Bila Pas Dicop Taliban Mereka Marah Kata Syed Saddiq
MALAYSIAKINI
Ahli parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak PAS berhubung ucapan tahniah yang dibuat parti itu atas kejayaan Taliban menakluk Afghanistan.
Dalam satu petikan video yang dimuat naik di Instagramnya, kata Syed Saddiq, meskipun Taliban - yang berjaya menakluk Afghanistan dalam dua minggu sahaja itu - menjanjikan perubahan termasuk menjaga hak wanita, apa yang dilakukan kumpulan itu semasa berkuasa dahulu tidak harus dilupakan.
Ini kata Syed Saddiq, termasuklah pembersihan etnik, pemerdagangan wanita dan anak kecil suku tertentu kepada negara luar, serta angka korban yang melebihi 200,000 sejak 2001 - selain sekitar 2.7 juta warga Afghanistan menjadi pelarian.
Dia juga mengingatkan insiden kekerasan ke atas Malala Yousafzai yang ditembak di kepala ketika baru berusia 15 tahun pada 2012, sebagai remaja yang lantang bersuara mempertahankan hak wanita untuk menerima pendidikan di sana.
“Kalaulah Taliban ni baik sangat, kenapa ada puluhan ribu warga Afghanistan yang nak lari keluar daripada Afghanistan, (sehingga ada) sanggup panjat kapal terbang yang sedang bergerak dan sampai ada yang jatuh meninggal, kerana nak tinggalkan Afghanistan bawah pemerintahan Taliban.
“Lihat apa yang terjadi di Afghanistan hari ini, sudah porak peranda. Mereka yang tidak sehaluan dengan Taliban ditembak dibunuh, dan percayalah, ini hanya permulaan. Perkara lebih buruk lagi akan berlaku.
“Ini yang saya tak faham dengan PAS. Bila mereka kena cop Taliban, (mereka) marah. Tapi mereka juga yang mengagungkan Taliban … Apa ni?” soalnya lagi.
Syed Saddiq mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara progresif, sederhana dan berbilang kaum, tidak harus sekali-kali disamakan dengan Taliban.
“Kita patut bangga untuk mempertahankannya,” katanya lagi.
Syed Saddiq merujuk kenyataan Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS yang mengucapkan tahniah kepada Taliban di Afghanistan atas penguasaan mereka ke atas negara beberapa hari lalu.
Pengerusi lajnah tersebut, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata penguasaan Taliban itu suatu "kemerdekaan" buat rakyat dan negara terbabit daripada cengkaman penjajahan, dan merupakan hasil usaha seluruh rakyat Afghanistan dalam usaha membebaskan tanah air mereka yang dijajah dan diceroboh selama 20 tahun.
Khalil juga berharap selepas “kemenangan” itu, Afghanistan dapat dibangunkan semula dan agar Taliban dan rakyat Afghanistan dapat mencapai kata sepakat bagi meletakkan negara berkenaan di landasan yang betul.
Dalam kenyataan berasingan, Khalil menyifatkan Taliban kini mendapat imej positif atas imej "amat sederhana" yang ditonjolkan kumpulan tersebut sehingga mendapat reaksi yang baik dari negara lain.
Antaranya, katanya, pelajar-pelajar perempuan sudah dilihat memulakan sesi persekolahan kembali - tidak seperti semasa pemerintahan mereka dahulu yang tidak membenarkan kanak-kanak perempuan mendapatkan pendidikan.
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin pula menyifatkan pemerintahan Taliban terdahulu di Afghanistan sebelum disingkirkan AS sebagai “ekstrem dan jumud”, dan menggesa tekanan antarabangsa agar dasar sedemikian tidak kembali diguna pakai Taliban - terutama ke atas wanita dan kanak-kanak.
“Walaupun kita tidak bersetuju dengan langkah imperialis yang telah dilaksanakan oleh AS, kita juga khuatir akan masa depan Afghanistan, terutamanya bagi golongan wanita yang sebelum ini telah ditindas oleh Taliban.
“Setiap negara perlu ditadbir oleh rakyatnya sendiri dan kuasa asing tidak perlu campur tangan dalam pemerintahan sesebuah negara. Namun begitu, apabila pentadbir sesuatu negara itu memegang ideologi terlalu ekstrem, masyarakat dunia perlu bertanggungjawab dalam memastikan nasib dan hak golongan wanita dan kanak-kanak perempuan di sesebuah negara itu terus terbela.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa Afghanistan yang ditadbir oleh Taliban 20 tahun lalu adalah sebuah pentadbiran yang bersifat jumud dan menolak sebarang bentuk kemajuan, terutamanya dalam hal pembangunan dan pemberdayaan wanita dan kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kata Zuraida, dia melihat sendiri penindasan Taliban ke atas wanita dalam misi bantuan yang disertainya ke Afghanistan pada 2002.
“Golongan wanita secara umumnya dianggap sebagai rakyat kelas kedua yang mana hak mereka sering dinafikan oleh pemerintah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, mungkin ada sinar harapan apabila Taliban berjanji membenarkan kanak-kanak perempuan terus bersekolah
Dasar Taliban yang menghalang kanak-kanak perempuan mendapatkan pendidikan dibalikkan setelah ia digulingkan pada 2001.
“Negara-negara Islam yang progresif di seluruh dunia juga perlu menghantar wakil-wakil dikalangan pemimpin wanita mereka ke Afghanistan bagi membantu agenda pemberdayaan wanita di negara ini.
“Sekiranya berpeluang, saya turut berminat untuk ke sana sekali lagi, kali ini bagi membantu untuk membimbing pemerintah dan rakyat Afghanistan dari segi aspek pembangunan dan pemberdayaan wanita,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/bila-pas-dicop-taliban-mereka-marah.html