Bidang Kuasa Negeri Terhad Tidak Boleh Kenakan Hukuman Sebat Lucut Hak
Norzamira Che Noh
Shah Alam: Kerajaan Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan sebat dan lucut hak terhadap mana-mana pesalah yang terbabit dengan pencemaran sumber air di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bidang kuasa kerajaan negeri hanya membolehkan pesalah dihukum menerusi Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 saja.
"Cadangan (hukuman sebat dan lucut hak) berkenaan perlu dibincangkan mengikut bidang kuasa masing-masing yang mana Jabatan Alam Sekitar perlu mengetengahkan perkara ini.
"Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mempunyai bidang kuasa yang jauh lebih besar untuk mengenakan tindakan terhadap pesalah yang terbabit manakala kita di peringkat negeri hanya boleh mengenakan tindakan terhadap pesalah menerusi Enakmen LUAS 1999," katanya selepas sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Setia Alam hari ini.
Amirudin berkata, menerusi Enakmen LUAS, kerajaan negeri hanya boleh melakukan siasatan serta menyediakan bukti untuk pendakwaan yang seharusnya dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata sedemikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa pihak agar pesalah yang melakukan pencemaran dikenakan hukuman sebat dan lucut hak.
Sebelum ini, beberapa pihak mendesak agar hukuman yang dikenakan terhadap pesalah yang terbabit dengan pencemaran sungai dapat ditingkatkan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya tidak mahu menuding jari susulan insiden pencemaran sungai itu dan kejadian berkenaan sewajarnya dijadikan pengajaran buat semua pihak.
"Saya harap kita dapat bekerjasama, kalau tidak Selangor dan Putrajaya akan dapat kesan buruk.
"Lebih malang, ada yang menjadikan isu ini sebagai serangan politik dan ia tidak memberikan apa-apa faedah sebaliknya merugikan kedua-dua pihak," katanya.
Pada Sabtu lalu, kerajaan negeri memaklumkan akan membuat pindaan Enakmen LUAS pada Dewan Undangan Negeri (Dun) yang bersidang Oktober hingga November depan.
Amirudin berkata, denda maksimum untuk kesalahan pencemar air akan dinaikkan kepada RM1 juta daripada RM500,000.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/bidang-kuasa-negeri-terhad-tidak-boleh.html