama, harus dihukum.
Mereka yang cuba memainkan naratif ini adalah seperti menangguk di air keruh, cuba mengambil kesempatan daripada ketegangan yang berlaku untuk meraih keuntungan politik.
Kita perlu melihat pada fakta, bukan naratif yang direka untuk kepentingan politik semata-mata.
Tidak ada tempat untuk sentimen seperti ini.
Jika naratif ini terus dibiarkan, ia akan berkembang bagai api dalam sekam—terpendam, namun cukup berbahaya untuk membakar negara kita.
Sebagai seorang yang prihatin tentang keharmonian dan keadilan, saya tidak dapat membiarkan permainan naratif seperti ini.
Ini bukan hanya soal hukuman atau kesilapan kecil.
Ini soal kesejahteraan negara yang dipertaruhkan.
Ini tentang bagaimana kita terperangkap dalam politik yang menunggang ketakutan, kebencian, dan sentimen demi keuntungan sementara.
Bagi kedua-dua belah pihak, menunggang isu seperti ini adalah sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab, merosakkan keharmonian, dan hanya memperburuk ketegangan sosial yang sedia ada.
Teori dilema keselamatan etnik
Dari sudut pandang akademik, apa yang berlaku ini sebenarnya mencerminkan kajian yang saya lakukan semasa pengajian master beberapa tahun lalu.
Kajian tersebut, yang menyentuh konservatisme Melayu, mengaplikasikan teori dilema keselamatan etnik untuk meneliti ketakutan yang wujud dalam setiap kaum di negara ini.
Ketakutan ini berkait rapat dengan kehilangan kedudukan sosial, ekonomi, politik, dan budaya.
Ia bukanlah ketakutan yang timbul secara tiba-tiba.
Ia adalah hasil daripada sejarah panjang pertarungan kedudukan dalam masyarakat yang berbilang bangsa.
Dilema keselamatan etnik ini muncul kerana takrifan nasionalisme yang kabur dan tidak jelas.
Ketidakjelasan ini menyebabkan setiap kaum merasa sukar untuk menunjukkan kecintaan mereka terhadap negara.
Nasionalisme yang seharusnya menjadi pemangkin kesatuan antara kaum, malangnya sering terperangkap dalam naratif sempit yang menekankan hak satu kelompok tanpa mengambil kira kepelbagaian etnik di Malaysia.
Isu ini bukan semata-mata tentang mempertahankan hak.
Ia lebih kepada bagaimana kita, sebagai satu bangsa, melihat dan menghormati hak setiap etnik dalam negara ini.
Takrifan nasionalisme yang kabur ini menyebabkan kita terlalu fokus kepada apa yang kita anggap sebagai “hak kita”, sehingga lupa akan prinsip asas negara ini—negara ini adalah milik bersama.
Kita terperangkap dalam naratif yang memperbesar-besarkan perbezaan, tanpa menyedari bahawa perpaduan adalah matlamat yang harus dikejar bersama.
Apa yang lebih merisaukan adalah bagaimana keterpendaman ini wujud dalam setiap kaum.
Perasaan ini menjadikan kita lebih cenderung untuk melihat ancaman di tempat yang sebenarnya tiada.
Keterpendaman pelbagai kaum
Keterpendaman ini tidak hanya wujud dalam satu kaum sahaja, tetapi juga melibatkan kebimbangan yang dirasai oleh pelbagai kumpulan etnik.
Sebagai contoh, kaum Melayu sering merasa terancam oleh perubahan sosial dan politik, menyebabkan mereka berpegang teguh pada naratif bahawa kedudukan mereka perlu dipertahankan.
Begitu juga dengan kaum-kaum lain yang merasakan diri mereka dilayan seperti “warganegara kelas kedua”.
Saya percaya, jika masalah nasionalisme sempit ini terus dibiarkan berlarutan, negara akan terperangkap dalam lingkaran ketakutan yang akhirnya menghancurkan perpaduan yang sepatutnya dibanggakan.
Perbezaan yang semakin diperbesar-besarkan tidak boleh dibiarkan mendominasi pemikiran.
Ketakutan yang dipupuk oleh keterpendaman dan nasionalisme yang tertutup hanya akan menghalang usaha membina masa depan yang lebih harmoni dan inklusif.
Jika keterpendaman ini terus dipolitikkan, ia akan memusnahkan segala yang telah dibina sebagai sebuah negara.
Bulan Ramadan ini seharusnya menjadi masa untuk merenung dan memperbaharui azam.
Dalam menghadapi cabaran yang melanda, penting untuk mengingatkan diri agar tidak terperangkap dalam permainan politik yang hanya akan merosakkan kesatuan.
Perpaduan adalah asas yang memastikan negara ini kekal teguh dan aman.
Mengabaikan perpaduan adalah kesilapan yang amat besar.
Kerasionalan perlu diletakkan pada kedudukan teratas.
Isu ini kembali kepada sikap yang perlu disematkan—untuk memadamkan api kebencian, bukan menambahnya.
Toleransi adalah kunci.
Walaupun setiap kaum membawa sifat keterpendaman dan ketakutan mereka, toleransi seharusnya menjadi asas dalam hidup bersama.
Seperti yang dijelaskan dalam surah Al-Hujurat, Allah SWT berfirman:
“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita, dan menjadikan kamu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa di antara kamu.” (Surah Al-Hujurat, 49:13).
Ayat ini mengingatkan bahawa dalam kepelbagaian, setiap individu harus saling mengenal dan menghormati antara satu sama lain.
Jangan bakar rumah
Perpaduan bukan hanya tentang mengatasi perbezaan, tetapi juga tentang mengakui dan menghormati setiap etnik yang ada dalam negara ini.
Toleransi adalah jalan keluar dari perpecahan kaum yang boleh merosakkan segalanya.
Lebih berhati-hati diperlukan, kerana apabila perpecahan berlaku, tiada siapa yang akan menang; semua pihak akan rugi.
Penting untuk diingat, jangan bakar rumah yang telah dibina bersama.
Isu ini tidak seharusnya digunakan sebagai senjata politik.
Sekiranya sentimen ini terus dimanipulasi, yang dibakar adalah apa yang telah dijaga dengan susah payah.
Sebagai rakyat, ruang untuk perpecahan ini harus dihentikan.
Ini bukan masa untuk mengungkit perbezaan, tetapi untuk bersatu sebagai bangsa yang lebih matang dan bijak.
Saya juga ingin memberi satu saranan tegas kepada menteri perpaduan.
Perpaduan adalah beban besar yang beliau galas, namun sehingga kini, belum ada langkah substantif yang benar-benar mampu merubah keadaan.
Perpaduan bukan soal retorik kosong; ia soal tindakan nyata yang mampu merapatkan jurang antara kaum.
Slogan dan dialog hanyalah kata-kata, tetapi langkah berkesan yang membawa perubahan sebenar adalah apa yang diperlukan.
Perpaduan hanya akan tercapai apabila tindakan itu berbicara lebih kuat daripada kata-kata. - Mkini
ASHRAF HADI ialah ketua biro pemahaman dan pemantapan agama Angkatan Muda PKR (AMK).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/03/bila-perkauman-jadi-senjata-kita-semua.html